Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar sepakan sudut Arsenal benam United

Dec 5, 2024 | 1:00 PM
Bek kanan, Jurrien Timber (nombor 12), menanduk masuk hantaran sepakan sudut, Declan Rice, untuk menjaringkan gol pertama Arsenal ketika menewaskan United 2-0 di Stadium Emirates pada 5 Disember.
Bek kanan, Jurrien Timber (nombor 12), menanduk masuk hantaran sepakan sudut, Declan Rice, untuk menjaringkan gol pertama Arsenal ketika menewaskan United 2-0 di Stadium Emirates pada 5 Disember. - Foto AFP

LONDON: Jurrien Timber dan William Saliba menjaringkan gol daripada hantaran sepakan sudut untuk membantu Arsenal menewaskan Manchester United 2-0 di Stadium Emirates pada 5 Disember.

Kemenangan itu mengurangkan jurang antara The Gunners dan pendahulu Liga Perdana England (EPL), Liverpool, serta membuat Ruben Amorim berputih mata.

Arsenal mengancam daripada set-piece tetapi tidak mempunyai begitu banyak peluang dalam separuh masa pertama yang mempunyai kurang aksi.

United pula memperlahankan tempo perlawanan dan mengekalkan penguasaan bola.

Peluang terbaik mereka jatuh kepada bek kanan, Diogo Dalot, dalam kotak penalti sebelum masa rehat, tetapi percubaannya tidak menemui sasaran.

Arsenal lebih tajam pada separuh masa kedua, dan mendahului perlawanan menerusi gol bek kanan, Timber, yang menanduk masuk bola daripada sepakan sudut Declan Rice pada minit ke-54.

Pada minit ke-65, United hampir menyamakan kedudukan sewaktu sepakan percuma, tetapi penjaga gol David Raya menepis tandukan bek tengah Matthijs de Ligt.

Arsenal menjaringkan gol kedua pada minit ke-73 apabila tandukan Thomas Partey daripada hantaran sepakan sudut Bukayo Saka melantun terkena Saliba dan melepasi garisan gol.

Ia adalah gol ke-22 Arsenal dalam EPL yang datang daripada sepakan sudut sejak permulaan musim 2023/2024.

“Sebelum kedua-dua set piece, kedua-dua pasukan tidak mempunyai begitu banyak peluang dalam perlawanan itu, set piece itulah yang menjamin kemenangan untuk mereka,” kata Amorim kepada BBC.

Kemenangan itu meletak Arsenal di tangga ketiga EPL dengan 28 mata, di belakang Chelsea di tempat kedua, yang juga mempunyai 28 mata, serta pendahulu Liverpool, yang mempunyai 35 mata.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memberitahu wartawan: “Kini kami telah menang empat kali berturut-turut, tetapi ia tidak penting. Kami perlu pergi ke Fulham dan menewaskan mereka.”

Arsenal berkunjung ke stadium Craven Cottage untuk menentang Fulham pada 8 Disember, dan kemudian menyambut AS Monaco di stadium sendiri pada 12 Disember bagi perlawanan Liga Juara-Juara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg