‘Carlitos’ ukir nama dalam sejarah tenis, capai Grand Slam kerjaya pada usia muda

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Carlitos’ ukir nama dalam sejarah tenis, capai Grand Slam kerjaya pada usia muda

Datang daripada ‘keluarga tenis’, bakat Alcaraz dapat dilihat sejak mula diberi raket pada usia 4 tahun
Feb 19, 2026 | 5:30 AM

‘Carlitos’ ukir nama dalam sejarah tenis, capai Grand Slam kerjaya pada usia muda

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Carlos Alcaraz, tenis, Grand Slam
Gabungan foto menunjukkan jaguh muda tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz, bergambar dengan tujuh trofi kemenangan Grand Slamnya – (dari kiri, barisan atas, ikut putaran jam) Terbuka Amerika 2022, Wimbledon 2023, Terbuka Perancis; Terbuka Australia 2026; Terbuka Amerika 2025, Terbuka Perancis; dan Wimbledon 2024. - Foto AFP

MELBOURNE: Dengan kejayaannya menjuarai Terbuka Australia, nama Carlos Alcaraz kini terukir pada keempat-empat trofi Grand Slam tenis dunia.

Namun ada satu perkara yang perlu diketahui.

“Saya tidak suka dipanggil Carlos,” katanya pada 2022.

“Sejujurnya, panggilan Carlos kedengaran terlalu serius, seperti saya ada membuat sesuatu yang salah... saya lebih suka dengan panggilan Carlitos atau Charlie.”

Daripada seorang pemain muda berbakat yang pernah membaling dan mematahkan raket apabila keadaan tidak memihak kepadanya, Alcaraz kini mencipta sejarah sebagai lelaki termuda mencapai Grand Slam kerjaya.

Kini bergelar pemain nombor satu dunia dengan tujuh gelaran Grand Slam, beliau juga terlibat dalam persaingan yang dijangka mencorakkan era baru tenis.

Carlos Alcaraz meraikan kemenangan selepas memenangi acara perseorangan lelaki Terbuka Australia selepas menewaskan jaguh veteran, Novak Djokovic, dari Serbia. Alcaraz menjadi lelaki termuda untuk memenangi keempat-empat gelaran Grand Slam.
Carlos Alcaraz meraikan kemenangan selepas memenangi acara perseorangan lelaki Terbuka Australia selepas menewaskan jaguh veteran, Novak Djokovic, dari Serbia. Alcaraz menjadi lelaki termuda untuk memenangi keempat-empat gelaran Grand Slam. - Foto REUTERS

Namun sebelum semua itu, beliau hanyalah Carlitos dari Murcia, Sepanyol.

Menonton Alcaraz bermain ibarat menyaksikan sinar matahari menjelma di gelanggang.

Setiap pukulannya penuh keyakinan. Sebagai contoh, pukulan forehand kencang yang berkesan di semua permukaan, serta drop shot dan voli yang jarang berani dilakukan pemain lain.

Itulah Alcaraz. Beliau berlari di gelanggang dengan semangat membara, senyuman tidak lekang daripada wajahnya. Baju tanpa lengan, laungan ‘vamos!’ dan potongan rambut buzzcut, semuanya menambah seri kepada persembahannya.

Alcaraz berpegang pada moto yang diwarisi daripada datuknya iaitu cabeza, corazon, cojones – kepala, hati, keberanian.

Ia peringatan supaya berani pada saat-saat besar, benar-benar mengejar apa yang diinginkan. Prinsip itu banyak membantunya sepanjang kerjayanya.

Dalam temu bual dengan Vogue pada 2023, Alcaraz berkata tenis sudah sebati dalam hidupnya. Bapa saudaranya membina kelab tenis di Murcia tempat keluarganya bermain sejak turun-temurun. 

Ayahnya pernah menjadi pengarah di situ, manakala adik-beradiknya juga bermain tenis. Abang sulungnya, Alvaro, menjadi rakan latihannya.

Diberi raket pertama pada usia empat tahun, Alcaraz menghabiskan banyak masa di kelab itu.

Jurulatih pertamanya, Kiko Navarro, memberitahu BBC bahawa Alcaraz sering marah-marah ketika kecil.

“Semasa kecil beliau banyak mematahkan raket dan saya terpaksa membawanya pulang atau ke hotel dalam keadaan menangis,” katanya pada 2024, manakala Alcaraz sendiri mengakui beliau seorang “yang tidak boleh menerima kekalahan”.

Ejen IMG, Albert Molina, menyaksikan Alcaraz yang berusia 11 tahun beraksi dalam kejohanan Futures di Murcia.

“Sudah kelihatan sifat pemenang, keberanian dan keyakinannya,” katanya kepada laman web Jelajah ATP pada 2021.

Molina kemudian memperkenalkan Alcaraz kepada Juan Carlos Ferrero, bekas pemain nombor satu dunia dari Sepanyol dan juara Terbuka Perancis 2003.

Alcaraz kemudian berlatih di akademi Ferrero dan, menurut Ferrero sendiri: “Saya nampak sesuatu yang berbeza.”

Pada 2018, Alcaraz berpindah ke Villena untuk berlatih di bawah Ferrero, yang menolak tawaran lain demi melatihnya sepenuh masa.

Alcaraz kemudian menganggap Ferrero sebagai bapa kedua.

Sesetengah jurulatih mungkin cuba mengubah gaya semula jadinya dan mengekang sisi kreatifnya.

Namun, bukan Ferrero. Beliau mahu Alcaraz “gembira di gelanggang” kerana apabila Alcaraz gembira, permainan hebat akan menyusul.

“Saya sentiasa cuba bermain dengan gembira,” tulis Alcaraz pada 2023.

“Saya seorang yang ceria di luar gelanggang, jadi saya mahu begitu juga semasa beraksi di dalam gelanggang.”

Dan ia berhasil.

Pada usia 15 tahun pada 2019, beliau membuat penampilan sulung di peringkat Challenger. Beliau memenangi empat gelaran dan menewaskan seorang lagi remaja berbakat, Jannik Sinner. 

Beliau menjadi pemain pertama kelahiran 2003 yang memenangi perlawanan di tahap itu. Itu hanya permulaan deretan rekod.

Pada usia 16 tahun, beliau membuat penampilan pertama di Jelajah ATP di Terbuka Rio.

Menduduki ranking ke-406 dunia, beliau dianggap bukan pilihan menentang Albert Ramos Vinolas yang berada di tangga ke-41. Namun sudah ada bayangan kehebatannya.

Pukulan forehand yang kuat, pergerakan lincah, keyakinan ketika mendekati jaring — namun kekadang hilang fokus, termasuk satu double fault yang memaksa pertarungan ke set penentuan.

Ketinggalan 0-3 di set ketiga, dengan momentum memihak lawan, Alcaraz bangkit, menyelamatkan tiga break point (satu mata sebelum menang), memenangi lima permainan berturut-turut, dan akhirnya meraih kemenangan pada 3 pagi waktu tempatan.

“Saya sentiasa berfikiran positif,” katanya. “Saya sentiasa fikir saya boleh menang, tidak kira siapa lawan saya.

“Kalau tidak percaya boleh menang, tidak perlu masuk gelanggang.”

Carlos Alcaraz membalas pukulan Yannick Hanfmann dari Jerman semasa pertarungan perseorangan lelaki di Terbuka Australia di Melbourne pada 21 Januari 2026.
Carlos Alcaraz membalas pukulan Yannick Hanfmann dari Jerman semasa pertarungan perseorangan lelaki di Terbuka Australia di Melbourne pada 21 Januari 2026. - Foto AFP

Kejayaan demi kejayaan menyusul.

Beliau mula mendapat perhatian di Terbuka Amerika 2021 selepas kejayaannya ke atas Stefanos Tsitsipas yang menjadikannya sebagai pemain termuda untuk menewaskan tiga pemain terbaik dunia di kejohanan utama.

Setahun kemudian di Madrid, beliau menjadi satu-satunya pemain untuk menewaskan Rafael Nadal dan Novak Djokovic berturut-turut di gelanggang. Gelaran Grand Slam pertamanya berlaku di New York, bersama kedudukan nombor satu dunia.

Pada 2023, beliau menjuarai Wimbledon dengan menamatkan penguasaan Djokovic di gelanggang utama dalam lima set yang penuh mendebarkan – kejayaan yang mengukuhkan kehebatannya sebagai bintang global.

Alcaraz pernah berkata beliau bimbang tenis akan menjadi satu “kewajipan” – suatu hari nanti ia hanya akan menjadi rutin yang meletihkan, bukannya perjuangan yang menyeronokkan.

Namun bukan semuanya mudah. Beliau menangis selepas tewas kepada Djokovic dalam final Olimpik Paris 2024, mematahkan raket selepas kekalahan mengejut kepada Gael Monfils, dan tersingkir awal di Terbuka Amerika.

Apabila semuanya berjalan lancar, permainan Alcaraz memang menakjubkan.

Drop shot-nya muncul tiba-tiba, terutama di gelanggang tanah liat, bola hampir tidak berputar melewati jaring. Pukulan dari sudut sukar tetap masuk, membuat penonton terpesona.

Apabila tidak menjadi, ia boleh kelihatan buruk. Gaya bebasnya kadang disalah anggap sebagai tidak komited.

Pilihannya di gelanggang pula membuat sesetengah pengulas hairan – mengapa voli ketika lawan sudah bersedia? Mengapa cuba pukulan sensasi sedangkan pilihan selamat ada?

Tetapi begitulah cara Alcaraz.

Beliau tidak bermain untuk dirinya sahaja. Beliau bermain untuk penonton, untuk detik tular, untuk sorakan. Beliau menarik perhatian penonton dengan aksi hebat untuk mengajak sorakan lebih kuat, dan bola yang meluncur di gelanggang terlalu laju untuk mata mengikutinya.

Carlos Alcaraz meraikan kemenangan selepas memenangi perlawanan separuh akhir menentang Felix Auger-Aliassime dari Canada di kejohanan tenis ATP Finals di Turin pada 15 November 2025.
Carlos Alcaraz meraikan kemenangan selepas memenangi perlawanan separuh akhir menentang Felix Auger-Aliassime dari Canada di kejohanan tenis ATP Finals di Turin pada 15 November 2025. - Foto AFP

Legenda tenis Amerika, Andre Agassi, pernah menghamburkan pujian:

“Seolah-olah Alcaraz ada sentuhan Federer, liputan gelanggang Djokovic dan putaran Nadal. Saya bersyukur cuma menonton, dan bukan bermain menentangnya.”

Jurulatih zaman kecilnya, Navarro, pula bangga dengan sikap bekas anak didiknya itu.

“Beliau sangat merendah diri, disayangi di seluruh dunia. Tiada apa berubah sejak kecil. Saya mahu beliau kekal sebagai Carlitos yang sama.”

Sesi latihannya di Grand Slam sentiasa menarik orang ramai – dan beliau menyukainya. Beliau bergurau dengan penonton, mencuba trick shot, tersenyum kepada setiap ucapan ‘selamat maju jaya Carlos’ dengan balasan ‘terima kasih’.

Perhatian itu pasti meletihkan, tetapi Alcaraz berkembang dengannya.

Di Terbuka Amerika, sebelum perlawanan pusingan keempat menentang Arthur Rinderknech, Alcaraz memberi high-five kepada setiap orang di barisan hadapan, dan selepas kemenangannya, menandatangani setiap bola tenis yang dihulurkan kepadanya.

Di gelanggang, beliau menghayati setiap detik – ketawa kagum melihat pukulan lawan, menekup telinga meminta sorakan. – Agensi berita.

Carlos Alcaraz meraikan kemenangan selepas menewaskan Jannik Sinner dari Italy dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki pada Terbuka Amerika 2025.
Carlos Alcaraz meraikan kemenangan selepas menewaskan Jannik Sinner dari Italy dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki pada Terbuka Amerika 2025. - Foto fail
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg