Pelari pecut negara, Marc Louis, bersedia untuk membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik di Paris, yang akan berlangsung mulai 26 Julai hingga 11 Ogos ini, lapor The Straits Times.
Tempat atlet berusia 21 tahun di sukan terkemuka antarabangsa itu telah disahkan oleh Atletik Dunia (WA) pada 10 Julai.
Dengan ratu pecut, Shanti Pereira, berjaya melayakkan diri ke acara 200 meter wanita di Paris 2024, Singapura dibenarkan untuk menyertakan atlet lelaki terbaiknya dalam acara 100 meter, 800 meter atau maraton – berdasarkan hasil pencapaian mereka antara 1 Julai 2023 dengan 30 Jun 2024 – melalui kuota kesejagatan, jika tiada sesiapa yang layak secara langsung.
Atletik Singapura (SA) menyatakan di laman sesawangnya, prestasi atletnya disenaraikan menggunakan persentil di bawah jadual pemarkahan WA, dengan pencalonan kesejagatan diberikan kepada atlet yang mempunyai keputusan lebih hampir kepada standard kemasukan Olimpik.
Rekod kebangsaan 100 meter Louis, iaitu 10.27 saat, yang dicatatkan pada September 2023, hanya 7.5 peratus melebihi standard kemasukan Olimpik, iaitu 10 saat.
Dalam dua tahun lalu, tiada sesiapa yang dapat mengatasi rekod kebangsaan dalam acara 800 meter (1:50.56) dan maraton (2 jam 22 minit 59 saat), yang melebihi 12 peratus daripada standard kemasukan Olimpik, iaitu 1:44.70 bagi 800 meter dan 2:08:10 bagi maraton.
Louis telah bersaing dalam beberapa siri pertemuan di Eropah, sejak memenangi acara pecut di Terbuka Singapura dalam masa 10.36 saat pada April.
Beliau memecahkan rekod kebangsaan 60 meter tertutup dengan masa 6.69 saat di Kejohanan Tertutup WA, mengatasi masa 6.71 saat yang dicatatkan Gary Yeo pada 2012.
Pada Mei 2023, Louis memenangi pingat perak dalam acara 100 meter di Sukan SEA Kemboja, menambah baik pingat gangsa yang diraihnya pada penampilan sulung beliau di Hanoi pada 2022.
Beliau turut membantu pasukan dalam lari berganti-ganti 4x100 meter untuk meraih pingat gangsa secara berturut-turut.
Empat bulan kemudian, Louis memperbaiki rekod kebangsaan 100 meter yang dicatatkan oleh U.K. Shyam, iaitu 10.37 saat dengan 0.10 saat, di Sukan Asia Hangzhou.
Singapura akan diwakili oleh 23 atlet meliputi 11 acara sukan di Sukan Olimpik Paris 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg