Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jordan Mailata cipta sejarah jadi atlet Australia pertama menang ‘Super Bowl’

Bekas pemain Liga Ragbi anggap kejayaan dalam bola sepak Amerika, hasil dorongan jurulatih tegas terap disiplin
Feb 17, 2025 | 5:30 AM
Jordan Mailata mengibarkan bendera negaranya selepas menjadi pemain Australia pertama memenangi ‘Super Bowl’.
Jordan Mailata mengibarkan bendera negaranya selepas menjadi pemain Australia pertama memenangi ‘Super Bowl’. - Foto AFP

NEW ORLEANS (Amerika Syarikat): Pasukan Philadelphia Eagles masih meraikan kemenangan pada Liga Bola Sepak Nasional (NFL), Super Bowl 2025, ketika ‘orang kuatnya’, Jordan Mailata, kelihatan menuju ke bilik media yang terletak jauh di dalam Stadium Caesars Superdome.

Sedang atlet bersusuk besar itu melabuhkan punggungnya di atas kerusi, salah seorang rakan senegaranya dari Australia membalut bahu Mailata, 27 tahun, dengan bendera negara kanggaru itu.

Pasukan lawan Philadelphia Eagles, Kansas City Chiefs, ingin mencipta sejarah sebagai pasukan pertama yang dapat memenangi tiga Super Bowl berturut-turut di New Orleans, lapor laman web, BBC Sport.

Sebaliknya, Mailata yang mencipta sejarah NFL sebagai pemain Australia pertama yang menjulang Piala Vince Lombardi, yang disampaikan kepada juara Super Bowl sejak Januari 1996, sempena memperingati jasa jurulatih bola sepak Amerika terbilang dalam sejarah NFL.

Mailata bermula dengan menyertai liga ragbi dan tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam permainan NFL ketika pasukan Philadelphia Eagles mendapatkan khidmatnya pada 2018.

Kini beliau telah bermain dalam dua pertarungan Super Bowl.

Pencapaiannya membuka lembaran baru dalam apa yang disifatkan sebagai kisah terhebat yang pernah terakam dalam sejarah NFL.

Mailata bekerja keras. Sambil bermain bagi liga ragbi dan berlatih di Akademi South Sydney Rabbitohs, beliau terpaksa menjalankan beberapa pekerjaan sampingan untuk memyara hidupnya.

Ada masanya, beliau membangun pentas dan perancah. Adakalanya, beliau bekerja di kedai runcit Woolworths yang memang dikenali di serata Australia.

Ditanya apakah yang dipelajari daripada tugas sampingan itu, Mailata berkata:

“Sebenarnya, kerja-kerja yang pernah saya buat itu memang berat. Kesemuanya tampak rutin dan kadangkala agak mengerikan.

“Saya bangun seawal 4.30 pagi, perlu bekerja keras dan kemudian bergegas ke latihan.

“Mungkin perkara paling sukar ialah percubaan untuk menyesuaikan diri dengan rutin sebegini. Rasanya, ia agak membantu apabila saya perlu membuat peralihan daripada liga ragbi ke NFL.”

Mailata awalnya bermain untuk pasukan Rabbitohs Bawah 20 Tahun tetapi terdapat kebimbangan mengenai penyesuaian dalam aspek kecergasannya.

Beliau kemudian diberi nasihat terbaik yang pernah didengar:

“Mengapa tidak bermain sukan yang menghargai saiz (tubuh besar) anda?”

Dengan ketinggian 2.05 meter dan berat badan 166 kilogram, Mailata memang pilihan tepat untuk bermain bola sepak Amerika.

Beliau menyertai program Laluan Pemain Antarabangsa (IPP) NFL yang masih baru pada 2018.

Bekas pemain ragbi Inggeris, Christian Scotland-Williamson, turut menyertai program latihan intensif selama 10 minggu itu pada 2018.

“Kelincahan dan kepantasan Mailata sangat mengagumkan,” kata Scotland-Williamson.

IPP direka sebagai usaha mempersiapkan pemain harapan NFL untuk mencuba dalam pusingan pilihan NFL, memberikan mereka kursus kilat dalam bola sepak Amerika, serta wadah untuk mempamerkan kemahiran kepada pegawai pencari bakat baru NFL.

Beberapa minggu kemudian, Scotland-Williamson menghadiri sesi percubaan NFL bersama Mailata.

Beliau begitu yakin nama Mailata akan dipanggil sehingga beliau siap membelikan rakannya itu pakaian baru supaya nampak lebih tampan di televisyen.

The Eagles memilih Mailata yang ketika itu baru berusia 20 tahun.

Mailata menghabiskan dua musim dalam skuad latihan Philadelphia bagi meneruskan perjuangan barunya.

Mailata menyertai perlawanan pertama pada 2020 dan merupakan antara pemain serangan terbaik NFL di samping membantu pasukannya layak ke pusingan Super Bowl pada 2023, yang menyaksikan mereka ditewaskan oleh Kansas City Chiefs.

Pada 2024, beliau menandatangani kontrak lanjutan selama tiga tahun bernilai AS$66 juta ($89.4 juta) dan menjadi pemain penting dalam barisan serangan terbesar dalam sejarah Super Bowl.

Sebagai pemain penerjah dan penyerang, beliau berjaya menyekat barisan pertahanan lawan untuk ‘melindungi’ pemain quarterback, Jalen Hurts, dan membuka ruang bagi Saquon Barkley berlari pantas di padang.

Kebiasaannya, permainan ‘live’ (yang disiar secara langsung di televisyen) akan memperkenalkan pemain baru di samping memaklumkan nama institusi pengajian mereka.

Memandangkan Mailata tidak mengikuti laluan tradisional ke NFL, beliau berkata dirinya berasal dari ‘Universiti Stoutland’ (anak didik jurulatih Philadelphia Eagles, Jeff Stoutland).

Stoutland percaya Mailata boleh menjadi pemain lebih baik lagi, lantas menambah:

“Kebanyakan pemain yang anda latih melalui proses latihan dari sekolah menengah hingga maktab.

“Apabila mereka sampai ke tahap lanjutan (sudah lama bermain), mereka terasa penat. Tetapi Mailata tidak rasakan demikian.”

Ditanya tentang prestasi Mailata kini, sejauh manakah beliau melangkah, Stoutland menjawab:

“Sungguh-sungguh saya katakan, ia adalah kisah terhebat dalam dunia sukan.”

Penyelaras pertahanan pasukan Seattle Seahawks, Aden Durde dan kolumnis BBC Sport, Phoebe Schecter, pula merupakan antara jurulatih IPP pada 2018.

Durde berkata kebanyakan kejayaan Mailata, disebabkan cara beliau menyesuaikan diri dalam sekitaran yang berbeza ini.

“Suaranya lantang, beliau orang yang tahu berseronok dan mempunyai hati emas,” jelas Durde.

Mailata pula bagaikan tidak percaya beliau sampai ke tahap membanggakan.

“Seingat saya, jurulatih saya, Jeff Stoutland, memang bengis dan tak beri muka kepada saya. Saya anggap caranya melatih saya adalah faktor jaya,” tambahnya.

Sebagai satu-satunya pemain ragbi yang berjaya beralih ke NFL, Mailata kini adalah teladan buat pemain ragbi antarabangsa lain yang ingin membuat peralihan.

“Cuba sahaja. Anda boleh buat apa sahaja yang anda yakini. Keyakinan diri anda akan buat orang lain pun meyakini kebolehan anda,” tambahnya. – Agensi berita.

Penyokong Philadelphia Eagles meraikan kejayaan pasukan mereka memenangi ‘Super Bowl’ buat kali pertama sejak 2018.
Penyokong Philadelphia Eagles meraikan kejayaan pasukan mereka memenangi ‘Super Bowl’ buat kali pertama sejak 2018. - Foto AFP
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg