PARIS: Ketua Sukan Olimpik Paris, Encik Tony Estanguet, berkata pada 21 Julai bahawa bandar itu “sudah bersedia” untuk temasya sukan itu.
Dalam pada itu, beliau kurang menonjolkan aduan daripada sebilangan penduduk dan perniagaan mengenai kesan negatifnya.
“Kami sudah bersedia sedang kami memasuki fasa terakhir,” kata Encik Estanguet dalam satu sidang media di Paris, lima hari sebelum upacara pembukaan temasya sukan itu pada 26 Julai.
“Selagi (temasya) ini belum sampai ke majlis penutupnya, kita perlu terus berwaspada. Namun hari ini kami berada di tempat yang kami impikan beberapa tahun lalu,” ujar beliau.
Sentuhan akhir sedang dijalankan di tempat acara sukan di bandar Paris, yang diberi julukan Kota Cahaya, dengan ketibaan ribuan atlet dan pegawai sukan di kota itu dan cuaca kian cerah selepas hujan berbulan-bulan.
Dalam satu lagi berita baik bagi penganjur, mutu air Sungai Seine, yang akan digunakan bagi acara renang Olimpik di kawasan luar, juga bertambah baik secara ketara sejak awal Julai.
“Semua penunjuk bagi Sungai Seine adalah positif pada peringkat ini,” kata Encik Estanguet.
Sungai Seine akan menjadi tuan rumah bagi upacara pembukaan Olimpik 2024.
Ia akan menyaksikan sekitar 6,000 hingga 7,000 atlet menaiki 85 tongkang dan bot dan menyusuri sungai itu dalam satu perarakan yang mempamerkan keindahan dan sejarah ibu kota Perancis itu.
Ini adalah kali pertama Sukan Olimpik Musim Panas dirasmikan di luar stadium utama.
Upacara pembukaan itu dijangka menarik sekitar 300,000 penonton bertiket, yang akan menyaksikan upacara itu dari astaka di kededua tebing sungai tersebut, dan lagi 200,000 yang dijangka menyaksikannya dari pangsapuri mereka yang menghadap sungai itu.
“Kami sentiasa cuba mengekalkan cita-cita setinggi mungkin supaya sukan ini membawa sinar kepada Perancis,” tambah Encik Estanguet.
Bagaimanapun, operasi keselamatan meluas bagi majlis perasmian itu menimbulkan beberapa cabaran, dengan sebahagian besar pusat Paris di sepanjang tebing sungai itu dan sekitar lokasi Olimpik ditutup kepada ramai pengunjung.
Kumpulan perdagangan yang mewakili kedai, restoran, bar dan kelab malam di Paris mengadu mereka mengalami “perniagaan dan bilangan pengunjung yang menjunam”, sambil menyatakan ia sebahagiannya disebabkan langkah keselamatan meluas itu.
Namun, Encik Estanguet berkata kejayaan Sukan Paris 2024 memerlukan sukan tersebut diadakan di bandar itu.
Selain upacara pembukaan di tengah bandar, pertandingan sukan tertentu akan berlangsung di tempat sementara di sekitar Paris.
Misalnya, sukan bola tampar pantai akan diadakan di Menara Eiffel, sukan memanah di Invalides, dan kegiatan papan selaju di Place de la Concorde.
“Kami tidak boleh mengadakan acara ini tanpa sebarang gangguan,” ujar Encik Estanguet.
Sekitar 45,000 anggota pasukan keselamatan Perancis, termasuk pasukan khas elit Perancis yang terlatih dalam memerangi pengganasan, akan bertugas pada 26 Julai apabila Sukan Olimpik dirasmikan pada 7.30 malam waktu tempatan (27 Julai, 1.30 pagi waktu Singapura). – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg