Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluang dua muka baru skuad Singa asah bakat

Bagi Ong dan Jonan panggilan satu peningkatan daripada skuad bawah 23 tahun ke skuad senior
Oct 7, 2025 | 7:42 PM
Jonan Tan (jersi biru), yang kini beraksi di kelab Portugal, FC Vizela, salah seorang pemain muda yang menerima panggilan mewakili skuad Singa buat julung-julung kalinya dalam tempoh perlawanan antarabangsa Fifa Oktober.
Jonan Tan (jersi biru), yang kini beraksi di kelab Portugal, FC Vizela, salah seorang pemain muda yang menerima panggilan mewakili skuad Singa buat julung-julung kalinya dalam tempoh perlawanan antarabangsa Fifa Oktober. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Seperti impian menjadi kenyataan, pemain Kelab Bola Sepak Young Lions, Ong Yu En, merupakan salah seorang wajah baru dalam skuad Singa yang kini berlatih bersama pemain-pemain veteran bola sepak yang pernah beliau kagumi dari jauh.

Semasa kecil, Ong sering menonton aksi Hariss Harun dan Safuwan Baharudin di YouTube.

Pemain tengah berusia 22 tahun itu kelihatan kagum ketika berkongsi tentang pengalaman berlatih bersama wira-wiranya kepada Berita Harian (BH), semasa bertemu dengan anggota media di Park Royal Beach Road pada 7 Oktober.

“Safuwan dan Hariss amat saya kagumi, mereka berdua memang luar biasa... Mereka pemimpin yang handal dan cemerlang bermain di bahagian pertahananan.

“Saya menghargai peluang belajar daripada mereka ketika kami berlatih bersama-sama dan berada di bilik persalinan,” kata Ong sambil tersenyum.

Persembahan Ong baru-baru ini dalam musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2025/26 amat meyakinkan dan mencuri tumpuan ramai, termasuk ketua jurulatih sementara skuad Singa, Gavin Lee.

Sebagai pemain tengah, Ong percaya beliau mampu memperkukuhkan jentera pasukannya dan bijak mengawal bola.

“Saya juga yakin dengan kebolehan saya membuat hantaran yang tepat,” tambahnya.

Seorang lagi pemain muda yang menerima panggilan untuk menyertai skuad senior buat kali pertama adalah Jonan Tan, yang telah melalui penerbangan lebih 16 jam dari Portugal.

Namun, Jonan, yang perlu menyesuaikan diri dengan perbezaan waktu selama tujuh jam sejak beliau kembali pada 2 Oktober, tidak risau tentang perjalanan jauh itu dan kelihatan ghairah ketika ditemui BH.

“Saya tidak jangka saya akan menerima panggilan ini. Mata saya terkelip-kelip apabila melihat mesej panggilan itu.

“Saya sangat teruja dan terus memberitahu kawan-kawan dan keluarga saya mengenainya, (sejak itu) saya tidak bersabar untuk berada di sini,” kata Jonan.

Jonan, 19 tahun, kini beraksi bersama kelab Portugal, FC Vizela, bersama pemain muda Singapura yang lain seperti, Nur Muhammad Asis dan Khairin Nadim.

Beliau kini berhasrat membuktikan kemampuannya, setelah mengasah bakat dalam persekitaran bola sepak yang lebih kompetitif di Portugal.

“Rentak permainan di sana lebih sengit dan kompetitif. Pemain di sana lebih handal mengawal bola dalam ruang sempit dan berani menembusi benteng pertahanan dengan hantaran tepat.

“Saya mempelajari daripada mereka dan mampu jadi lebih yakin,” kata Jonan yang baru-baru ini mencatatkan assist (hantaran bagi membuka peluang jaringan) pertama untuk kelabnya.

Ong dan Jonan ialah antara 26 pemain yang menjadi pilihan Lee, untuk tempoh perlawanan antarabangsa Fifa Oktober, yang bakal menyaksikan pasukan Singa beraksi dalam dua perlawanan penting menentang India dalam saingan Kumpulan C kelayakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kempen kelayakan skuad Singa akan diteruskan menentang India di Stadium Negara pada 9 Oktober, sebelum mereka bertandang ke Goa bagi perlawanan timbal balik pada 14 Oktober.

Keputusan positif dalam dua perlawanan tersebut akan memberi peluang kepada skuad Singa untuk layak ke Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah.

Skuad Singa kini mendahului Kumpulan C, selepas menewaskan Bangladesh 2-1 di Stadium Bangabandhu pada 10 Jun, serta mencapai keputusan seri 0-0 menentang Hong Kong di Stadium Nasional pada 25 Mac.

Bagi Ong dan Jonan, panggilan ke skuad Singa juga merupakan peningkatan daripada bermain dalam kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun.

Mereka akur panggilan itu merupakan peluang penting untuk menajamkan bakat dan pengetahuan bola sepak, serta meningkatkan keyakinan mereka menjelang temasya Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Thailand pada Disember.

“Tahap permainan dan latihan di sini memang lebih tinggi. Ini merupakan peluang baik untuk kami menerap pengajaran tentang permainan dan kepimpinan daripada pemain senior seperti Hariss dan Safuwan, lalu melaksanakan itu dalam persiapan untuk Sukan SEA,” tambah Jonan.

Ong pula mencelah: “Bermain lebih banyak perlawanan pada tahap yang lebih tinggi, seperti di peringkat antarabangsa, tentu akan meningkatkan tahap saya sebagai seorang pemain.”

Kededua pemain itu akur akan memanfaatkan masa sepenuhnya di bawah bimbingan Lee.

Ong, yang pernah mendapat bimbingan Lee semasa beraksi di Tampines Rovers, berkata:

“Saya teruja dapat bekerjasama dengan beliau (Lee) sekali lagi.

“Saya sudah biasa dengan cara beliau kendalikan latihan serta strategi beliau yang mengutamakan penguasaan bola, satu pendekatan yang sesuai dengan kebolehan saya.”

Jonan pula diperkenalkan kepada ketelitian Lee dalam membuat analisis.

“Saya dapat lihat kesungguhannya sebagai jurulatih. Saya rasa kami beruntung berada di bawah bimbingannya dan saya yakin beliau mampu memimpin kami untuk mencapai keputusan yang baik,” kata Jonan, yang pertama kali bekerjasama dengan Lee.

Kededua pemain berharap dapat membawa balik pengalaman dan pengajaran daripada latihan bersama skuad Singa kepada pasukan di bawah usia 23 tahun, demi meningkatkan tahap permainan dan prestasi mereka bagi temasya Sukan SEA 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg