Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lumba F1 Grand Prix S’pura dibanjiri 300,641 penonton

Oct 5, 2025 | 7:40 PM
Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Singapura Singapore Airlines mencatat peningkatan jumlah penonton sebanyak 11.7 peratus pada Edisi 2025, berbanding 2024.
Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Singapura Singapore Airlines mencatat peningkatan jumlah penonton sebanyak 11.7 peratus pada Edisi 2025, berbanding 2024. - Foto ST

Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Singapura Singapore Airlines sekali lagi terbukti menjadi acara yang dinanti-nanti peminat tempatan dan antarabangsa, dengan penganjur mengumumkan pada 5 Oktober jumlah kehadiran penonton bagi edisi 2025 mencecah 300,641 orang.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 11.7 peratus, berbanding 269,072 penonton yang memenuhi Litar Lumba Marina Bay untuk hujung minggu perlumbaan tiga hari pada 2024.

Tahun 2025 juga mencatat jumlah kehadiran kedua penonton tertinggi selepas rekod 302,000 penonton dilaporkan pada 2022, jelas The Straits Times (ST).

Rekod ini dicatat sebelum laluan diubah, dengan dimanfaatkan Pentas Terapung Marina Bay yang menampung 27,000 tempat duduk, sebagai sebahagian penyusunan semula untuk pembinaan lokasi serbaguna baru dan tetap yang akan menggantikan pentas terapung berkenaan, Dataran NS (Perkhidmatan Negara).

Edisi ke-16 perlumbaan malam itu berpotensi menyaksikan penobatan juara pembina kereta atau ‘constructor’ buat kali pertama di Singapura sejak acara ini dimulakan pada 2008, dengan McLaren hanya memerlukan 13 mata pada 5 Oktober untuk mengekalkan gelaran mereka.

Oscar Piastri dan juara bertahan Singapura, Lando Norris, masing-masing akan memulakan perlumbaan di tempat ketiga dan kelima, mereka akan berjaya memuktamadkan kemenangan jika mengekalkan posisi tersebut.

Perhatian juga akan tertumpu pada George Russell dari Mercedes, yang menduduki tempat pertama selepas menamatkan masa terbaik pada sesi kelayakan pada 4 Oktober dengan rekod litar 1 minit 29.158 saat, mengatasi Max Verstappen dari Red Bull (1 minit 29.340 saat) dan Piastri (1 minit 29.524saat).

Dengan 10 daripada 15 Grand Prix Singapura yang lalu dimenangi oleh pemandu yang memulakan perlumbaan dari tempat pertama, pemandu berusia 27 tahun ini akan mensasarkan kemenangan kedua musim ini, selepas kejayaannya di Canada pada Jun.

Dalam perlumbaan kali ini, turut diperkenalkan semula adalah Akademi F1, satu siri perlumbaan untuk wanita yang dilancarkan pada 2023, dengan Singapura menjadi tuan rumah bagi pusingan kedua terakhir dalam kalendar tujuh acara.

Selain perlumbaan, persembahan hiburan turut memukau penonton, dengan ikon pop Britain, Elton John merupakan nama terbesar dalam barisan selebriti muzik yang menghiburkan peminat mereka dalam pesta tiga hari itu.

Barisan artis lain yang turut tampil memberikan persembahan penuh tenaga termasuk bintang K-pop, G-Dragon dan CL, kumpulan pop elektronik Britain, Clean Bandit, kumpulan rok Amerika Foo Fighters, penyanyi dan komposer Indonesia, Putri Ariani, dan deejay-penerbit Norway Alan Walker.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg