Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelari jarak jauh S’pura alih kerjaya sebagai peguam sukan

Dec 30, 2025 | 2:10 PM
 Goh Chui Ling, peguam sukan, atlet larian jarak jauh, bersara
Atlet larian jarak jauh, Goh Chui Ling, telah meraih satu pingat perak dan empat gangsa dalam enam penyertaan Sukan SEA. - Foto INSTAGRAM GOH CHUI LING

Baru sekitar seminggu lalu, atlet larian jarak jauh, Goh Chui Ling, berada di Bangkok bersama atlet Singapura bagi Sukan SEA.

Namun kali ini, atlet berusia 33 tahun itu tidak mengenakan pakaian Team Singapore atau kasut lariannya.

Sebaliknya, beliau mengenakan pakaian formal untuk menghadiri Seminar Serantau Timbang Tara Sukan anjuran Majlis Olimpik Asia, di mana beliau tampil sebagai penceramah.

Pemegang pelbagai rekod kebangsaan itu membuat keputusan sukar pada 2025 untuk meninggalkan arena pertandingan dan memberi tumpuan kepada kerjaya dalam bidang undang-undang, meskipun masih terlibat dalam dunia sukan.

Peguam sukan itu berkata: 

“Ini satu perkara yang sukar untuk saya hadapi.

“Perkara ini (menukar kerjaya) perlahan-lahan memudar kerana tuntutan kerja dan saya tidak dapat memberi jawapan kepada Singapore Athletics sama ada saya mahu menyertai Sukan SEA, sehingga hari-hari terakhir.

“Bertanding dalam acara sukan larian sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya selama sekitar 18 tahun. 

“Saya sukar menerima hakikat bahawa ini mungkin pengakhiran sebuah era, namun saya harap ia tidak sia-sia.”

Goh, yang meraih satu pingat perak dan empat gangsa dalam enam penyertaan Sukan SEA, pernah memegang rekod kebangsaan dalam sekurang-kurangnya enam acara individu serentak.

Acara tersebut ialah: 800 meter (m) wanita, 1,500m, 3,000m, 5,000m, 5 kilometer (km) (jalan raya) dan 10km (jalan raya), lapor The Straits Times (ST).

Salah satu pencapaian penting dalam kerjayanya ialah apabila beliau menetapkan rekod 10km (jalan raya) di Switzerland pada 2021, yang merupakan rekod kebangsaan jarak jauh pertamanya.

Beliau berkata: “Ketika itu saya sedar bahawa atlet kita juga mampu menunjukkan prestasi yang cemerlang.

“Saya gembira kerana berpeluang melihat atlet yang lebih muda mengatasi legasi saya dan menjadi atlet yang lebih baik daripada generasi sebelumnya.

“Contoh seperti Vanessa (Lee) dan Nicole (Low) yang dapat melepasi standard yang saya tetapkan, malah lebih baik daripada itu.”

Pada 2023 dan 2024, Lee telah melepasi rekod Goh dalam tiga acara jarak jauh.

Goh pula pernah memecahkan beberapa rekod kebangsaan yang telah lama bertahan.

Pada 2022, Goh melepasi rekod 4:31.20 milik Kandasamy Jayamani bagi acara 1,500m yang telah bertahan sejak 1982 dengan catatan masa 4:27:26.

Pada tahun sama, beliau juga memecahkan rekod 3,000m milik Jayamani yang berusia 40 tahun dengan catatan masa 9:51.16, menewaskan rekod lama 9:56.6.

Pada 2024, beliau menewaskan rekod kebangsaan 5,000m milik Yvonne Danson yang berusia 27 tahun, dengan catatan masa 17:33.73.

“Saya berharap saya telah memberi sumbangan dalam aspek ini, untuk menunjukkan bahawa kita boleh melepasi standard yang ditetapkan (atlet) generasi terdahulu dan generasi baru dapat melihat bahawa rekod-rekod itu boleh dipecahkan,” kata Goh, yang menceburi sukan larian jarak jauh pada usia 20-an.

Perjalanan Goh dalam sukan balapan dan padang bermula dengan lompat tinggi ketika beliau menuntut di Sekolah Menengah MacPherson sebelum beralih ke acara pecut di Maktab Rendah Hwa Chong.

Penglibatan beliau dalam sukan juga mencetuskan minat terhadap kerjaya sebagai peguam sukan.

Salah satu detik penting berlaku pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, di mana beliau membantu atlet lompat tinggi Michelle Sng dalam rayuan untuk mendapat pingat emas.

Menurut Goh, itu adalah kali pertama beliau berpeluang menjalankan peranan sebagai peguam sukan.

Meskipun beliau akan merindui arena pertandingan, Goh tetap teruja dengan peluang yang menanti.

“Satu perkara yang saya nantikan ialah peluang berkhidmat dalam peranan saya sebagai penimbang tara sukan atau peguam di temasya sukan utama.

Justeru saya masih lagi berpeluang menghadiri temasya sukan utama dalam peranan berbeza,” kata Goh.

Sementara itu, pelari pecut kebangsaan, Zubin Percy Muncherji, turut mengumumkan persaraannya daripada sukan itu pada 19 Disember, selepas acara olahraga Sukan SEA 2025 tamat.

Atlet berusia 29 tahun itu merupakan sebahagian daripada pasukan lelaki 4x400m bersama Calvin Quek, Thiruben Thana Rajan dan Reuben Lee yang meraih gangsa dengan catatan masa 3:10:74 di Bangkok.

Dalam hantaran di Instagram, Zubin, pemegang rekod kebangsaan 400m lelaki, berkata: 

“Setiap temasya sukan memberi pengalaman yang berbeza kepada saya, kali ini bukan sahaja pingat...

“Daripada saat paling rendah hingga yang tertinggi, disertai tendonitis (radang di tendon) di beberapa bahagian badan, saya boleh ‘bersara’ dengan tenang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg