Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan boling lelaki S’pura cipta sejarah jadi juara

Sep 24, 2024 | 2:47 PM
Pasukan Boling Singapura yang terdiri daripada (dari kiri) Jaris Goh, Nu’man Syahmi, Mike Ong, Joel Tan, Darren Ong dan Jomond Chia muncul  juara Kejohanan Boling Tenpin Asia yang berlangsung di  Bangkok pada 23 September.
Pasukan Boling Singapura yang terdiri daripada (dari kiri) Jaris Goh, Nu’man Syahmi, Mike Ong, Joel Tan, Darren Ong dan Jomond Chia muncul juara Kejohanan Boling Tenpin Asia yang berlangsung di Bangkok pada 23 September. - Foto SBF

Berpegang kepada prinsip mereka, pasukan lelaki Singapura kekal fokus pada prestasi masing-masing semasa bertanding di Kejohanan Boling Tenpin Asia pada 23 September di Bangkok.

Namun, setelah menamatkan saingan blok kedua, pasukan seramai enam anggota itu – Darren Ong, Jaris Goh, Joel Tan, Mike Ong, Jomond Chia dan Nu’man Syahmi – tidak sedar bahawa mereka telah menjatuhkan cukup pin untuk dinobatkan sebagai juara.

Apabila keputusan akhir di pusat boling Blu-O Rhythm & Bowl menunjukkan bahawa mereka telah mengekalkan pendahuluan mereka dari hari sebelumnya dengan 6,449 jatuhan pin, barulah mereka sedar bahawa mereka merangkul kejuaraan.

Air mata membasahi pipi masing-masing apabila mereka menyedari bahawa mereka telah mencipta sejarah untuk menjadi pasukan lelaki Singapura pertama yang memenangi acara itu sejak 1982.

Darren, juara perseorangan dunia 2023, memberitahu akhbar The Straits Times (ST):

“Kami tidak sedar kedudukan pasukan lain, jadi sebaik mendapat tahu kami berjaya kekal di hadapan, semua orang gembira dengan keputusan itu.

“Kami terus fokus sehingga lontaran terakhir dan membuat keputusan terbaik untuk (diri kami).”

Atlet berusia 28 tahun itu menambah bahawa keadaan pada hari kedua adalah berbeza.

“Kami tahu kami mempunyai jurang yang agak selesa bagi saingan hari kedua sekalipun ia tidak menjejas tumpuan kami sebagai satu pasukan.

“Ia adalah corak lorong yang berbeza daripada hari sebelumnya, jadi kami kekal dengan strategi kami dan menyesuaikan lontaran,” katanya.

Corak lorong ialah susunan khusus tentang cara minyak digunakan pada permukaan lorong boling. Corak lorong yang berbeza mempengaruhi cara peserta menjatuhkan pin.

Pada hari pertama kejohanan, pasukan Singapura itu mendahului lain-lain pasukan dengan kelebihan 200 pin selepas blok pertama.

Namun, pasukan Singapura hampir kehilangan kelebihan pada blok terakhir pada hari kedua apabila pasukan Malaysia menjatuhkan 123 pin lebih banyak daripada mereka.

Mujur permulaan mereka yang baik cukup untuk menjamin kemenangan.

Pasukan Singapura itu menewaskan pasukan Malaysia (6,423) yang terpaksa berpuas hati di tangga kedua, dengan Hong Kong (6,237) di tempat ketiga.

Nu’man berkata pasukannya “gamam tidak terkata” selepas mencontohi pasukan Singapura yang menjuarai acara itu pada 1982. Mereka terdiri daripada Ronnie Ng, Peter Liew, Leon Lim, K.T. Ong dan A.K. Yong.

“Setiap anggota pasukan menjalankan peranan masing-masing dan menyokong satu sama lain,” ujar Nu’man, 24 tahun, yang memenangi kejuaraan antarabangsa pertamanya.

Darren menambah: “Semua orang gembira dengan keputusan itu. Ia (kejuaraan) sentiasa menjadi salah satu matlamat untuk pasukan lelaki, jadi ia sangat menggembirakan. Semua masa yang kami luangkan telah membuahkan hasil.”

Penolong jurulatih kanan, Vincent Lim, menyifatkan kemenangan itu seolah-olah sebagai “satu impian”.

“Kami telah bersedia untuk (kejohanan) ini bagi tempoh masa yang agak lama. Kami hampir-hampir memenangi kejohanan Asia dan Dunia dalam edisi lepas.

“Jadi kami tahu bahawa jika kami berpegang kepada proses kami… ia akan menentukan keputusan.

“Adalah satu keistimewaan menjadi sebahagian daripada pencapaian bersejarah ini dan kami percaya ia hanyalah satu permulaan.

“Semua orang dalam program nasional adalah istimewa, dan kami percaya bahawa apabila diberi peluang, sesiapa jua sedia tampil.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg