Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SAMA KONSISTEN, SAMA HANDAL

Liverpool bersemangat, City tahu apa nak buat

Kedua-dua pasukan masih boleh menang Piala FA, EPL dan Liga Juara-Juara
Mar 28, 2022 | 05:30 AM



LONDON: Menjelang penghujung musim bola sepak di England ini, persaingan bagi gelaran pasukan terbaik melibatkan hanya dua pasukan dan pertaruhannya tinggi bagi kededuanya.



Manchester City, sebagai pendahulu Liga Perdana England (EPL), kini menjadi ukur tara tahap kehandalan bagi pasukan di Eropah, bukan musim ini sahaja, malah sejak beberapa musim lalu dengan Pep Guardiola sebagai pemimpinnya.



Liverpool pula, hanya satu mata di belakang City, masih boleh memenangi empat trofi musim ini - sesuatu yang tidak pernah dicapainya - selepas Jurgen Klopp dan anak didiknya menewaskan Chelsea dalam final Piala Carabao bulan lalu.



Dua pasukan ini adalah antara pasukan terhandal dan paling konsisten musim ini, masing-masing dengan kumpulan pemain tersendiri yang serba boleh dan membolehkan Klopp dan Guardiola mengubah corak permainan bila-bila masa.



Tidak hairanlah City dan Liverpool masih dalam persaingan untuk memenangi tiga trofi utama - Piala FA, EPL dan Liga Juara-Juara Eropah.



Dan dua pasukan ini akan betemu satu sama lain sekurang-kurangnya dua kali dalam tiga pertandingan itu.



Pada 10 April, Liverpool bertandang ke Stadium Etihad bagi pertemuan liga yang boleh menentukan siapa menjulang piala di akhir musim EPL.



Ini disusuli perlawanan separuh akhir Piala FA di Wembley pada minggu selanjutnya, dengan pemenangnya akan mara ke final.



Pada 28 Mei, Liverpool dan City mungkin bertemu lagi, jika kededuanya mara ke final Liga Juara-Juara.



Bekas pemain Liverpool Danny Murphy, yang kini bertugas sebagai juruanalisis bola sepak di BBC, berkata beliau ghairah menantikan perlawanan-perlawanan itu.



"Ia satu persaingan hebat yang harus diikuti, jika anda seorang peminat bola sepak, jika anda juga seorang yang suka menyaksikan pasukan terbaik berentap.



"Saya tidak sabar menyaksikan dua kumpulan pemain dan dua pengurus handal beraksi di sebuah padang yang sama, masing-masing dengan tumpuan untuk menang," ujar Murphy.



KELEBIHAN BAGI LIVERPOOL



Buat masa ini, momentum bak bersama pasukan dari Merseyside, yang telah berjaya mengurangkan kelebihan mata yang dimiliki City daripada 14 pada 15 Januari kepada satu mata pada awal minggu ini.



Pemain Liverpool juga kini telah memenangi sembilan perlawanan berturut-turut, sebelum mereka berpisah bagi minggu perlawanan antarabangsa mulai hujung minggu ini.



Klopp berkata pencapaian itu bukan satu perkara yang berlaku secara tidak sengaja.



"Kami berhimpun pada Januari lalu dan bermuafakat... untuk memberi tumpuan pada usaha mempertahankan gawang dalam perlawanan," kata Klopp selepas pasukannya menewaskan Arsenal 0-2 baru-baru ni.



"Kami terpaksa berbuat demikian kerana ingin mengubah nasib kami sendiri. Tanpa pertahanan kuat, sebarang pasukan adalah pasukan lemah. Anda boleh menang satu perlawanan hari ini, tetapi kalah dalam perlawanan pada hari selanjutnya.



"Hari ini kami menang 0-2, tetapi ada kalanya kami hanya menang dengan satu gol. Jika pertahanan kami tidak kuat, kami tidak akan mencapai kemenangan itu."



Dalam tujuh daripada sembilan perlawanan terakhirnya, Liverpool berjaya mempertahankan gawangnya daripada dibolosi.



Kehandalan penjaga gawang Alisson Becker membantu, tetapi sumbangan pemain pertahanan, serta kededua pemain bek, Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson, tidak boleh diremehkan.



Namun, Klopp menepis sebarang cadangan bahawa pasukanya mempunyai kelebihan semata-mata kerana momentum menyebelahi mereka.



Menurut Klopp, momentum bukan satu perkara yang berkekalan dan boleh lenyap bila-bila masa.



"Tentu sekali momentum adalah penting. Tapi ia bukan segala-galanya.



"Momentum adalah satu konsep rapuh. Ia bak bunga paling lemah di Bumi.



"Anda mungkin mempunyai petak bunga paling cantik di taman, tetapi jika ada orang memijaknya, bunga anda terhapus dan anda harus berusaha gigih lagi untuk mencari momentum yang telah dihapuskan itu," kata Klopp.



KELEBIHAN BAGI CITY



Ada beberapa cadangan daripada beberapa pihak yang berkata City telah mencapai puncak persembahan bagi musim ini, terutama selepas ia diikat seri oleh Crystal Palace.



Namun, pemain City Joao Cancelo berkata perkara itu tidak benar.



"Bagi saya, kami berada dalam kedudukan lebih baik daripada Liverpool... kami masih mendahului mereka dalam liga dan tuah kami masih dalam tangan sendiri.



"Jika Liverpool diberi pilihan mengambil tempat kami... saya rasa mereka tidak akan menolak," ujar Cancelo, yang berasal dari Portugal.



Guardiola juga berkata beliau tidak berapa bimbang selepas Liverpool berjaya merapat jurang dengan kelabnya.



"Saya dan pemain saya tetap akan tidur nyenyak setiap malam," kata Guardiola baru-baru ini.



"Saya rasa kami semua tahu apa cabaran yang menanti kami selepas minggu perlawanan antarabangsa nanti.



"Tapi kami tidak khuatir. Kami tahu apa yang perlu dilakukan dan kami akan bekerja keras untuk melaksanakan apa yang harus dilakukan," ujar Guardiola. - Agensi berita.








PELUANG BERSEMUKA 



Laluan ke Piala FA: 16 April



- Chelsea lwn Crystal Palace



- Manchester City lwn Liverpool



❑ Laluan ke final Liga Juara-Juara Eropah



- Suku akhir



6 April



Benfica lwn Liverpool



Manchester City lwn Atletico Madrid



14 April



Atletico Madrid lwn Manchester City



Liverpool lwn Benfica



- Separuh akhir (jika Liverpool dan Man City menang suku akhir masing-masing)



Liverpool lwn Villareal/Bayern Munich



Manchester City lwn Chelsea/Real Madrid



Baki perlawanan EPL



Liverpool lwn:



Watford (Anfield), 2 Apr



Man City (Etihad), 10 Apr



Man Utd (Anfield), 20 Apr



Everton (Anfield), 24 Apr



Newcastle (St Jame's Park), 30 Apr



Tottenham (Anfield), 7 Mei



Southampton (St Mary's) 15 Mei



Wolves (Anfield) 22 Mei



Aston Villa (Villa Park) Tarikh akan ditentukan



Manchester City lwn:



Burnley (Burnley) 2 Apr



Liverpool (Etihad) 10 Apr



Brighton (Amex) 21 Apr



Watford (Etihad) 23 Apr



Leeds (Elland Road) 1 Mei



Newcastle (Etihad) 7 Mei



West Ham (West Ham), 15 Mei



Aston Villa (Etihad) 22 Mei



Wolves (Wolves) Tarikh akan ditentukan








SUPER 5 MANCHESTER CITY



LIMA pemain City ini mempunyai kekuatan sendiri. Kevin De Bruyne tentu sekali adalah tunggak kreatif yang boleh menceroboh benteng lawan dengan satu sentuhan cekap.



Bernardo Silva dan Jack Grealish mempunyai gabungan kecekapan teknikal dan kebijaksanaan menggunakan kecekapan ini untuk menyakiti lawan di sebarang kawasan padang.



Raheem Sterling dan Gabriel Jesus bukan boleh mengundang lawan untuk mengacip mereka di sayap sahaja, malah amat berdaya menjaringkan gol apabila masuk ke dalam petak penalti.



SUPER 5 LIVERPOOL



SISTEM yang dibentuk Juergen Klopp di Liverpool boleh disemak untuk memasukkan kesemua lima penyerang utamanya dalam kesebelasan utama atau menggunakan tiga pemain saja dan lagi dua pemain sebagai pemain impak di pertengahan perlawanan.



Yang pasti, Mohamed Salah, Luis Diaz dan Firmino bukan pantas sahaja malah cekap mengawal bola dan boleh memporak-perandakan lawan dalam sekelip mata.



Pemain mempunyai kecekapan teknikal dan kekuatan - Sadio Mane dan Diogo Jota - pula boleh menarik perhatian lawan dan membuka ruang bagi pemain lain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >