Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan S’pura sedia berdepan gergasi polo air dunia

Pasukan lelaki S’pura berada dalam Kumpulan C bersama Amerika Syarikat (ranking keenam dunia), Brazil (ranking ke-10) dan Canada (ranking ke-13)
Jul 11, 2025 | 5:08 PM
Pasukan Polo Air Singapura bersedia berdepan dengan pasukan yang menduduki antara ranking teratas dunia dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura yang berlangsung dari 11 Julai hingga 24 Julai.
Pasukan Polo Air Singapura bersedia berdepan dengan pasukan yang menduduki antara ranking teratas dunia dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura yang berlangsung dari 11 Julai hingga 24 Julai. - Foto ZAOBAO

Singapura dianggap sebagai antara gergasi polo air rantau ini sejak 1965, dengan 27 kejuaraan berturut-turut di Sukan SEA.

Rentetan kemenangan itu terhenti pada 2019, tetapi mereka bangkit kembali dengan kejuaraan di Phnom Penh pada 2023.

Namun, dalam beberapa minggu akan datang pasukan kebangsaan lelaki dilihat sebagai ‘underdog’ apabila pasukan terbaik dunia akan bertanding di Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) di Singapura.

Menduduki ranking ke-38 dunia, skuad lelaki Singapura, yang membuat penampilan sulung, merupakan pasukan dengan ranking terendah daripada 16 pasukan yang akan bersaing di Pusat Akuatik OCBC dari 11 hingga 24 Julai.

Kejohanan wanita bermula pada 11 Julai, diikuti dengan kejohanan lelaki pada 12 Julai.

Pasukan lelaki Singapura berada dalam Kumpulan C bersama Amerika Syarikat (ranking keenam dunia dan pemenang gangsa Olimpik Paris 2024), Brazil (ranking ke-10) dan Canada (ranking ke-13).

Bagi persiapan mereka, pasukan lelaki negara telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa kelab Australia serta pasukan kebangsaan Australia pada Mac, lapor The Straits Times.

Pada Jun lalu, mereka bertanding di China menentang sebuah pasukan wilayah China, pasukan kebangsaan Jepun serta beberapa pasukan universiti di Yokohama.

Kapten pasukan, Lee Kai Yang, 30 tahun, berkata pengalaman tersebut telah membuka mata mereka terhadap perbezaan “dalam setiap aspek permainan tersebut”.

“Dari segi kemahiran mereka melontar bola, ketepatan dan kekuatan mereka jauh lebih tinggi melebihi apa yang kami miliki,” kata Lee antara anggota pasukan yang memenangi pingat emas 2015, 2017 dan 2023 pertandingan polo air Sukan SEA.

Beliau juga menambah bahawa saiz dan kekuatan fizikal pemain lawan juga lebih besar berbanding pasukan mereka.

Walaupun bakal berdepan dengan cabaran besar yang menanti, Lee dan rakan sepasukan percaya penyertaan mereka penting untuk membina kekuatan di peringkat Asia.

Jurulatih kebangsaan, Kan Aoyagi, sebelum ini menetapkan sasaran untuk mendapatkan pingat pada Sukan Asia Doha 2030.

Kali terakhir mereka memenangi pingat di sukan Asia adalah pada 1986 di Seoul.

Pada Kejohanan Polo Air Asia di Zhaoqing, China, yang berlangsung dari 25 Februari hingga 2 Mac lalu, pasukan lelaki Singapura menamatkan saingan di tempat keenam daripada sembilan pasukan.

“Standard dunia jauh lebih tinggi berbanding tahap Asia. Jadi apabila kami pecahkan matlamat jangka panjang, fokus utama kami adalah untuk mendatangkan kesan lebih besar di peringkat Asia,” kata Lee.

Beliau juga menekankan kepentingan kejohanan WCH kali ini untuk membantu mencapai matlamat tersebut.

Bagi pasukan wanita pula, mereka berhasrat memperbaiki pencapaian mereka berbanding kejohanan dunia pertama mereka di Doha 2024.

Di Doha, mereka tewas dalam kesemua lima perlawanan, dengan kekalahan terbesar mereka di tangan Hungary, juara dunia dua kali, yang mana perlawanan tersebut berakhir 2-39.

Kali ini mereka berada dalam Kumpulan A bersama Australia (pemenang pingat perak Olimpik), Italy dan New Zealand.

Bagi persediaan mereka pula, pasukan wanita negara mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan kebangsaan Portugal, Britain dan Serbia, serta beberapa kelab profesional di Greece sepanjang Mei dan Jun.

Mereka juga bertanding dalam liga kebangsaan Guangdong, China pada Februari lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg