MANCHESTER: Manchester United telah membuat tawaran untuk penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko, dengan pakej pemindahan bakal meningkat kepada £73.8 juta ($126.4 juta).
Tawaran tersebut merangkumi bayaran terjamin berjumlah £65.2 juta, lapor BBC Sport.
Walaupun belum menerima sebarang respons, The Red Devils yakin penilaian tersebut adalah tepat untuk memperoleh penyerang Slovenia itu yang ingin berpindah ke Old Trafford.
Newcastle United turut mahukan Sesko dan telah membuat tawaran berjumlah sekitar £69.5 juta sambil berunding dengan Leipzig.
United rela melepaskan penyerang Rasmus Holjund untuk memberi ruang kepada Sesko.
Sesko telah menjaringkan 39 gol dalam 87 perlawanan untuk Leipzig.
Dengan ketinggian 1.95 meter, beliau turut memberikan kehadiran fizikal tambahan yang ketara kepada barisan serangan kelab Old Trafford itu.
Sebelum ini, sumber United menjelaskan bagaimana kelab itu boleh mendapatkan tandatangan Sesko, walaupun pemilik bersama United, Encik Jim Ratcliffe, berkata pada awal 2025, bahawa kelab itu berpotensi muflis menjelang Krismas jikalau langkah penjimatan kos secara besar-besaran tidak diambil.
Urusan pembayaran untuk pemain Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo daripada kelab Wolves dan Brentford, yang berjumlah £130 juta secara keseluruhan, telah berjalan dengan baik.
Selain itu, gaji pemain Marcus Rashford yang berjumlah £325,000 seminggu sedang dibiayai kelab liga Sepanyol, Barcelona setelah perpindahannya ke sana sebagai pemain pinjaman.
United juga menerima £5 juta daripada kelab Chelsea setelah mereka menarik balik persetujuan untuk membeli pemain Jadon Sancho.
United menerima bayaran lebih £15 juta daripada klausa penjualan yang melibatkan Anthony Elanga, Alvaro Carreras dan Maxi Oyedele.
Sejak berpindah ke liga Jerman, Sesko merupakan penjaring gol terbanyak untuk bawah 23 tahun, dalam semua pertandingan bagi lima liga utama Eropah, dengan jaringan 39 gol dalam 87 perlawanan.
Beliau mengatasi pemain Real Madrid, Jude Bellingham, dengan satu gol dan pemain Liverpool yang baru sahaja pindah daripada Bayer Leverkusen untuk jumlah £100 juta, Florian Wirtz, sebanyak lima gol.
Sesko mempunyai kekuatan dan kelajuan yang menjadikannya ancaman apabila menerima hantaran tinggi.
Beliau juga pemain serba boleh kerana lebih kerap melibatkan diri dalam serangan dari bahagian sayap dan tengah.
Berbanding musim 2023/24, yang menyaksikan beliau menghasilkan sentuhan bola sebanyak 17 peratus dalam kotak penalti pasukan lawan, pada musim 2024/25 pula, beliau mencatatkan sentuhan sebanyak 9.7 peratus sentuhan di tempat yang sama.
Beliau juga antara penyerang yang paling laju dalam Bundesliga dengan kelajuan 35.7 kilometer sejam.
Sesko juga mempunyai kehebatan menjaringkan gol dari luar kotak penalti, yang menyaksikan 36.8 peratus percubaan gol dan 23.1 peratus gol dihasilkan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg