Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluang Newcastle ke Liga Juara-Juara makin cerah

Newcastle di tangga kelima liga, berkongsi 53 mata dengan Chelsea
Apr 8, 2025 | 2:30 PM
Pemain tengah Newcastle United, Jacob Murphy menjaringkan gol kedua ketika menentang Leicester City dalam saingan Liga Perdana England.
Pemain tengah Newcastle United, Jacob Murphy menjaringkan gol kedua ketika menentang Leicester City dalam saingan Liga Perdana England. - Foto REUTERS

LEICESTER (England): Kegembiraan merangkul trofi domestik pertama Newcastle United selama 70 tahun dan keghairahan tidak terkawal semasa perarakan bas terbuka melalui jalan-jalan di bandar raya itu boleh mengganggu tumpuan pasukan Eddie Howe daripada mengejar kelayakan Liga Juara-Juara.

Tetapi, kejayaan di peringkat Liga Perdana England secara berturut-turut sejak kemenangan di Wembley ke atas Liverpool pada Mac dan yang terbaru 3-0 ke atas Leicester City pada 7 April, bermakna mereka kekal di landasan untuk kembali ke saingan teratas Eropah.

Dua gol awal oleh Jacob Murphy dan satu lagi oleh Harvey Barnes sebelum separuh masa, menjadikannya malam yang selesa untuk Newcastle yang melompat ke tempat kelima di atas Manchester City.

Mereka mempunyai 53 mata dengan Chelsea di tangga keempat dan mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Kali terakhir Leicester menjaringkan gol dalam perlawanan liga di hadapan penyokong sendiri adalah ketika menentang Brighton pada 8 Disember lalu dan mereka pasukan pertama dalam sejarah liga yang tewas lapan perlawanan liga di laman sendiri berturut-turut tanpa menjaringkan gol.

Howe menjelaskan cabaran terbesarnya adalah mengekalkan fokus selepas kelab itu menamatkan kemarau trofi selama 56 tahun dengan menjuarai Piala Liga menentang Liverpool bulan lalu.

“Saya tidak boleh memuji mereka terlalu tinggi. Mereka adalah sekumpulan pemain yang amat merendah diri dan ingin melakukan yang terbaik serta mewakili kelab dengan cara yang betul.

“Namun, cabarannya ialah bolehkah anda pergi lebih jauh lagi dan mereka telah melakukannya dengan baik. Berada di empat teratas amat bermakna kepada kami. Sukar untuk berfikir terlalu jauh dan memikirkan implikasinya.

“Kami perlu melakukan tugas kami... semata-mata untuk memenangi perlawanan,” jelas Howe

Newcastle akan bertemu Manchester United pada hujung minggu sebelum satu lagi perlawanan di tempat sendiri menentang Crystal Palace pada 9 April dan mereka kemudian akan menentang pesaing empat teratas Aston Villa.

“Kami bermain dengan penuh keyakinan dan kami akan memerlukannya kerana tiga perlawanan seterusnya adalah sukar.

“Ia akan menjadi semakin panas. Bagi kami minggu depan adalah masa yang sangat penting. Kami mempunyai tiga perlawanan (menentang Manchester United, Crystal Palace, dan Aston Villa) yang sangat sukar dan itu akan membantu kami melihat kedudukan kami pada penghujung musim kelak,” tambah Howe.

Murphy merumuskan suasana yang memberangsangkan di kelab itu.

“Memang sukar dipercayai. Lawatan dengan bas itu adalah begitu hebat. Anda boleh lihat mengapa pemain handal menjadi ketagih untuk memenangi trofi kerana perasaan terlalu gembira yang mereka rasakan.

“Sekarang kami kembali berlatih, anda mahu itu lagi musim depan. Kami mahu terus berusaha untuk lebih baik dan merasainya lagi,” ujar Murphy. – Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg