PARIS: Masomah Ali Zada berasa “bangga” kerana dapat mewakili “semua peserta yang telah dipaksa meninggalkan negara mereka” dalam peranannya selaku chef de mission (CDM) atau ketua kontinjen Pasukan Pelarian di sukan Olimpik Paris.
Berkata demikian kepada agensi berita AFP, warga Afghanistan berusia 28 tahun itu yang telah beralih daripada sukan lumba basikal Olimpik bagi pasukan Pelarian di Sukan Tokyo 2020, kepada peranan pengurusan, kini akan menjadi “jurucakap bagi sekitar 120 juta orang yang kehilangan tempat tinggal di seluruh dunia”.
Masomah akan mengetuai 36 atlet yang berasal dari 11 negara dan bersaing dalam 12 sukan pada temasya itu yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.
“Ia membuat saya berasa amat hebat dan ia merupakan penghormatan yang besar untuk mewakili, bersama pasukan unik dan istimewa ini, diwakili mereka yang terpaksa meninggalkan negara mereka,” kata Masomah kepada AFP.
Beliau berkata demikian dalam bahasa Perancis semasa beberapa sesi temu ramah di ibu pejabat penganjur sukan itu di Paris sebagai memperingati Hari Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Masomah telah mencapai banyak kejayaan dalam tempoh lapan tahun sejak beliau tiba di Perancis, mendapat hak suaka selepas permohonan pertama visanya ditolak.
Namun baru-baru ini beliau memperoleh ijazah sarjana dalam kejuruteraan awam di Universiti Lille di Perancis.
Masomah boleh mengaitkan dirinya dengan para pelarian – memandangkan beliau juga tinggal di Iran sejak berusia dua tahun hingga 10 tahun sebelum kembali ke Afghanistan.
“Saya tahu makna di sebalik menjadi pelarian,” kata Masomah, dengan matanya disapu celak dan kepalanya ditutup tudung hitam.
“Saya melalui pengalaman buruk, yang menyebabkan saya tertanya-tanya sama ada saya akan dihormati dan ini menimbulkan banyak persoalan mengenai masa depan saya.”
Masomah mengakui beliau kini berada dalam kedudukan yang lebih baik daripada rakan senegara wanita lain di Afghanistan.
“Apabila saya membandingkan keadaan saya di sini, di Perancis, saya boleh tinggal dan mengembara sendiri, berbanding wanita di Afghanistan... saya berasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat berbuat apa-apa untuk mereka,” kata Masomah yang kelihatan beremosi.
Sejak mereka kembali berkuasa pada Ogos 2021, Taleban telah menggunakan tafsiran ketat Islam untuk menghakis hak wanita.
Di Afghanistan, wanita dilarang bersukan sebagai sebahagian daripada peraturan berdasarkan tafsiran ketat pemerintah Taleban berdasarkan Islam.
Ini telah menyekat akses kaum Hawa ke tempat awam seperti taman dan gimnasium, serta pendidikan dan pekerjaan tertentu.
Namun begitu, Afghanistan akan mempunyai sepasukan enam anggota di Paris, tiga lelaki dan tiga wanita, selepas perbincangan sengit antara Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dengan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NAC) Afghanistan.
NAC Afghanistan memberitahu AFP, semua kecuali seorang daripada enam anggota pasukannya, berpangkalan di luar negara.
“Saya sangat gembira akan ada tiga wanita Afghanistan dan mereka akan setaraf dengan lelaki,” kata Masomah, yang menambah beliau akan bersama untuk menceriakan mereka dalam acara mereka.
Masomah, yang tergolong dalam minoriti Syiah Hazara yang dianiaya berdasarkan sejarah, berkata beliau mengalami penderaan dan stigma ketika menaiki basikal di Afghanistan selepas pulang dari Iran.
Beliau berkata orang ramai akan membaling batu dan menghinanya ketika beliau berbasikal dengan laju mengelilingi Kabul.
Namun, semua itu hanya mendorong semangatnya dan beliau berjaya disertakan dalam pasukan kebangsaan semasa berusia 16 tahun.
“Saya dibesarkan di tengah-tengah ketidaksamaan dan rasa tidak aman yang meluas,” katanya.
“Kami hidup dalam ketakutan, tetapi apabila saya menaiki basikal saya, saya berasa bebas. Saya lupa tentang masalah.
“Saya punyai tanggapan saya diperkasa, apabila di Afghanistan orang menganggap wanita tidak berupaya melakukan perkara tertentu,” kata Masomah, yang akhirnya meninggalkan negara itu ekoran permusuhan yang timbul daripada unsur konservatif masyarakat Afghanistan.
Namun Masomah tetap ingin memburu kerjaya dalam sukan dan tiada sesiapa berani membuat taruhan terhadap kejayaannya berdasarkan semangat serta keberaniannya yang hebat sejauh ini.
“Anda mesti bekerja amat keras demi memenuhi impian anda.
“Saya terpaksa berusaha tiga kali ganda lebih gigih berbanding pelajar Perancis – termasuk semasa mempelajari bahasa, kursus di universiti serta bersukan,” tambahnya.
Ternyata beliau mampu memenuhi impiannya semasa sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Saya memenuhi impian saya apabila orang ramai menjerit nama saya,” akui Masomah, yang menduduki tempat terakhir dalam ujian masa.
Ia detik yang jarang berlaku kerana ketika itu, sekatan Covid-19 masih dilaksana, namun, penonton dibenarkan hadir.
“Selepas itu saya berkata kepada diri sendiri bahawa apa jua impian mampu dicapai kerana saya sendiri telah berada di sana,” tambah beliau. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg