Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan lawan pedang S’pura kekal jaguh

Dec 18, 2025 | 9:53 PM
sukan sea 2025, lawan pedang, singapura
Pasukan lawan pedang Singapura sudah mengumpul enam pingat emas, tiga perak dan dua gangsa di Sukan SEA 2025. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pada hari ketiga acara lawan pedang Sukan SEA 2025 pada 18 Disember, Team Singapore merangkul dua emas daripada tiga acara yang dipertandingkan.

Di pusat beli-belah Fashion Island, Bangkok, Singapura memenangi acara berpasukan – ‘foil’ lelaki dan ‘epee’ wanita.

Pasukan ‘sabre’ wanita pula membawa pulang pingat perak.

Ini sekali gus menjadikan pungutan emas negara di Sukan SEA ini kepada enam dengan berbaki satu hari lagi acara lawan padang pada 19 Disember.

Ia hanya kurang satu daripada tujuh pingat emas yang dimenangi mereka dalam Sukan SEA 2023, di Kemboja.

Pasukan ‘epee’ wanita yang terdiri daripada – Kiria Tikanah Abdul Rahman, Filzah Hidayah Nor Anuar, Elle Koh, Esther Tan – menumpaskan Thailand 45-36 sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka pada Sukan SEA 2023.

Di peringkat separuh akhir, mereka terpaksa menempuh saingan hebat dari Filipina yang juga merupakan finalis temasya lalu.

Mereka terpaksa berhempas-pulas untuk menewaskan lawan mereka itu 45-40 di akhir sembilan pusingan yang penuh debaran.

Semasa peringkat final pula, walau sorakan penyokong tuan rumah memenuhi gelanggang pusat beli-belah Fashion Island, Bangkok, ia tidak menggentarkan semangat srikandi negara.

Untuk tujuh pusingan pertama, jurang mata bagi kedua-dua Singapura dengan Thailand amatlah tipis dengan Singapura hanya mendahului 35-34.

Namun di pusingan kelapan, pemenang pingat emas bagi acara ‘epee’ perseorangan wanita, Koh, melebarkan jurang kepada 39-34.

Ia memberi Singapura jurang yang selesa sebelum atlet terakhir, Kiria, mengakhiri perlawanan dengan pungutan 45 mata.

Di sebalik lautan penyokong tuan rumah Thailand, keluarga Filzah pula kelihatan setia memberi sokongan penuh kepada puteri mereka dengan penuh rasa bangga.

Ini merupakan kali pertama mereka hadir menyaksikan dan menyokong Filzah di pentas Sukan SEA.

Sebelum ini, pelajar tahun kedua jurusan Maritim di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu pernah meraih pingat emas dalam acara sama pada Sukan SEA 2023.

Nenek Filzah, Faridah Ibrahim, yang hadir berkerusi roda berkata:

“Saya terlalu gembira, ini kali kedua beliau menang. Saya harap beliau terus berjaya dalam lawan pedang, dan juga pelajarannya.

Ibu Filzah pula, Farizah Mohamad Noor, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya dan berkata:

“Saya rasa bersyukur dan gembira sampai tidak terkata. Ketika perlawanan semakin sengit, saya rasa gemuruh dan banyak berdoa untuk Team Singapore dan alhamdulillah mereka berjaya.”

Anggota keluarga Filzah Hidayah Nor Anuar, hadir ke Bangkok untuk memberikan semangat kepada puteri mereka itu. Berada dalam gambar ialah (dari kiri) adik, Firdaus Nur Rashid; ayah, Nor Anuar Mohd Rashid; ibu, Farizah Mohamad Noor; dan nenek, Faridah Ibrahim.
Anggota keluarga Filzah Hidayah Nor Anuar, hadir ke Bangkok untuk memberikan semangat kepada puteri mereka itu. Berada dalam gambar ialah (dari kiri) adik, Firdaus Nur Rashid; ayah, Nor Anuar Mohd Rashid; ibu, Farizah Mohamad Noor; dan nenek, Faridah Ibrahim. - Foto BH oleh MUHD HAZMAN ABD AZIZ

Dalam acara lelaki pula, mereka merampas semula gelaran juara apabila terlepas mempertahankannya pada 2023 dan merangkul pingat perak.

Gandingan Jonathan Lim, Samuel Robson, Julian Soh dan Raphael Tan menewaskan Malaysia 45-20.

Ia juga pingat emas kedua bagi Tan, yang turut meraih pingat emas dalam acara ‘foil’ perseorangan lelaki pada 16 Disember.

Sebelum itu, pasukan ‘sabre’ wanita yang dianggotai Juliet Heng, Christine Tan, Jermaine Tan dan Jae Lim meraih pingat perak selepas tewas 32-45 kepada Thailand dalam perlawanan akhir.

Menjelang peringkat akhir, kuartet Singapura itu menewaskan juara bertahan Vietnam 45-41 di separuh akhir untuk mencatatkan pencapaian terbaik negara dalam acara ‘sabre’ wanita.

Dalam empat penyertaan sebelum ini, pasukan negara sekadar memenangi pingat gangsa.

Atlet yang bertanding di acara berpasukan ‘sabre’ wanita mengambil gambar bersama di upacara pembahagian pingat. (Dari kiri) pingat perak, Singapura; pingat emas, Thailand; pingat gangsa bersama, Filipina dan Vietnam.
Atlet yang bertanding di acara berpasukan ‘sabre’ wanita mengambil gambar bersama di upacara pembahagian pingat. (Dari kiri) pingat perak, Singapura; pingat emas, Thailand; pingat gangsa bersama, Filipina dan Vietnam. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pada Sukan SEA 2023, Singapura muncul sebagai negara teratas dalam sukan lawan pedang apabila meraih rekod tujuh pingat emas daripada 12 kategori yang dipertandingkan.

Selain itu, beberapa pingat perak turut dimenangi Team Singapore dalam acara sukan lain.

Ini termasuk dalam acara gantian berpasukan duathlon wanita dan acara kompaun berpasukan dan individu wanita bagi memanah.

Chantal Liew turut memenangi pingat perak dalam acara renang 10km manakala Valencia Tan memenangi acara berbasikal.

Sementara itu, selepas melakar sejarah dengan menjadi lelaki Singapura pertama memenangi pingat emas dalam acara terjun cantik Sukan SEA dalam tempoh 60 tahun – acara papan anjal satu meter lelaki – Avvir Tham memenangi pingat perak dalam acara tiga meter pula.

Manakala dalam sukan sofbol lelaki, pasukan itu memenangi pingat perak apabila tewas 0-3 kepada Filipina dalam peringkat akhir.

Sehingga waktu cetak, Singapura telah memenangi 48 emas, 51 perak dan 80 gangsa.

Thailand pula di tangga teratas dengan 418 pingat (196 emas, 129 perak, 93 gangsa), Indonesia dengan 274 pingat (80 emas, 92 perak, 102 gangsa) dan Vietnam dengan 243 pingat (72 emas, 72 perak, 99 gangsa).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg