ORANG ramai dialu-alukan memeriahkan karnival anjuran Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sempena pelancaran rasmi 'Program Cub' - inisiatif latihan bola sepak peringkat akar umbi bagi kanak-kanak sekolah rendah - di Stadium Jalan Besar mulai 3 petang esok (15 Ogos).
Karnival bola sepak ini khusus bagi kanak-kanak belajar dan bermain Permainan Indah ini dalam suasana menyeronokkan dan mesra keluarga.
Mereka juga boleh melihat dari dekat ciri-ciri unik 'Program Cub' - sesi latihan berstruktur dan teratur yang diilhamkan oleh Pengarah Teknikal FAS yang baru, Michel Sablon, - sebahagian daripada usaha awal untuk memperluaskan lagi jaringan bakat muda bola sepak setempat.
Latihan program ini menerapkan kecekapan asas bola sepak dalam suasana penuh keseronokan agar para pemain cilik ini lebih bermotivasi untuk terus aktif dalam sukan ini.
Nilai-nilai positif seperti bekerja sama dan semangat tidak mudah menyerah kalah turut ditekankan.
Terdapat juga lapan stesen teknikal bagi mempamerkan aspek tertentu program seperti membuat hantaran, merembat dan menggelecek bola. Teknik-teknik ini adalah sebahagian daripada falsafah bola sepak Sablon bagi pembangunan bola sepak belia di Singapura.
Sesi perintis 'Program Cub' ini sudah pun bermula di Sekolah Rendah Sembawang pada April lalu.
Yuran penyertaan ialah $50 yang merangkumi insurans, yuran latihan bagi bulan pertama, jersi, seluar dan sepasang stokin. Mereka dikenakan yuran bulanan $24 selepas itu.