NEWCASTLE: Rentak kemenangan Liverpool dalam tujuh perlawanan berturut-turut ditamatkan oleh gol penyamaan lewat Fabian Schar, dan pendahulu Liga Perdana England (EPL) itu terpaksa menerima keputusan seri 3-3 dengan Newcastle pada 5 Disember.
Hanya tinggal beberapa saat untuk pasukan bimbingan Arne Slot mendapatkan kemenangan selepas Mohamed Salah menjaringkan gol kedua pada detik-detik akhir perlawanan.
Namun, selaras dengan malam yang mencabar baginya di Tyneside, Liverpool gagal bertahan dan Schar memanfaatkan kesilapan penjaga gawang, Caoimhin Kelleher, untuk menyamakan kedudukan sejurus sebelum perlawanan berakhir.
Pada minit ke-90, Kelleher salah baca hantaran Newcastle dan Schar hanya perlu memasukkan bola ke dalam gawang yang terbuka.
Dengan 18 kemenangan dalam 21 perlawanan musim ini, adalah mengejutkan melihat barisan pertahanan Liverpool digemparkan oleh usaha gigih Newcastle untuk mendapatkan bola semula.
Dengan ketiadaan Trent Alexander-Arnold, yang direhatkan dan Ibrahima Konate, yang cedera, pertahanan Liverpool kelihatan rapuh.
Kelemahan barisan pertahanan Liverpool dapat dilihat melalui jaringan Alexander Isak pada separuh masa pertama, yang meletakkan Newcastle di hadapan.
Namun dalam sekelip mata, Liverpool membalas dengan menjaringkan gol penyamaan awal pada separuh masa kedua.
Anthony Gordon pula meletak Newcastle di hadapan sekali lagi pada minit ke-62.
Namun, keazaman Liverpool tidak pudar, sebahagian besarnya akibat kehadiran Salah yang hebat serta keputusan Slot memasukkan Alexander-Arnold.
Walaupun prestasinya hambar pada separuh masa pertama, Salah berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut.
Ini bermakna beliau telah menjaringkan 15 gol dalam semua pertandingan musim ini, termasuk sembilan dalam tujuh perlawanan liga.
Salah mula menyerlah dengan menghasilkan hantaran sangat baik ke arah Jones, yang membolehkan Jones menjaringkan gol mudah dari jarak dekat pada minit ke-50.
Newcastle kembali di depan selepas 62 minit apabila hantaran Isak membolehkan Gordon melepasi Kelleher dan menjaring gol jarak dekat.
Setelah membantu merintis gol pertama Liverpool, Salah menyamakan kedudukan pada minit ke-68, menamatkan gerakan hebat dengan rembatan jarak dekat hasil hantaran Alexander-Arnold.
Jaringan tersebut menjadi pembakar semangat Liverpool untuk cuba mendapatkan kemenangan lewat.
Salah berjaya menjaringkan gol pada minit ke-83, tetapi hasrat mereka memenangi perlawanan itu tidak kesampaian berikutan kesilapan Kelleher.
Dek keciciran mata buat pertama kali sejak mereka seri 2-2 di Arsenal pada 27 Oktober itu, kelebihan Liverpool di puncak EPL dikurangkan kepada tujuh mata.
Selepas kemenangan mengagumkan menentang Real Madrid pada 28 November dan Manchester City pada 2 Disember, pasukan bimbingan Slot dipuji sebagai pesaing utama bagi Liga Juara-Juara.
Kegagalan menewaskan Newcastle tidak akan mengubah tanggapan itu, tetapi Slot akan sedar tentang kelemahan barisan pertahanannya, yang dilanda kecederaan menjelang derby Merseyside menentang Everton di Goodison Park pada 7 Disember. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg