Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelumba Mercedes, George Russell, juara GP S’pura

McLaren menang kejuaraan pembina kereta buat dua tahun berturut-turut
Oct 5, 2025 | 10:37 PM
Pelumba Mercedes, George Russell, mempamerkan penguasaan dan ketenangan seluruh perlumbaan untuk menjuarai Litar Jalanan Marina Bay semasa Grand Prix Singapura pada 5 Oktober.
Pelumba Mercedes, George Russell, mempamerkan penguasaan dan ketenangan seluruh perlumbaan untuk menjuarai Litar Jalanan Marina Bay semasa Grand Prix Singapura pada 5 Oktober. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pemandu Mercedes, George Russell, perolehi kemenangan pertamanya di Litar Jalanan Marina Bay pada 5 Oktober, dan kemenangan keduanya dalam kempen ini sejak menjuarai Grand Prix Canada pada 15 Jun.

Kemenangan Russell merapatkan jurang mata dengan pendahulu Formula Satu (F1), pelumba McLaren, Oscar Piastri, sebanyak 22 mata.

Perlumbaan dimulakan dengan hanya 18 pelumba selepas pelumba Williams, Alex Albon dan Carlos Sainz, tidak layak berlumba kerana kegagalan ujian teknikal terhadap sayap belakang kereta mereka pasca sesi kelayakan.

Selepas mencatat masa kelayakan terpantas semasa pusingan kelayakan pada 4 Oktober, dengan masa satu minit 29.928 saat, Russell memulakan perlumbaan dari petak pertama.

Pelumba British berusia 27 tahun itu menguasai perlumbaan malam itu dari awal hingga akhir untuk muncul sebagai pemandu pertama melepasi garisan penamat selepas 62 pusingan.

Permulaan perlumbaan tidak mengecewakan, menyaksikan pelumba Mercedes, George Rusell memecut bagi mempertahankan kelebihan kedudukan pertamanya.

Dalam percubaan untuk melepasi pelumba Red Bull, Max Verstappen, pelumba McLaren, Lando Norris terpaksa melanggar tayar rakan sepasukannya, Oscar Piastri untuk mengelak rempuhan Max.

Itu membolehkan Lando untuk melepasi Oscar untuk menduduki tempat ketiga awal perlumbaan, lantas mengundang ketidakpuasan dari rakan sepasukannya.

Verstappen yang telah memenangi dua perlumbaan terakhirnya di Italy pada 7 September dan Azerbaijan pada 21 September, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kedua.

Pemenang Grand Prix Singapura pada 2024, Norris terpaksa mengalah dan menyerahkan gelaran juara bertahan litar tersebut kepada Russell, dan mengakhiri perlumbaan di Singapura di tempat ketiga.

Pendahulu F1, Piastri gagal ke podium kali ini dan mengakhiri perlumbaan di tempat keempat.

Rakan sepasukan Russell, Kimi Antonelli, keciciran satu tangga dari permulaannya di petak keempat, mengakhiri perlumbaan di tempat kelima.

Keputusan perlumbaan itu bermakna walaupun Oscar mengekalkan kedudukan di tempat pertama, beliau dikejar rapat oleh rakan sepasukannya, Norris, di tempat kedua, diikuti dengan Verstappen di tempat ketiga dan kemudian pemenang Grand Prix Singapura 2025, Russell di tangga keempat.

Selain itu, prestasi mantap daripada Norris dan Piastri berjaya membimbing McLaren merangkul kejohanan pembina kereta walaupun dengan baki enam perlumbaan, mempamerkan penguasaan mereka dalam kempen ini.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut McLaren memenangi kejohanan tersebut.

McLaren memperolehi 650 mata selepas 18 perlumbaan, diikuti oleh Mercedes dengan 323 mata, dan Ferrari dengan 302 mata.

Ada baki enam perlumbaan dalam kalendar F1, dengan yang seterusnya di Amerika Syarikat dari 17 hingga 19 Oktober.

Edisi 2025 GP Singapura menyaksikan seramai 300,641 penonton menghadiri acara sepanjang tiga hari itu, jumlah kedua tertinggi sejak 2008 apabila acara itu diadakan buat julung-julung kalinya di Singapura.

Jumlah paling ramai penonton, seramai 302,000 orang, dicatat pada 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg