Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelarian Rohingya kejar impian Mr Olympia

Faruk Arian gigih berlatih di M’sia bagi buktikan kepada rakan pelarian ‘anda boleh mempunyai impian besar dan mencapainya’
Jan 31, 2025 | 5:30 AM
Pada Oktober lalu, Faruk Arian satu-satunya pelarian yang menyertai sebuah pertandingan serantau di Kuala Lumpur anjuran Jawatankuasa Fizik Kebangsaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan  Persekutuan Bina Badan dan Kecergasan Antarabangsa. Penyertaan dalam peraduan itu ada syarat bagi pengiktirafan sebagai ahli bina badan profesional dan untuk bersaing dalam Mr Olympia.
Pada Oktober lalu, Faruk Arian satu-satunya pelarian yang menyertai sebuah pertandingan serantau di Kuala Lumpur anjuran Jawatankuasa Fizik Kebangsaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Persekutuan Bina Badan dan Kecergasan Antarabangsa. Penyertaan dalam peraduan itu ada syarat bagi pengiktirafan sebagai ahli bina badan profesional dan untuk bersaing dalam Mr Olympia. - Foto FACEBOOK FARUK ARIAN

KUALA LUMPUR: Sebagai seorang kanak-kanak di Rakhine, Myanmar, Faruk Arian masih ingat bagaimana masyarakat Rohingyanya dilucutkan daripada sebarang kuasa yang pernah mereka miliki, terperangkap dalam lingkaran kemiskinan, berhadapan kebencian etnik dan keganasan.

Beliau pernah ditembak semasa remaja oleh tentera Myanmar, yang dipanggil Tatmadaw.

Beberapa tahun kemudian, apabila masyarakat Rohingya menghadapi satu lagi gelombang penganiayaan kejam, beliau melarikan diri dengan menaiki bot ke Malaysia, akhirnya diselamatkan dan kini tinggal di Kuala Lumpur.

“Orang boleh mengambil apa sahaja daripada kami kerana kami tidak kuat,” katanya kepada media.

Kini, pada usia 30 tahun, Faruk sedang menulis semula naratif itu – dengan membina kekuatan secara fizikal untuk mencabar persepsi mengenai kaumnya.

Beliau berlatih tanpa henti di sebuah gimnasium di Bandar Utama, sebuah kejiranan kelas pertengahan di Petaling Jaya, dalam usaha membentuk tubuhnya untuk bertanding di pentas paling hebat sukan bina badan, Mr Olympia.

Oktober lalu, Faruk merupakan satu-satunya pelarian yang bertanding dalam pertandingan serantau yang diadakan di Kuala Lumpur dan dianjurkan oleh Jawatankuasa Fizik Kebangsaan, yang berpangkalan di Amerika Syarikat, serta Persekutuan Bina Badan dan Kecergasan Antarabangsa – syarat bagi pengiktirafan sebagai ahli bina badan profesional dan bersaing dalam Mr Olympia.

“Saya tidak kisah sekiranya tidak menang,” kata Faruk.

“Menyertai pertandingan itu sahaja sudah cukup bagi saya mencapai impian saya.”

Masyarakat Rohingya mengalami pelbagai masalah selama beberapa dekad di Myanmar.

Tindakan keras ketenteraan yang berlaku pada 2017, yang dianggap sebagai penghapusan etnik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memaksa ratusan ribu orang Rohingya, melarikan diri ke negara jiran Bangladesh.

Kemudian pada 2021, tentera Myanmar merampas kuasa, menyebabkan negara itu terjerumus ke dalam perang saudara.

Di wilayah Rakhine, tempat Faruk dilahirkan, baki masyarakat Rohingya terperangkap antara pasukan tentera junta dengan tentera Arakan, sebuah pasukan tentera Rakhine.

Bagi kebanyakan orang, melarikan diri bermakna mencari perlindungan di negara seperti Malaysia. Tetapi Malaysia tidak mengiktiraf pencari suaka. Pelarian dinafikan status undang-undang dan hak kerja, menyebabkan lebih 111,000 orang Rohingya yang berdaftar dalam keadaan tidak menentu.

Sikap xenofobia (perasaan sangat takut atau benci terhadap orang asing) terhadap orang Rohingya berleluasa, dengan ramai rakyat Malaysia mengejek mereka sebagai “kotor” atau “berbahaya”.

Tetapi bagi Faruk, sukan bina badan menjadi satu bentuk penentangan – satu cara untuk menuntut semula maruah dan matlamatnya.

Kisah kehidupan

Faruk dilahirkan di sebuah kampung kecil diberi nama Kay Goung Toung, berhampiran Nga Khu Ya, titik konflik utama antara tentera Myanmar dan Tentera Arakan.

Pada 2007, bapanya terbunuh dalam satu pertempuran berhampiran kampung mereka, meninggalkan ibu Faruk untuk membesarkannya dan sembilan adik-beradiknya.

Pendidikan menawarkan sedikit harapan, dan Faruk berpindah sejauh 40 kilometer untuk bersekolah di Maungdaw, sebuah bandar berhampiran sempadan Bangladesh.

Tetapi pada 2012, rusuhan etnik tercetus selepas pembunuhan seorang wanita Buddha Rakhine dan pembunuhan balas dendam terhadap 10 Muslim Rohingya. Dalam keadaan huru-hara, Faruk ditembak di belakang oleh tentera Myanmar ketika beliau sedang melarikan diri.

“Pengalaman itu mengubah segalanya,” kata Faruk, sambil mengangkat bajunya untuk menunjukkan parut tembakan di bahu kirinya.

“Saya sedar yang saya perlu pergi jika saya mahu hidup.”

Tidak sampai setahun kemudian, Faruk melarikan diri ke selatan negara itu, membayar “ribuan dolar Amerika” kepada penyeludup manusia untuk perjalanan merentasi Laut Andaman, yang telah meragut nyawa ramai orang Rohingya yang mati lemas dalam percubaan serupa.

Bagi mereka yang terselamat dalam pelarian itu, penerimaan negara lain belum terjamin.

Nasib Faruk juga terjejas pada 2018 apabila beliau ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia dan dikurung di beberapa pusat tahanan imigresen.

Meskipun dalam tahanan, beliau berusaha mencari cara membantu orang lain.

“Saya boleh berbahasa Melayu, Benggali, Hindi dan Inggeris, jadi saya menjadi jurubahasa untuk pelarian lain,” kata Faruk.

“Saya belajar bahasa Hindi daripada menonton filem sebelum datang ke Malaysia, tetapi saya belajar bahasa Bengali semasa bekerja dalam sektor binaan di sini.”

Apabila beliau dibebaskan pada 2019 dengan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR) yang mengenal pasti dirinya sebagai pelarian, Faruk memutuskan untuk menceburi sukan bina badan sepenuh masa.

Beliau meninggalkan pekerjaan yang memerlukannya menghantar tong gas masak dan bekerja dalam sektor binaan untuk mengejar impiannya.

“Ramai pelarian muda berpendapat mereka tidak boleh mencapai apa-apa di sini,” katanya. “Saya ingin menunjukkan kepada mereka bahawa walaupun sebagai pelarian, anda boleh mempunyai impian besar dan mencapainya.”

Latihan Faruk sangat berat.

Beliau menghabiskan dua jam sehari, enam hari seminggu di gimnasium, menggandakan sesinya apabila pertandingan semakin hampir.

“Saya hanya berehat satu hari seminggu,” katanya.

Jurulatihnya dari Malaysia, Isaac Wong, kagum dengan kesungguhan Faruk, melihatkan cabaran yang perlu ditempuh anak didiknya itu.

“Ia menunjukkan keghairahan yang dimilikinya selain membuktikan bahawa semunya boleh dicapai,” kata Wong.

Kerja keras Faruk telah membuahkan hasil. Dengan fizikal yang dulu haya satu impian baginya, beliau kini melatih individu lain, menyampaikan apa jua yang dipelajarinya.

Namun di sebalik pencapaiannya hari ini, masalah di Myanmar masih menghantui Faruk.

Semasa beliau buat persiapan untuk pertandingan bina badan Oktober, ibu dan enam adik-beradiknya kehilangan tempat tinggal akibat keganasan yang semakin memuncak di Rakhine – memaksa beliau mengalihkan wang yang disimpannya untuk acara itu bagi membantu keluarganya ditempatkan semula.

“Saya hampir berhenti bertanding,” katanya.

“Tetapi rakan-rakan saya di gimnasium banyak membantu saya. Mereka memberitahu saya supaya jangan bimbang tentang wang itu dan menyokong saya”.

Ibu Faruk tidak memahami sepenuhnya tentang sukan bina badan, katanya, tetapi apabila ibunya melihat video anaknya itu bersaing, si ibu menangis.

Untuk seketika, seseorang daripada masyarakat yang “tidak berkuasa” beraksi hebat di atas pentas, mengatasi semua cabaran.

“Beliau sangat bangga,” kata Faruk. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg