Susulan kejutan pingat perak beregu lelaki di Kejohanan Tenis Meja Asia pada 12 Oktober, Koen Pang dan Izaac Quek kembali mengukir kejayaan apabila meraih kedudukan nombor 10 terbaik di dunia dan layak ke pusingan akhir Kejohanan Tenis Meja Dunia (WTT) sekali lagi.
Kededuanya akan bermain dalam kejohanan di Fukuoka, Jepun pada 20 hingga 24 November, sebagai gandingan ketujuh tertinggi dalam kalangan lapan pasangan.
Mereka merupakan warga Singapura kelahiran tempatan pertama yang beraksi dalam kejohanan itu apabila tewas 3-0 kepada adik-beradik Perancis Alexis dan Felix Lebrun pada pusingan pertama edisi 2023 di Doha, Qatar, pada Januari.
Bermain di hadapan kalangan elit dunia membangkitkan semula kepercayaan diri Pang selepas gagal untuk bertanding di Olimpik Paris 2024.
Kini, Pang sedang berusaha untuk mendapatkan tempat di Olimpik Los Angeles 2028 lapor The Straits Times (ST).
“Saya berasa sangat teruja dengan peluang untuk bermain di pusingan akhir WTT sekali lagi.
“Izaac dan saya mempunyai gandingan baik antara kami, jadi kami memahami permainan antara satu sama lain dengan baik.
“Tetapi masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan, terutamanya apabila kita masuk ke ‘rally’ berpanjangan.
“Sasaran saya pergi ke Fukuoka adalah untuk berseronok dan bermain pingpong sebaik mungkin,” kongsi Pang kepada ST.
Persatuan Tenis Meja Singapura menyatakan rasa bangganya atas “pencapaian luar biasa kededuanya dalam kelayakan ke pusingan akhir WTT dua kali berturut-turut” dan berharap bermain menentang pemain terbaik dunia akan membantu perkembangan mereka.
Disebabkan akan ke Jepun untuk pusingan akhir pertandingan, Pang dan Quek tidak akan menyertai rakan sepasukan mereka pada Kejohanan Tenis Meja Asia Tenggara pada 19 hingga 24 November di Bangkok, Thailand.
Tetapi Quek yang berusia 18 tahun masih bersedia untuk minggu yang sukar kerana beliau juga akan menyertai Kejohanan Remaja Dunia (ITTF) dari 22 hingga 29 November di Helsingborg, Sweden.
Beliau bakal bergandingan dengan rakan senegara, Ser Lin Qian dalam beregu campuran bawah 19 tahun mulai 24 November, sehari selepas perlawanan akhir beregu lelaki WTT.
Quek berkata: “Bermain dalam pertandingan berturut-turut bukanlah sesuatu yang baru bagi saya. Saya sudah biasa bermain beberapa kejohanan secara berturut-turut. Ia agak normal dan saya tidak fikir saya akan letih.
“Saya akan mencuba yang terbaik dalam kededua kejohanan, membuat persiapan sebaik mungkin, dan cuba memenangi perlawanan pertama kami di Pusingan Akhir WTT bersama Koen.”
“Saya juga sangat teruja untuk bersaing dan melihat bagaimana saya bertanding dengan pemain sebaya dengan saya di Kejohanan Remaja Dunia.
“Walaupun saya memenangi dua perak pada edisi lepas, gandingan kali ini berbeza jadi saya perlu menetapkan semula, fokus pada satu matlamat dalam satu masa dan semoga berjaya dengan Lin Qian dan Darius.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg