PLYMOUTH: Pengurus Plymouth, Miron Muslic, telah mencapai apa yang dianggap mustahil oleh ramai dalam dunia bola sepak – membimbing pasukan terbawah liga divisyen dua, Plymouth Argyle, mengalahkan pendahulu Liga Perdana England (EPL), Liverpool dalam Piala FA.
Penalti Ryan Hardie sudah cukup untuk memastikan kekalahan mengejut pada pusingan keempat di Home Park pada 9 Februari.
“Ia adalah hari yang ajaib bagi kami. Saya memberitahu pemain untuk menikmatinya, dan kami kini sebahagian daripada sejarah Argyle,” kata Muslic.
“Ia adalah hari yang besar buat kita semua, entah bagaimana saya rasa kita layak (menang) hari ini.
“Saya buntu (untuk berkata apa-apa). Biasanya, mereka memberitahu saya bahawa saya fasih (bercakap). Ia adalah detik yang membanggakan. Ia adalah hari yang besar.”
Berbanding dengan kisah permulaan hidup Muslic, menewaskan juara Eropah enam kali Liverpool mungkin terasa agak mudah.
Pada 1992, ketika berusia sembilan tahun, Muslic – yang mengambil alih jawatan ketua jurulatih Argyle daripada penyerang legenda England, Wayne Rooney, pada Januari – terpaksa meninggalkan bandar asalnya di Bihac, Bosnia.
Pada Jun 1992, hanya sebulan atau dua selepas keluarga Muslic meninggalkan Bihac, bandar itu jatuh di bawah pengepungan tiga tahun oleh tentera yang diketuai Serb semasa perang saudara yang sengit.
“Kami terpaksa meninggalkan Bosnia, dan Bihac, kampung halaman kami, dalam sekelip mata, membawa apa sahaja barang yang boleh digenggam dengan tangan.
‘Di situlah bermulanya perjalanan kami, atau kehidupan baru kami,” singkapnya.
“Kami terpaksa meninggalkan Bosnia, dan Bihac, kampung halaman kami, dalam sekelip mata, membawa apa sahaja barang yang boleh anda genggam dengan tangan.
“Di situlah perjalanan kami, atau kehidupan baru kami bermula,” singkapnya.
Muslic, kakak dan ibu bapanya melarikan diri sejauh 650 kilometer ke Innsbruck di Austria tanpa mengetahui apakah yang menanti mereka, dan tidak dapat bercakap bahasa itu dengan loghat Jerman tempatan, yang juga sukar difahami.
“Kami bergelut sepanjang hidup kami, dan bahagian perjuangan ini adalah sebahagian daripada perjalanan saya, dan itulah sebabnya saya sentiasa kekal optimis dan sangat positif,” kata Muslic, yang membimbing pasukan Cercle Bruges ke Liga Konferensi Europa UEFA musim ini.
“Saya berada dalam keadaan yang lebih mencabar dalam hidup saya daripada menjadi ketua jurulatih dan berdepan kemungkinan seri atau kekalahan pada hujung minggu.
“Dan itu juga mesej yang ingin saya sampaikan secara konsisten kepada pemain, bahawa hidup adalah perjuangan dengan kejutan yang indah, dan sentiasa ada sesuatu yang patut diperjuangkan.
“Tiada perkara yang mudah untuk saya, atau untuk keluarga saya atau untuk kakak saya.
“Kami menjadi pelarian, dan ia bukan perkara yang baik, tetapi saya tidak pernah berasakan bahawa saya terlepas sesuatu dalam hidup saya.
“Ibu bapa saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menyediakan barang keperluan kami – ayah saya bekerja selama lebih 30 tahun sebagai pelayan, ibu saya seorang pekerja pembersihan, dan mereka berusaha keras memberikan kehidupan yang baik kepada kami.
“Tetapi tiada yang mustahil jika anda benar-benar percaya, jika anda komited, jika anda yakin, dan jika anda berusaha dengan sebenar-benar (usaha) sepenuhnya.”
Kepercayaan dan komitmen itulah yang ditunjukkan Plymouth ketika mereka mengecewakan pasukan Liverpool yang menduduki tempat teratas peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan mempunyai kelebihan enam mata di puncak EPL di bawah Arne Slot.
Sebaliknya, Muslic mewarisi pasukan Plymouth yang menuju ke Liga Satu.
Sebagai pemain penyerang sewaktu remaja, beliau menyertai Wacker Innsbruck sebelum kerjayanya dibawa ke liga lima peringkat teratas di Austria dan tempoh singkat di Croatia.
Beliau memuji sukan itu kerana membantunya menyesuaikan diri dengan tanah air barunya, membolehkan beliau “mempunyai keistimewaan untuk memanggil bukan sahaja Bosnia, bahkan juga Austria, rumah saya”.
“Itulah sebabnya bola sepak sangat penting, kerana ia (sesuatu yang) bersifat sejagat,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg