Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan pelarian di Olimpik tetap bangga, buru pingat

Jul 24, 2024 | 3:09 PM
Petinju kelahiran Cameroon, Cindy Ngamba berbangga mewakili pasukan pelarian Olimpik 2024 dan menyasar memenangi pingat dalam sukan itu.
Petinju kelahiran Cameroon, Cindy Ngamba berbangga mewakili pasukan pelarian Olimpik 2024 dan menyasar memenangi pingat dalam sukan itu. - Foto REUTERS

PARIS: Anggota pasukan pelarian Olimpik ingin sekali suara mereka didengari dunia semasa Sukan Olimpik Paris 2024.

Ini kerana ia bakal meningkatkan kesedaran kepada berjuta-juta orang yang kehilangan tempat tinggal di seluruh dunia.

Namun, seperti atlet lain, mereka juga bercita-cita tinggi, iaitu memburu pingat, kata beberapa pembawa bendera pasukan berkenaan pada 23 Julai.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah mengumpul pasukan pelarian terbesar – seramai 37 atlet yang akan bersaing di sukan itu bermula 26 Julai.

Atlet dari negara seperti Syria, Sudan, Cameroon, Habsyah, Iran dan Afghanistan itu akan bertanding dalam 12 acara di Sukan Paris 2024, kali ketiga pasukan sedemikian dibentuk bagi temasya Olimpik Musim Panas.

“Sebaik saja nama ‘pasukan pelarian Olimpik’ dipanggil, pelarian di seluruh dunia akan menyedari (kehadiran) kami,” kata petinju kelahiran Cameroon, Cindy Ngamba, yang kini berpangkalan di Britain.

“Kami dilihat sebagai satu pasukan, atlet, pejuang dan atlet dengan minat mendalam yang menjadi sebahagian daripada satu keluarga.

“Kami tidak takut, tidak malu, sebaliknya bangga menjadi pelarian. Kami tahu kami tidak bersama mereka, tetapi kami dapat merasakan tenaganya,” tambahnya.

IOC memperkenalkan pasukan pelarian pertama di temasya Rio 2016 di Brazil dengan 10 atlet untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu penting itu, sedang ratusan ribu pelarian dari Timur Tengah membanjiri Eropah dan tempat lain selepas melarikan diri daripada konflik serta belenggu kemiskinan di negara mereka.

Pasukan pelarian yang bertanding di Olimpik Tokyo 2020 yang diadakan pada 2021 disebabkan pandemik Covid-19, mempunyai 29 atlet, iaitu hampir tiga kali ganda lebih besar berbanding pasukan Rio.

Namun, pasukan di Paris 2024 bukan sahaja paling besar, malah turut mempunyai lambang sendiri.

“Ia 100 peratus penting,” kata Ngamba mengenai lambang itu.

“Asasnya adalah mengenai pasukan dan keluarga. Menjadi sebahagian daripada keluarga unik adalah segala-galanya.

“Sebelum ini, kami bertanding secara individu, atau melibatkan dua atau tiga orang. Kini kami dalam kumpulan besar, satu keluarga yang mewakili pasukan pelarian. Kami akan angkat kepala dan berbangga menyertai pasukan ini,” ujarnya.

Bagi seorang lagi pembawa bendera, Yahya Al Ghotany, yang terpaksa meninggalkan Syria yang dilanda peperangan dan akan bertanding dalam taekwondo, pasukan itu menyebarkan mesej harapan.

Al Ghotany menyertai sukan itu ketika beliau berada di kem pelarian di Jordan.

“Saya berasa cukup gembira untuk mewakili ramai orang yang melalui pengalaman sama seperti saya – mewakili lebih 100 juta orang yang kehilangan tempat tinggal di seluruh dunia.

“Ia sangat penting kerana ia membawa mesej harapan,” tambahnya. – Reuters.

“Sebaik saja nama ‘pasukan pelarian Olimpik’ dipanggil, pelarian di seluruh dunia akan menyedari (kehadiran) kami. Kami dilihat sebagai satu pasukan, atlet, pejuang dan atlet dengan minat mendalam yang menjadi sebahagian daripada satu keluarga. Kami tidak takut, tidak malu, sebaliknya bangga menjadi pelarian. Kami tahu kami tidak bersama mereka, tetapi kami dapat merasakan tenaganya... 
Cindy Ngamba, petinju kelahiran Cameroon.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg