Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Singa Legends’ terus mengaum melalui bakti masyarakat

Mar 24, 2025 | 2:45 PM
Bekas kapten pasukan bola sepak Singapura, Shahril Ishak (depan), bersama beberapa lagi bekas pemain kebangsaan menyiapkan habuan Hari Raya untuk diagih kepada penduduk Jalan Kukoh pada 22 Mac.
Bekas kapten pasukan bola sepak Singapura, Shahril Ishak (depan), bersama beberapa lagi bekas pemain kebangsaan menyiapkan habuan Hari Raya untuk diagih kepada penduduk Jalan Kukoh pada 22 Mac. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Beberapa pemain bola sepak legenda Singapura kini bergabung untuk menabur bakti kepada masyarakat, di bawah satu daya utama yang bertujuan membantu golongan susah dan memberi inspirasi kepada generasi muda.

Daya utama itu, yang diberi nama Singa Legends, dipimpin bekas pengurus pasukan kebangsaan Farehan Hussein dan Aizat Ramli.

Antara inisiatif pertama Singa Legends ialah ‘Projek MemperKUKOHkan Singaturahim’, satu program yang bertujuan menyiapkan dan membahagikan habuan Hari Raya kepada penduduk berpendapatan rendah yang tinggal di flat sewa di sekitar Jalan Kukoh semasa Ramadan.

“Singa Legends membolehkan peminat mengimbau kembali zaman kegemilangan Singa, dari Stadium Kallang yang ikonik hingga ke Hab Sukan hari ini, sambil kami menabur bakti kepada masyarakat,” kata Farehan, yang juga pengasas perniagaan Gynacarlogist dan QurbanNow SG.

“Ini juga cara kami membalas budi peminat atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi selama ini.”

Dijalankan pada 22 Mac, program itu disertai, antara lain, oleh wira bola sepak kebangsaan seperti bekas kapten negara Shahril Ishak, bekas tonggak barisan pertahanan Baihakki Khaizan dan bekas penyerang LionsXII Fazrul Nawas.

Artis Singapura Fauzie Laily turut menyertai usaha itu. Mereka mengagihkan dan beramah-tamah bersama penduduk Jalan Kukoh itu, yang jelas masih mengenali wajah mereka.

Menurut Farehan, usaha itu adalah permulaan kegiatan Singa Legends, yang merancang menganjurkan perlawanan bola sepak dan acara amal lain bagi mengumpul dana untuk membantu golongan memerlukan.

Antara acara yang dirancang Singa Legends ialah sambutan Hari Raya bersama anak yatim, perlawanan bola sepak amal, klinik bola sepak untuk belia berisiko, dan siri ceramah motivasi bagi memberi inspirasi kepada generasi muda.

Malah mereka juga merancang mengundang pemain legenda dari seberang Tambak untuk satu perlawanan amal.

Butiran lanjut mengenai acara-acara tersebut akan diuar-uarkan pada masa akan datang.

Singa Legends mengalu-alukan sokongan peminat bola sepak untuk menjayakan acara-acara tersebut.

Peminat tidak perlu tunggu lama untuk menyaksikan legenda-legenda itu kembali beraksi, kerana mereka akan mengadakan perlawanan amal menentang artis tempatan Singapura di Our Tampines Hub pada 20 April.

Shahril, yang bersara dari bola sepak pada 2023, akan memikul tanggungjawab sebagai kapten dalam perlawanan tersebut.

Beliau, yang kini seorang jurulatih di Kelab Bola Sepak Singapura (SFC), merupakan pemain Singapura pertama memenangi tiga trofi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pada 2004, 2007, dan 2012.

Beliau juga memenangi trofi Liga Super Malaysia (2013) dan Piala Singapura (2022) serta anugerah Pemain Terbaik AFF (2012) dan Pemain Terbaik Liga Singapura (2010) (kini Liga Perdana Singapura).

Shahril sebahagian daripada kumpulan perintis lulusan Akademi Bola Sepak Kebangsaan (NFA) pada 2002, bersama Baihakki dan bekas penyerang Singa, Khairul Amri, yang akan turut bermain dalam perlawanan amal itu.

Beliau menghargai inisiatif Singa Legends kerana ia membolehkan beliau dan rakan seperjuangannya dulu bertemu kembali, sesuatu yang sukar dilakukan akibat tanggungjawab kehidupan dan pekerjaan masing-masing sejak bersara dari bola sepak.

“Untuk berkumpul semula dengan bekas rakan sepasukan demi tujuan yang baik adalah keputusan yang mudah bagi kami semua. Kami berharap dapat bermain dan menyertai aktiviti yang akan memberi inspirasi kepada generasi muda sambil menunjukkan penghargaan kami kepada peminat,” kata Shahril.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg