Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencapaian ‘penuh makna’, duduki tempat ketiga di Terbuka Boling Macau-China

Kali pertama atlet boling S’pura, Nu’man Syahmi, naiki podium di kejohanan antarabangsa
Jul 1, 2024 | 4:44 PM
Pemain boling Singapura, Nu’man Syahmi Yusri, meraih pencapaian podium antarabangsa pertamanya setelah mendapat tempat ketiga dalam acara Terbuka Lelaki di Terbuka Antarabangsa Macau-China pada 30 Jun. 
Pemain boling Singapura, Nu’man Syahmi Yusri, meraih pencapaian podium antarabangsa pertamanya setelah mendapat tempat ketiga dalam acara Terbuka Lelaki di Terbuka Antarabangsa Macau-China pada 30 Jun.  - Foto PERSEKUTUAN BOLING SINGAPURA

Pemain boling Singapura, Nu’man Syahmi Yusri, meraih pencapaian podium antarabangsa pertamanya setelah mendapat tempat ketiga dalam acara Terbuka Lelaki di Terbuka Antarabangsa Macau-China pada 30 Jun.

Di Pusat Boling Cotai, pemain berusia 24 tahun itu melayakkan diri ke pusingan kedua ‘Masters’ selepas menduduki tangga kedua dalam kelayakan. Tiga pemain teratas dalam kelayakan secara automatik mara ke pusingan kedua ‘Masters’.

Rentak prestasinya yang mengagumkan berterusan apabila beliau juga berada di tangga kedua daripada 22 pesaing dalam pusingan kedua ‘Masters’ untuk layak ke kelompok enam pemain terbaik dalam final ‘stepladder’.

Dalam perlawanan penentuan antara tiga pemain untuk menentang pemain pilihan utama dari Korea Selatan, Park Tae-yeon, pada final, Nu’man menjatuhkan 178 pin di depan pemain Korea Selatan, Han Seong-min (148), tetapi di belakang harapan tuan rumah, Lei Hok Hin (193) dari Macau.

Lei kemudian menewaskan Park pada perlawanan akhir.

Berkongsi detik manis itu bersama Berita Harian, Nu’man berkata: “Ini adalah kali pertama saya naik ke podium dalam pertandingan antarabangsa. Jadi, kemenangan ini begitu bermakna sekali bagi saya.”

Pencapaian terbaik Nu’man sebelumnya adalah tempat kelapan dalam acara perseorangan lelaki di Piala Dunia 2022 dan tempat keempat dalam Kejohanan Nasional Singapura pada 2023.

Nu’man, yang berada di bawah program spexPotensi, berkongsi bahawa perjalanannya dalam Terbuka Antarabangsa Macau-China pada awalnya mencabar.

“Semasa kelayakan, saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan teknik lontaran bola dengan permukaan lorong dan saya cuba pelbagai strategi sehingga saya selesa (beraksi).

“Apabila strategi itu berhasil, saya mengekalkan rentak permainan dan cuba melaksanakan sebaik mungkin, dan mampu mencatatkan jatuhan pin yang tinggi untuk layak ke pusingan kedua ‘Masters’,” jelas beliau, yang baru menamatkan Perkhidmatan Negara dan kini berlatih sepenuh masa.

Bagi final, sokongan seluruh skuad Singapura pula membantu Nu’man untuk mencatatkan prestasi terbaiknya.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih dan rakan sepasukan yang membantu menjadi ‘mata kedua’ saya untuk melihat dan memberi nasihat pada teknik saya... sesuatu yang sangat penting dalam boling. Mereka membantu saya membuat keputusan yang tepat pada saat-saat penting,” tambah beliau.

Nu’man merupakan satu-satunya wakil Singapura yang mara ke final ‘stepladder’. Tujuh lagi pemain boling lelaki Singapura – Joel Tan, Darren Ong, Joyan Khoo, Jaris Goh, Cheah Ray Han, Basil Ng, dan Donovan Goh – turut menyertai kejohanan.

Dengan pencapaian di Macau, Nu’man kini terdorong untuk terus meningkatkan tahap persembahannya.

“Walaupun saya ingin memperoleh keputusan yang lebih baik, saya percaya kemenangan ini penting untuk saya mengekalkan momentum dan rasa yakin bahawa saya boleh melakukannya dengan baik.

“Oleh itu, saya percaya ia adalah batu loncatan yang baik untuk saya terus bekerja keras dalam latihan,” kata bekas pelajar Sekolah Sukan Singapura itu, yang mula bergiat dalam sukan boling seawal usia tujuh tahun.

Seterusnya, Nu’man akan beraksi dalam Cabaran Euro Brunswick di Jerman dan Terbuka Antarabangsa Thailand pada Julai. Beliau berharap prestasinya dalam kededua pertandingan itu cukup untuk mendapat panggilan ke dalam skuad Singapura di Kejohanan Boling Asia yang akan diadakan di Bangkok, Thailand, pada September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg