HONG KONG: Seorang pegawai sukan tinggi dari China telah menggesa supaya berhati-hati terhadap pengurusan makanan, ubat, dan suplemen makanan demi memastikan tiada “kesilapan” yang berlaku.
Ini selepas pasukan renang China menerima pemerhatian teliti di Sukan Olimpik di Paris akibat rekod penyalahgunaan dadah negara tersebut.
Encik Liu Guoyong, timbalan pengarah, Pentadbiran Am Sukan China, berkata usaha bagi mencegah penyalahgunaan dadah itu adalah penting dan menggesa agar para atlet di negaranya “peroleh hormat menerusi kekuatan dan ketelusan,” lapor media tempatan, China Daily, pada 21 Ogos.
Pasukan renang tersebut diperhatikan dengan teliti selepas ia didedahkan pada April lalu bahawa seramai 23 atlet didapati positif menggunakan sejenis dadah perangsang jantung pada 2021, namun masih diizinkan untuk bertanding di Sukan Olimpik di Tokyo pada tahun yang sama.
Bagaimanapun, Agensi Antidadah Dunia (Wada) telah menerima hasil siasatan daripada Agensi Antidadah China bahawa keputusan positif itu adalah disebabkan pencampuran makanan daripada sebuah dapur hotel.
Satu semakan dari sebuah badan bebas menyokong cara kes itu diurus badan negara itu.
“Kami perlu berhati-hati, terutamanya terhadap pengurusan makanan, ubat dan produk pemakanan,” kata Encik Liu dalam satu sidang bagi atlet paralimpik menjelang Sukan Paralimpik Paris yang bakal berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September.
“Kami perlu memastikan bahawa sebarang insiden makan secara tidak sengaja disekat pada dasarnya, dan tiada ruang bagi kesilapan.”
Beliau berkata atlet China bakal menghadapi masalah di luar prestasi serta persiapan teknikal masing-masing, dengan “cabaran unik, termasuk gangguan dan campur tangan dari kuasa-kuasa Barat menjelang Sukan Paris nanti”.
Menunjukkan contoh bahawa perenang China “bersih” daripada dadah, Pan Zhanle, yang mencatatkan rekod dunia dan meraih pingat emas di acara renang gaya bebas 100 meter di Paris, menurut Encik Liu, telah menjalani sebanyak 20 ujian cegah penyalahgunaan dadah dari Mei hingga Julai lalu sebelum bertanding di Perancis.
Presiden China, Encik Xi Jinping, sementara itu memuji delegasi Sukan Olimpik China kerana mengekalkan standard tinggi “moral, gaya dan kebersihan” dalam usaha mereka memburu pingat emas di Paris.
“Ketika beraksi di padang, (atlet Olimpik China) telah mematuhi peraturan, menghormati pesaing... mengekalkan disiplin pertandingan baik dan kesantunan yang beradab,” katanya, ketika bertemu atlet di bangunan Great Hall of the People di Beijing.
Selain isu dakwaan penyalahgunaan dadah itu, terdapat lebih banyak usaha daripada pemerintah China bagi menangani budaya “ekstrem” peminat sukan di negara itu.
Ini selepas peminat menggunakan media sosial untuk menyerang dan menyebarkan desas-desus terhadap atlet Olimpik tempatan.
Pihak penguasa telah secara aktif menangani perbuatan ganas dan mengganggu ketenteraman daripada peminat.
Misalnya pada awal Ogos lalu, polis di Beijing telah memberkas seorang wanita yang didakwa memfitnah seorang pemain tenis meja dan jurulatihnya.
Sementara itu, Pan, telah membubarkan laman kumpulan penyokongnya dalam platfom sosial media Weibo dan memberitahu media tempatan CCTV bahawa beliau lebih selesa mengekalkan profil rendah. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg