Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shahdan sarung jersi Geylang International

Pemain berpengalaman berusia 37 tahun itu mampu bimbing pemain muda, kawal rentak permainan di bahagian tengah
Aug 13, 2025 | 8:00 PM
Pemain tengah, Shahdan Sulaiman, kini bakal beraksi untuk Geylang International di Liga Perdana Singapura (SPL) pula.
Pemain tengah, Shahdan Sulaiman, kini bakal beraksi untuk Geylang International di Liga Perdana Singapura (SPL) pula. - Foto INSTAGRAM GIFC

Setelah lama menanti untuk mewakili sebuah kelab dalam musim Liga Perdana Singapura (SPL) kali ini, pemain bola sepak setempat Shahdan Sulaiman, 37 tahun, akhirnya bakal menyarung pula jersi Geylang International.

Sebelum ini, bekas pemain Hougang itu telah memberitahu Berita Harian (BH) tentang kebimbangannya bahawa beliau mungkin memulakan musim tanpa kelab, walaupun masih yakin dengan kebolehannya untuk kekal menyumbang di padang bagi bola sepak Singapura.

“Pengalaman tak hilang dalam sehari. Minat tak padam sebab umur. Dan saya percaya, saya masih ada sesuatu yang berharga untuk ditawarkan,” katanya di media sosialnya apabila menghadapi cabaran tanpa kelab.

“Insya-Allah masih ada lagi peluang bagi saya di luar sana. Yang pasti saya masih mempunyai keinginan dan percaya bahawa saya masih berupaya untuk menyumbang dan bermain,” katanya kepada BH pula.

Kini pemain tengah itu telah diberi kepercayaan oleh Geylang International untuk menambah pengalaman berharga ke dalam skuad yang sedang berusaha menamatkan saingan SPL di tempat dua teratas.

Geylang mengumumkan penyertaan Shahdan di media sosial mereka.

“Bukan hanya pemain veteran, tetapi penuh dengan IQ bola sepak. Melihat dua gerakan di hadapan sebelum bola dimainkan. Tenang dan klinikal,” kata Geylang di media sosialnya.

Shahdan pula berterima kasih atas peluang yang diberi kepadanya.

“Alhamdulillah terima kasih kepada pengurusan dan pasukan kejurulatihan Geylang atas kepercayaan terhadap kemampuan saya dan memberi saya satu lagi peluang untuk bermain secara profesional,” kata beliau apabila dihubungi BH.

Dengan hampir dua dekad pengalaman dalam SPL – beraksi bersama kelab ternama seperti Tampines Rovers, LionsXII, Lion City Sailors, dan Hougang United – Shahdan membawa bersamanya kepimpinan, ketenangan dan keupayaan sepakan percuma yang luar biasa ke dalam skuad Geylang.

Beliau telah beraksi dalam lebih 400 perlawanan, menjaringkan 54 dan merintis 61 gol sepanjang kerjayanya.

Beliau membantu Tampines Rovers (2013) dan Lion City Sailors (2021) memenangi Liga Perdana Singapura.

Shahdan juga membantu Tampines Rovers memenangi Piala Singapura, menjadikannya antara pemain tempatan yang paling berjaya daripada segi jumlah piala.

Bagi pasukan Singa, beliau telah membuat 90 penampilan dan menjaringkan 5 dan merintis 11 gol.

Beliau juga merupakan sebahagian daripada pasukan Singapura yang berjaya ke peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric pada 2024.

Semasa musim 2023-2024, Shahdan merupakan antara tonggak utama Hougang United dan tampil dalam 34 perlawanan dalam SPL dan Piala Singapura.

Kini beliau menyertai barisan tengah Geylang yang turut menampilkan pemain seperti Vincent Bezecourt - yang merupakan sebahagian daripada pasukan terbaik SPL musim lalu, dan kehadirannya menambah persaingan kompetitif, pengalaman, serta kecerdasan taktikal kepada barisan tengah Eagles yang semakin kompetitif.

Bagi Geylang International, kehadiran Shahdan merupakan satu langkah strategik – menggabungkan seorang pemain veteran yang berkaliber, mampu membimbing pemain muda, mengawal rentak permainan di bahagian tengah, dan menjadi ancaman tetap menerusi situasi bola mati.

Bagi Shahdan sendiri, ini adalah bab baru dalam kerjaya gemilangnya.

Pada usia 37 tahun, beliau melangkah ke persekitaran baru di mana beliau boleh kekal menyumbang kepada pembangunan bola sepak Singapura.

Beliau berhasrat untuk kekal membantu pasukan mencapai kegemilangan, tidak kira di mana beliau bermain.

“Sudah tentu seperti setiap musim, saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan dalam apa jua kapasiti yang saya boleh, sama ada di atas padang atau di luarnya,” kata Shahdan.

“Bola sepak tidak pernah mengenai pencapaian saya secara peribadi, kerana saya sentiasa mengutamakan pasukan saya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg