Selepas lebih tiga tahun di Amerika Syarikat, perenang Singapura, Gan Ching Hwee, kini bersedia memulakan bab seterusnya dalam kerjaya sukan beliau – kali ini dalam persekitaran yang lebih selesa bagi dirinya, iaitu di negara sendiri.
Atlet berusia 21 tahun itu membuat keputusan untuk kembali ke Singapura pada Mei untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada sukan renang, sambil menangguhkan rancangan melanjutkan pelajarannya selepas menamatkan pengajian di Universiti Indiana.
“Saya memang sudah tidak sabar untuk pulang ke Singapura sejak Olimpik Paris kerana persiapan saya ketika itu memang berjalan dengan baik di sini.”
“Saya tidak sabar kerana dapat balik dan makan makanan sedap... dan dapat jumpa semula kawan-kawan serta keluarga,” katanya.
Selepas mengubati rindunya terhadap makanan kegemaran seperti perata dan nasi ayam, Gan kini mengalihkan tumpuan kepada tugasan besar yang menanti: Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) di Singapura yang akan berlangsung dari 11 Julai hingga 3 Ogos.
Perenang jarak jauh itu merupakan antara atlet yang diumumkan sebagai sebahagian daripada kontinjen atlet Singapura yang terdiri daripada 72 orang – penyertaan terbesar dari Singapura dalam kejohanan dunia – semasa acara pelancaran di Arena WCH pada 2 Julai.
Menurut laporan The Straits Times, senarai pasukan terdiri daripada 16 perenang, 10 penerjun, sembilan perenang artistik, lapan perenang air terbuka, serta pasukan polo air lelaki dan wanita.
Selain Gan, yang bakal menyambut ulang tahun ke-22 semasa kejohanan tersebut, pasukan renang dianggotai pemenang pingat perak Sukan Asia, Teong Tzen Wei.
Debbie Soh pula akan mengetuai pasukan renang artistik bersama Yvette Chong dan Kiera Lee, yang baru sahaja meraih pingat gangsa bersejarah dalam acara duet di Siri Piala Dunia Renang Artistik Akuatik Dunia –pingat pertama Singapura dalam siri tersebut.
Penerjun papan anjal segerak, Max Lee dan Ayden Ng, yang memenangi anugerah Pasukan Lelaki Terbaik (acara) di Anugerah Sukan Singapura pada 20 Jun, turut menyertai skuad terjun negara.
Pasukan polo air lelaki akan membuat penampilan sulung di kejohanan dunia tersebut, manakala pasukan wanita akan bertanding buat kali kedua selepas penampilan pertama di Doha 2024.
Bagi Gan, prestasi memberangsangkan di Olimpik 2024 hanya menyemarakkan semangatnya untuk terus mara ke tahap lebih tinggi.
Di Paris, beliau bertanding dalam acara 800 meter dan 1,500 meter, namun gagal mara ke final dalam acara kedua selepas menduduki tempat kesembilan – hanya satu tangga kurang untuk melayakkan dirinya.
Walaupun berharap untuk mencapai kejayaan yang lebih baik kali ini, Gan juga berkata beliau lebih memberi tumpuan pada proses, berbanding keputusan, dan akan terus lakukan yang terbaik.
Persiapan untuk kejohanan dunia kolam panjang kelimanya juga menghidupkan kembali kenangan manis apabila beliau mengimbau semula bagaimana menonton Sukan SEA 2015 di Singapura telah mengukuhkan cita-citanya menjadi perenang kompetitif.
Gan berharap kejohanan dunia yang akan berlangsung di Singapura turut menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat tempatan.
“Apabila diadakan di Singapura, lebih ramai orang menonton, lebih banyak perhatian diberikan kepada acara-acara ini dan mudah-mudahan, kanak-kanak muda akan mendapat inspirasi dan terdorong untuk mewakili Singapura di pentas ini,” katanya.
Satu perkara yang sangat dihargai oleh ramai atlet tempatan ialah sokongan masyarakat tempatan.
“Rasa tenang apabila tahu saya ada kawan-kawan dan anggota keluarga yang akan datang lihat saya bersaing,” kata perenang air terbuka negara, Ritchie Oh, yang akan menyertai kejohanan dunia buat kali ketiga.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg