Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan Sepanyol Nadal, Alcaraz mara ke suku akhir beregu

Jul 31, 2024 | 3:06 PM
Dua jaguh tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz (kiri) dan Rafael Nadal, meraikan kemenangan ke atas beregu Belanda, Tallon Griekspoor dan Wesley Koolhof.
Dua jaguh tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz (kiri) dan Rafael Nadal, meraikan kemenangan ke atas beregu Belanda, Tallon Griekspoor dan Wesley Koolhof. - Foto REUTERS

PARIS: Pasangan pemain tenis Sepanyol, Rafa Nadal dan Carlos Alcaraz, mara ke suku akhir beregu lelaki dalam Sukan Olimpik 2024, di tengah-tengah suhu panas terik di Roland Garros pada 30 Julai.

Pasukan impian Sepanyol itu mara setelah mengalahkan beregu Belanda, Tallon Griekspoor dan Wesley Koolhof, 6-4 6-7 10-2.

Sehari selepas Nadal, juara Terbuka Perancis 14 kali, tersingkir daripada acara perseorangan berikutan kekalahannya kepada Novak Djokovic, pemain berusia 38 tahun itu bangkit dengan aksi cemerlang bersama rakan senegaranya.

Kededua pemain itu yang digelar Nadalcraz, menggembirakan penonton yang penuh sesak dan riuh rendah di gelanggang Court Suzanne Lenglen meskipun dalam cuaca panas dan tidak selesa, dengan mempamerkan permainan agresif dan mantap, dan terus menyalakan impian meraih pingat emas.

Alcaraz, 21 tahun, melakukan pukulan kemenangan untuk mendapat break bagi Sepanyol pada set pertama, yang membantu mereka menguasai permainan.

Bagaimanapun, Griekspoor dan Koolhof bertindak balas apabila menguasai tie-break set kedua, secara tidak langsung mengheret pertemuan mereka itu ke babak yang lebih menarik.

Begitupun, Nadal dan Alcaraz terus meniti kemenangan dengan mengungguli set penentu sebaik Griekspoor membalas servis Alcaraz ke jaring.

“Walaupun hari ini kami berasa kami bermain lebih baik daripada hari pertama, dan pada set kedua kami mengatasi mereka dari segi peluang dan tahap (permainan), kami tidak dapat mengambil peluang yang ada kerana mereka bermain dengan baik,” kata Nadal.

Nadal yang meraih emas beregu bersama Marc Lopez pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil, dan Alcaraz mempamerkan semangat juang dan motivasi tinggi di dalam dan luar gelanggang.

“Kami tidak biasa bermain sebagai pasukan beregu. Untuk menjadikan permainan ini lancar, kami perlu bermain dengan perasaan gembira dan tenaga yang tinggi.

“Itulah yang kami cuba lakukan. Kami mempunyai hubungan baik di luar gelanggang. Jadi, ia membantu kami semasa beraksi di dalam gelanggang,” ujar Nadal lagi.

Kededua mereka akan bermain dalam perlawanan suku akhir pada petang 31 Julai, dan berdepan pasangan pilihan keempat dari Amerika Syarikat, Rajeev Ram dan Austin Krajicek. – Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg