Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasukan ‘kerdil’ tunjuk taring, bukti mereka mampu bersaing di Piala Dunia
Pasukan ‘kerdil’ tunjuk taring, bukti mereka mampu bersaing di Piala Dunia
Maghribi, Qatar, Cape Verde, Arab Saudi antara pasukan curi perhatian peminat bola sepak
Pasukan ‘kerdil’ tunjuk taring, bukti mereka mampu bersaing di Piala Dunia
Belum genap seminggu sejak Piala Dunia 2026 membuka tirainya, namun reputasinya sebagai antara kejohanan paling terbuka dalam sejarah sudah mula terbukti.
Pasukan ‘kecil’ atau bukan pilihan (underdog) kini tidak lagi sekadar hadir untuk melengkapkan jadual pertandingan.
Sebaliknya, mereka mula mencuri mata daripada gergasi bola sepak dunia.
Maghribi berjaya mengikat Brazil, Qatar meraih satu mata menentang Switzerland, Cape Verde mengejutkan Sepanyol dengan keputusan seri tanpa jaringan, manakala Arab Saudi pula membawa pulang satu mata berharga menentang Uruguay.
Lebih menarik, semua negara tuan rumah – Canada, Mexico dan Amerika Syarikat – berjaya sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dalam perlawanan pembukaan mereka.
Seperti Guillermo Ochoa yang pernah menjadi wira Piala Dunia 2014 melalui aksi luar biasa bersama Mexico, penjaga gol sekali lagi menjadi watak utama dalam banyak kejutan awal kejohanan.
Dari Qatar hingga Cape Verde, persembahan cemerlang sebagai benteng pertahanan terakhir pasukan telah mengubah jangkaan perlawanan yang sepatutnya dimenangi pasukan pilihan menjadi malam yang mengecewakan buat mereka.
Namun begitu, tidak semua penjaga gol menikmati permulaan yang baik, dengan hanya beberapa detik kecuaian membuat pasukan keciciran mata.
Salah satu detik paling ketara adalah dalam perlawanan seri 1-1 antara Arab Saudi dengan Uruguay.
Penjaga gawang Saudi, Mohammed Al Owais, melakukan beberapa aksi hebat.
Namun akhirnya benteng beliau dibolosi selepas beliau gagal mengawal percubaan Uruguay sebelum Maxi Araujo memanfaatkan peluang untuk menyamakan kedudukan.
Jaringan Saudi juga tiba dalam gaya yang serupa apabila penjaga gawang Uruguay, Fernando Muslera, hanya berjaya menepis percubaan Saudi dan bola menuju ke arah Abdulelah Alamri yang cepat bertindak untuk menjaringkan gol untuk pasukannya.
Namun, Alowais tidak membenarkan kesilapannya menjejas keyakinannya untuk baki kejohanan.
“Dalam perlawanan pertama, agak biasa untuk menyaksikan beberapa kesilapan dari kededua pasukan. Uruguay juga hanya temui rentak mereka pada separuh masa kedua,” katanya.
“Kami masih membiasakan diri dengan persekitaran dan keadaan di dalam padang.”
Selain itu, apa yang paling ketara pada hari-hari awal kejohanan ini bukan sekadar keputusan, tetapi cara keputusan itu terhasil.
Pasukan bukan pilihan tampil dengan disiplin pertahanan yang tinggi, struktur lebih kemas, serta keyakinan yang semakin meningkat dalam fasa transisi.
Jurang dari segi organisasi permainan dilihat semakin mengecil.
Jika dahulu pasukan kecil hanya bertahan dan berharap, kini mereka lebih berani mengganggu rentak lawan, malah menekan pada fasa tertentu, serta melancarkan serangan balas yang lebih tersusun, seperti yang dilihat dalam perlawanan 2-2 antara Jepun dengan Belanda.
Ia juga boleh dikatakan bahawa keciciran mata oleh pasukan-pasukan gergasi juga adalah atas sebab memandang rendah pasukan lawan.
Sebagai contoh, Belgium memilih untuk memainkan Charles De Ketelaere, yang asalnya seorang pemain tengah, sebagai seorang penyerang apabila menentang Mesir.
Walaupun Belgium berjaya menghasilkan beberapa peluang, mereka tidak mempunyai penyerang yang mampu memanfaatkannya.
Hanya 26 saat selepas penyerang Belgium, Romelu Lukaku dimasukkan padang, negara itu berjaya menjaringkan gol penyamaan.
Walaupun dikatakan bahawa Belgium sepatutnya mempunyai cukup kualiti untuk mengatasi Mesir walaupun tanpa Lukaku, keadaan cuaca, persekitaran yang berlainan merapatkan jurang kualiti antara pasukan.
Apabila jurang itu semakin mengecil, perlawanan juga makin sengit dan kejutan lebih mudah berlaku.
Dengan saingan kumpulan masih panjang, implikasinya sangat besar.
Setiap mata menjadi semakin penting, dan kehilangan mata awal boleh memberi kesan besar terhadap peluang kelayakan serta laluan ke peringkat kalah mati.
Dalam peringkat kumpulan yang semakin sengit, ruang untuk kesilapan kini terlalu kecil untuk diabaikan.
Jika minggu pertama menjadi petunjuk, Piala Dunia 2026 sedang menuju ke arah kejohanan yang tidak lagi dikuasai secara mudah oleh pasukan pilihan.
Sebaliknya, ia sedang dibentuk oleh perlawanan ketat, penjaga gol yang menjadi wira, serta pasukan underdog yang berani mencabar hierarki bola sepak dunia.
