Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan jujitsu S’pura bawa pulang satu pingat perak

Dec 12, 2025 | 8:04 PM

Atlet jujitsu Singapura, Paul Lim Tian Zhi (kiri), tewas 0-4 apabila menentang Aunjai Chanwit (kanan) dalam acara peringkat terakhir (Ne-Waza bawah 77 kilogram lelaki) di Sukan SEA 2025.
Atlet jujitsu Singapura, Paul Lim Tian Zhi (kiri), tewas 0-4 apabila menentang Aunjai Chanwit (kanan) dalam acara peringkat terakhir (Ne-Waza bawah 77 kilogram lelaki) di Sukan SEA 2025. - Foto BH oleh KHALID BABA

Paul Lim Tian Zhi dari Singapura hanya mampu diselubungi kekecewaan apabila tidak dapat menamatkan tiga kemenangan berturut-turut yang meyakinkan sebelum ini dengan pingat emas yang digenggam dalam acara peringkat terakhir jujitsu Newaza di bawah 77kg.

Beliau terpaksa berpuas hati dengan sebutir pingat perak - satu-satunya pingat diraih oleh pasukan jujitsu Singapura pada 12 Disember di Akademi Tentera Udara Navaminda Kasatriyahiraj, Bangkok - setelah tewas kepada atlet tuan rumah, Aunjai Chanwit, dalam pertarungan yang tegang dan sengit.

Chanwit mendapat kelebihan 2-0 awal melalui bantingan lincah dalam 15 saat pertama, sekali gus meletakkan tekanan kepada Lim untuk cuba menyamakan kedudukan.

Lim mendapat sedikit ruang bernafas pada pertengahan perlawanan dalam tempoh henti rehat perubatan dan dengan segera kembali memberi tekanan kepada lawannya.

Beliau berjaya melilitkan kakinya pada leher Chanwit untuk mencuba kuncian segi tiga bagi memburu kemenangan melalui langkah penyerahan.

Namun, lawannya berjaya membebaskan diri dan Lim pula tergesa-gesa cuba membanting Chanwit untuk menyamakan kedudukan.

Dalam saat-saat terakhir, Paul dibanting oleh Chanwit dalam kesungguhan bertarung bermati-matian, dan harapannya untuk gondol pingat emas terpadam.

Beliau meluahkan kekecewaannya kepada Berita Harian (BH) selepas pertarungannya:

“Saya juga kecewa dengan perlawanan terakhir saya kerana saya pernah mengatasi lawan ini (Chanwit).”

Beliau telah mengatasi lawan dari Laos, Thailand dan Vietnam sebelum berdepan dengan Chanwit.

Walaupun beliau berjaya mencapai beberapa posisi dominan ke atas lawannya, beliau mengakui terlalu letih untuk melaksanakan teknik dengan sepenuhnya, termasuk kuncian segi tiga.

Beliau menambah: “Saya puas dengan teknik saya, tetapi saya perlu meningkatkan kekuatan dan daya ketahanan saya supaya lebih bersedia.”

Rakan sepasukannya turut memberi saingan sengit dalam pertarungan yang tegang walaupun tidak berpeluang meraih pingat.

Ivan Chua Minglai, yang kembali ke pertandingan utama sejak Sukan Asia 2018, turut memberi tentangan yang sengit sepanjang empat perlawanan bagi acara Newaza bawah 77kg juga, namun terlepas peluang meraih pingat gangsa apabila dijatuhkan oleh seteru tuan rumah, Polput Kampanart, dalam Pusingan Penyingkiran Berganda 2 (Repechage).

Atlet wanita Singapura, Natasha Mustafa dan Ee Yin Jaslyn, turut mempamerkan kegagahan mereka di dalam acara Newaza di bawah 63kg, dengan memaksa lawan mereka bertarung bermati-matian untuk menumpaskan mereka.

Natasha tewas dalam kededua pertarungannya menentang lawan dari Thailand dan Indonesia - 0-2 dan 0-2.

Ee Yin pula ditumpas oleh lawan dari Filipina. 0-1, dan kemudian 2-3 oleh lawan dari Vietnam.

Jurulatih jujitsu, Fabio Da Mata, berkata mereka kecewa tidak memenuhi sasaran membawa pulang sebutir lagi pingat emas.

Namun, jurulatih jujitsu, Takeo Tani, pula berkata beliau tetap bangga dengan aksi anak didiknya.

“Natasha dan Jaslyn merupakan masa depan jujitsu… kami teruja dengan semangat juang mereka,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg