ROME: Pemain akan memboikot kejohanan Terbuka Perancis sekiranya jumlah wang kemenangan bagi Grand Slam gelanggang tanah liat itu tidak dinaikkan, tegas pemain tenis nombor satu dunia wanita, Aryna Sabalenka pada 5 Mei.

Pemain nombor empat dunia, Coco Gauff, turut menyuarakan sokongan terhadap langkah drastik tersebut.

Ancaman itu meruncingkan lagi pertikaian antara barisan pemain dengan penganjur kejohanan tersebut berhubung wang kemenangan, ini meskipun kejohanan yang turut dikenali sebagai Roland Garros itu menaikkan wang kemenangan sebanyak 9.5 peratus kepada 61.7 juta euro ($92 juta) tahun ini.

Segelintir pemain terkemuka berkata mereka dijangka menerima wang kemenangan yang berkemungkinan besar masih di bawah 15 peratus daripada hasil pendapatan kejohanan, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 4 Mei.

Jumlah tersebut jauh lebih rendah berbanding 22 peratus yang dituntut, bagi menyamai peratusan yang ditawarkan dalam kejohanan gabungan Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) dan Persatuan Tenis Wanita (WTA) 1000.

Apabila ditanya sejauh mana pemain akan mempertahankan tuntutan mereka, Sabalenka berkata: 

“Saya rasa persembahan ini bergantung kepada kami. Tanpa kami, tidak akan ada kejohanan dan tidak akan ada hiburan tersebut.

“Kami pemain wanita boleh bersatu dengan mudah dan memperjuangkan perkara ini kerana saya rasa ia sangat tidak adil bagi pemain. Saya rasa pada satu masa nanti kami akan memboikotnya (kejohanan itu). Saya rasa itu akan menjadi satu-satunya cara memperjuangkan hak kami.

“Kita lihat sejauh mana kami boleh pergi, jika ia memerlukan pemain untuk memboikot. Apabila anda melihat angka dan jumlah yang diterima oleh pemain... saya rasa kami sememangnya layak dibayar peratusan lebih tinggi.”

Namun, bintang Belarus itu tetap mengharap rundingan yang sedang dijalankan dapat mencapai kata sepakat yang adil. 

“Saya benar-benar berharap agar semua rundingan yang kami lalui, akan mencapai keputusan yang tepat pada satu ketika, iaitu satu jalan penyelesaian yang akan menggembirakan semua pihak,” tambahnya.

Peningkatan wang kemenangan sebanyak 5.4 juta euro berbanding 2025 masih menyaksikan Roland Garros ketinggalan berbanding saingan Grand Slam yang lain.

Terbuka Amerika menawarkan AS$90 juta ($115 juta) pada 2025, manakala Wimbledon memberi hadiah keseluruhan 53.5 juta paun ($92 juta) dan Terbuka Australia pula mencatatkan rekod A$111.5 juta ($102 juta) bagi 2026.

Pemain Amerika, Gauff, berkata beliau “yakin sepenuhnya” bahawa pemain akan memboikot kejohanan Grand Slam tersebut sekiranya mereka membuat keputusan bersama-sama.

“Ini bukan tentang saya. Ia adalah mengenai masa depan sukan kita dan juga pemain sedia ada yang mungkin tidak menerima manfaat sebanyak yang diperoleh pemain terkemuka dalam hal penajaan dan sebagainya,” kata Gauff.

“Kami (pemain terkemuka turut) menjana pendapatan di luar gelanggang. Namun, apabila anda lihat (pemain ranking) 50 hingga 100, atau 50 hingga 200, dan membandingkannya dengan keuntungan yang diperoleh setiap Grand Slam, adalah amat mendukacitakan apabila 200 pemain tenis terbaik dunia terpaksa hidup sekadar cukup makan.”

Gauff turut menyarankan agar pemain membentuk sebuah kesatuan, sambil memberi contoh kejayaan kesatuan pemain Persatuan Bola Keranjang Wanita Kebangsaan (WNBA) yang mencapai persetujuan sementara bagi rundingan bersama pada awal 2026 selepas rundingan tersebut berlangsung hampir 17 bulan.

“(Saya) hanya mengambil pelajaran daripada apa yang telah dicapai WNBA. Mereka mempunyai kesatuan, jadi saya rasa itu sangat membantu,” tambahnya.

Namun, pemain Poland, Iga Swiatek, yang merupakan juara empat kali kategori perseorangan Terbuka Perancis, percaya bahawa tindakan memboikot kejohanan “sedikit keterlaluan”.

“Sejujurnya, saya rasa perkara paling penting adalah mempunyai komunikasi dan perbincangan yang sewajarnya dengan badan pengawal selia supaya kita diberi ruang untuk berbincang dan mungkin berunding,” kata Swiatek, yang juga pernah memenangi Wimbledon dan Terbuka Amerika.

“Harapnya sebelum Roland Garros, akan ada peluang untuk mengadakan pertemuan seumpama ini dan kita akan lihat bagaimana keputusannya nanti.” – Reuters, AFP.