Walau mengalami kekecewaan terlepas pingat emas di acara epee perseorangan wanita, atlet lawan pedang negara, Kiria Tikanah Abdul Rahman, tidak membiarkan kegagalan itu menjejas dirinya.
Malah, beliau membuktikan kepada diri sendiri bahawa beliau tetap boleh teruskan perjuangan dan beraksi pada tahap yang tertinggi.
Beliau serta tiga lagi rakan sepasukan – Filzah Hidayah Nor Anuar, Elle Koh, Esther Tan – merangkul pingat emas di acara epee berpasukan pada 18 Disember.
Pertembungan yang diadakan di pusat beli-belah Fashion Island itu menyaksikan srikandi lawan pedang negara menumpaskan Thailand 45-36.
“Saya tidak mahu kata menebus kekecewaan tetapi lebih kepada membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya masih mampu bersaing di tahap tertinggi (walaupun selepas melalui rintangan).
“Ia sangat manis apabila saya dapat menyumbang kepada kejayaan pasukan untuk memenangi pingat emas,” kata beliau kepada Berita Harian (BH).
Pada 16 Disember, Kiria tewas di peringkat final acara epee perseorangan wanita kepada rakan senegara yang juga teman baiknya, Koh.
Bangkit daripada perlawanan itu, Kiria mempamerkan prestasi cemerlang di acara berpasukan.
Dengan pengalaman dan kemahiran yang baik dalam mempertahankan diri daripada serangan pedang lawan, Kiria mendorong pasukannya untuk mengekalkan gelaran juara yang mereka raih di Sukan SEA 2023.
Rakan sepasukannya yang juga pernah memenangi acara itu di temasya lalu, Filzah, berkata ini merupakan kali pertama beliau lihat Kiria mempamerkan emosi yang luar biasa.
Menurutnya, Kiria merupakan seseorang yang pendiam dan jarang menunjukkan emosinya.
“Di perlawanan akhir, kami sangat gementar sehingga ia menjejas corak serangan kami.
“Satu-satunya perkara yang mendorong kami untuk terus bertahan ialah sokongan sesama sendiri.
“Kami cuba naikkan semangat satu sama lain sehingga suasana menjadi begitu ‘hype’ (riuh), dan saya paling terperanjat apabila lihat Kiria jerit buat kali pertama,” katanya sambil ketawa.
Sebelum perlawanan itu, gandingan Jonathan Lim, Samuel Robson, Julian Soh dan Raphael Tan menewaskan Malaysia 45-20 untuk meraih pingat emas bagi acara foil berpasukan lelaki.
Pasukan sabre wanita yang dibarisi Juliet Heng, Christine Tan, Jermaine Tan dan Jae Lim pula memenangi pingat perak selepas tewas 32-45 kepada Thailand di perlawanan akhir.
Ini menjadikan pungutan pingat emas untuk lawan pedang negara kepada enam di Sukan SEA setakat ini.
Acara lawan pedang akan menutup tirainya pada 19 Disember dengan tiga lagi acara – pasukan foil wanita, pasukan epee lelaki, pasukan sabre lelaki.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg