Bagi Nayli Nur Syazleen Sazali, Kejohanan Ju-Jitsu Asia 2025 yang berlangsung dari 21 hingga 27 Mei di Amman, Jordan bukan sekadar medan pertarungan antarabangsa – ia adalah detik permulaan yang luar biasa dalam perjalanan barunya sebagai atlet jujitsu.
Meskipun baru sahaja menyertai sukan itu pada Mac 2025, dan hanya menjalani latihan selama sebulan, Nayli pulang dengan dua pingat gangsa dalam kategori berpasukan wanita – Ju-Jitsu Pasangan dan Ju-Jitsu Seni – kededuanya bersama pasangan dan rakan seperjuangannya, Atiq Syazwani Roslan.
“Saya memang tak sangka boleh menang. Masa mula-mula tu, saya sangat gementar sebab saya bertanding dengan atlet yang pernah ke Sukan SEA dan kejohanan dunia,” kongsi Nayli, yang berusia 23 tahun dan baru menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan di Politeknik Nanyang.
Beliau sebahagian pasukan Singapura yang turut mengharumkan nama negara dan pulang dengan 11 pingat – satu perak dan 10 gangsa.
Antara yang memenangi pingat ialah pasangan jujitsu Nayli, Atiq Syazwani, yang memenangi pingat gangsa dalam kategori -56 kilogram (kg) (Sistem Pertarungan Wanita), selain memenangi dua pingat gangsa bersama Nayli.
Pemenang pingat perak tunggal, Danish Faiz Khairulnizam, cemerlang dalam kategori bawah 21 tahun bagi -69kg (Sistem Pertarungan Lelaki).
Alisha Nasha Danial Haris pula memperoleh pingat gangsa dalam kategori -48kg bawah 21 tahun (Sistem Pertarungan Wanita).
Dalam acara berpasukan lelaki, pasangan Muhammad Farrel Danish Mohamed Fari dan Aqil Zubair Taufek turut membawa pulang gangsa dalam acara Ju-Jitsu Seni Lelaki.
Nayli, yang mempunyai latar belakang dalam Seni Silat Gayong Perwanit selama hampir 20 tahun, pada awalnya hanya ingin mencuba jujitsu sebagai satu cabaran baru.
“Saya sudah lama berkecimpung dalam sukan silat, dari umur tiga tahun lagi. Tapi saya rasa ingin cuba sesuatu yang berbeza.
“Jurulatih saya yang memperkenalkan jujitsu dan saya terus tertarik terutamanya dengan acara pasangan dan seni,” katanya.
Sebagai peserta baru dalam arena jujitsu, pengalaman pertamanya di pentas antarabangsa turut disertai dengan cabaran mental, terutamanya melawan kegusaran dan kebimbangan diri.
“Saya memang rasa takut dan cemas. Tapi jurulatih dan pasangan saya, Kak Wani (Atiq Syazwani), banyak beri semangat. Mereka selalu pesan untuk jangan takut buat silap, dan apa pun yang saya persembahkan, mereka tetap bangga sebab saya dah cuba sedaya upaya walaupun baru berlatih sebulan,” katanya lagi.
Nayli juga berkongsi amalan yang membantunya mengatasi tekanan sebelum pertandingan.
“Saya akan baca doa dan ingat pesan mak ayah – buat yang terbaik dan jangan fikir tentang orang atau perkara lain,” ujarnya.
Nayli kini sudah menyasarkan Sukan SEA sebagai destinasi seterusnya dalam kerjaya sukan beliau.
“Insya-Allah saya mahu cuba bertanding di Sukan SEA dan sasar pingat juga. Buat masa ini, jurulatih sedang merancang persediaan kami,” tambah beliau, yang turut bersiap sedia untuk bertanding di kejohanan seterusnya, iaitu Kejohanan Asia Tenggara di Filipina pada Julai.
Kepada belia yang berminat menyertai jujitsu, Nayli memberikan pesanan ringkas tetapi bermakna.
“Jangan takut untuk cuba perkara baru. Kadang-kadang sukan yang kita tak jangka boleh jadi sesuatu yang kita minat dan bawa kita pergi jauh,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg