Walaupun belum menjalani Perkhidmatan Negara (NS), Alexavier Koh, pelajar tahun akhir di Politeknik Singapura (SP) akan berkhidmat kepada negara dengan cara yang cukup berbeza – mewakili Singapura sebagai satu-satunya atlet tinju tendang (kickboxing) di Sukan SEA.
“Sudah tentu saya rasa tekanannya,” kata petinju tendang berusia 20 tahun itu.
“Semua perhatian akan tertumpu kepada saya, kerana saya satu-satunya wakil Singapura.”
Hanya tiga tahun lalu, beliau langsung tidak mempunyai latar belakang seni bela diri ini, namun tekad, disiplin dan keinginannya yang kuat telah membawanya hingga ke pentas antarabangsa.
Perjalanan Alexavier dalam dunia seni mempertahankan diri bermula secara kebetulan.
Pada tahun pertama pengajian di SP, beliau hanya menyertai kegiatan kokurikulum muay thai kerana rakan-rakannya ramai mencuba sukan itu.
Tetapi secara tidak dirancang, langkah itu menemukannya dengan seseorang yang akan menjadi mentor dan jurulatihnya, Nazri Sutari.
Berusia 35 tahun, jurulatih itu cukup berpengalaman dan pernah bertanding di Sukan SEA pada 2019 dan 2023.
Nazri masih ingat betapa “kosong”-nya Alexavier ketika beliau baru bermula menceburi sukan tinju tendang.
“Beliau merupakan atlet yang unik. Kebanyakan atlet yang bertanding di peringkat elit mula berlatih sejak di bangku sekolah lagi. Tapi Alexavier datang tanpa sebarang latihan atau asas langsung,” ujar Nazri.
Namun ketekunan Alexavier membuat Nazri kagum.
“Tapi hatinya… lain macam,” kata Nazri sambil tersenyum kagum.
“Bagi kebanyakan belia lain, apabila di dalam lingkungan usia beliau, hanya ingin bersuka ria. Namun Alexavier seorang sahaja yang fokus, berkorban dan bekerja sangat keras.”
Alexavier juga akui bahawa beliau banyak berkorban terutamanya apabila mengimbangi jadual sebagai seorang pelajar juga.
“Saya kini juga sedang tumpu pada Projek Tahun Terakhir (FYP) saya, jadi agak berat untuk saya imbangi semuanya. Saya bawa komputer riba apabila bertanding ke luar negara dan cuba selitkan masa untuk melakukan apa jua tugasan atau kajian yang saya mampu.”
Namun, beliau sanggup untuk berkorban demi mencapai cita-citanya.
Hasratnya untuk mewakili Singapura bermula setelah beliau menyaksikan perenang Singapura, Joseph Schooling, memenangi pingat emas di temasya Olimpik 2016.
“Saya harap dapat memberi inspirasi kepada ramai sama seperti bagaimana Schooling lakukan bagi saya,” kata Alexavier.
“Apabila beliau mendapat pingat emas, keluarga dan rakan-rakan saya semua raikannya bersama-sama, tidak kira kami minat sukan renang ataupun tidak. Saya rasa itulah keindahannya.”
Walaupun baru di gelanggang Sukan SEA, beliau sudah rasa pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa seperti di Kejohanan Dunia Persatuan Pertubuhan Tinju Tendang Dunia (Wako).
Semasa pertandingan tersebut, beliau berdepan beberapa juara dunia dan atlet yang sudah berlatih bertahun-tahun.
Walaupun tewas, pengalaman itulah yang membentuk dan membakar semangatnya.
“Pengalaman itu membantu saya memahami apa yang diperlukan untuk mencapai tahap dunia,” kata atlet muda itu.
Apabila bercakap tentang Sukan SEA, jurulatih Nazri sering mengingatkan bahawa suasananya tidak sama seperti kejohanan lain dengan ramai atlet mengambil ringan tekanan Sukan SEA.
Malah atlet yang pernah bertanding di pentas dunia pun akan rasa kelainannya kerana Sukan SEA membawa aura unik kerana tumpuan, sambutan dan harapannya agak berbeza.
Sebab itu bagi Nazri, harapannya bukan sekadar untuk Alexavier menang.
“Apa pun keputusan nanti, saya harap beliau pulang dengan lebih matang... secara peribadi dan sebagai seorang atlet,” katanya.
Sebelum berangkat ke Thailand, Nazri memberikan nasihat yang ringkas tetapi mendalam bagi anak didiknya itu.
“Percaya kebolehan diri sendiri dan sentiasa yakin. Jangan terlalu terlalu kritikal pada diri sendiri jika kalah, dan jangan besar kepala jika menang,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg