Dania Adlina, 14 tahun, mahir menggunakan kededua tangan dan kakinya untuk bermain bola sepak dan juga bola jaring.
Pada musim Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG) 2025, atlet serba boleh itu menyertai kededua pertandingan bola jaring dan bola sepak sebagai penyerang.
Pada Ogos 13, Dania membuktikan bakatnya dalam pertandingan pusingan akhir bola sepak NSG 2025 dalam kategori perempuan Divisyen C.
Pelajar Sekolah Menengah Boon Lay itu menjaringkan tiga gol bagi pasukan Perkongsian Berasaskan Pusat (CBP) W3 semasa menentang juara bertahan, Sekolah Menengah Meridian 7-0, untuk meraih gelaran NSG pertama mereka, lapor The Straits Times (ST).
Rakan sepasukannya, Aria Romano, turut menjaringkan hatrik manakala Griva Antonia menjaringkan gol daripada tendangan penalti.
Diberi nama ‘BMW’, CBP W3 merupakan pasukan yang merangkumi pelajar daripada Sekolah Menengah Boon Lay, Sekolah Perempuan Methodist dan Sekolah Menengah Westwood – pasukan sedemikian membenarkan pelajar menyertai sukan yang tidak ditawarkan oleh sekolah mereka.
“Saya gemar menjadi penyerang kerana saya suka menjaringkan gol,” kata Dania, yang menyertai kededua latihan bola sepak dan bola jaring seminggu sekali.
“Saya dan rakan sepasukan sangat gembira menjadi juara setelah bekerja keras selama ini,” tambahnya.
Meskipun Dania tidak memenangi pingat dalam pertandingan bola jaring di NSG 2025, dia gembira memainkan peranan penting dalam memenangi pingat emas dalam pertandingan bola sepak.
Buat sementara ini, pelajar Menengah 2 itu membahagikan masanya antara bola sepak dengan bola jaring walaupun berazam mahu menjadi pemain bola sepak profesional.
Dania berkongsi: “Saya ingin bermain bola sepak di luar negara bersama pemain lebih hebat. Saya hanya boleh mencapai impian itu dengan bekerja keras.
“Bapa dan abang saya minat bola sepak dan pernah bermain sukan itu... saya juga terdorong meneruskannya.”
Griva daripada Sekolah Perempuan Methodist, yang dilahirkan di Singapura kepada ibu bapa berbangsa Greek, pula gembira dapat menyumbang kepada kemenangan pasukannya.
Atlet berusia 13 tahun itu berkata: “Saya mahu menjadi pemain bola sepak profesional dan mewakili Singapura.
“Buat sementara ini, saya mahu dipilih untuk menyertai pasukan perempuan bagi pertandingan Piala Lion City pada 2026.”
Ketua jurulatih CBP W3, Fahrish Khan, bangga dengan kemajuan pemainnya, sambil menyatakan melihat perkembangan mereka adalah lebih manis daripada mencapai pingat emas.
Jurulatih Meridian, Fabio da Silva, turut bangga dengan usaha pasukannya walaupun mengalami kekalahan besar.
“Kami bertanding dengan pasukan yang kuat tetapi saya mahu ucapkan tahniah kepada pasukan saya yang bertungkus-lumus sehingga ke pusingan terakhir.
“Kami gembira memenangi gelaran juara sepanjang tiga tahun lalu, jadi seronok melihat pasukan lain kini meraih kejayaan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg