Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Pemain bola jaring nasional Mishalenee terus tabah selepas cedera lutut

Jun 12, 2023 | 06:21 PM



Pada 2020 ketika beliau berusia 18 tahun, K. Mishalenee sepatutnya semakin menempa nama dalam kerjaya bola jaringnya. Tetapi kecederaan lututnya hampir menyebabkan beliau berhenti bermain sukan itu.

Tetapi selepas mematuhi nasihat jurulatihnya agar usah berputus asa, Mishalenee mula mencapai kemajuan dalam kerjayanya.

Mishalenee, yang bermain bola jaring sejak berusia lapan tahun, cedera lututnya dalam perlawanan Divisyen B Sukan Sekolah Nasional pada musim terakhirnya.

Selepas menjalani pemeriksaan, beliau mendapati terdapat koyakan pada ligamen lutut anterior (ACL) dan meniskus.

“Selepas (pembedahan), ia sangat sukar untuk kembali beraksi. Saya fikir saya akan berhenti bermain,” katanya.

Selepas setahun menjalani pemulihan dan fisioterapi, Mishalenee terkial-kial untuk kembali bermain bola jaring. Bukan sahaja keadaan fizikalnya tidak sebaik dahulu, malah pandemik Covid-19 turut menyebabkan Sukan Sekolah Nasional dibatalkan pada 2020.

NSL kembali pada tahun berikutnya, tetapi Mishalenee yang bermain untuk Fier Orcas, berasa terpencil.

“Saya kembali berlatih secara kompetitif tetapi saya rasa prestasi saya tidak berada di tahap 100 peratus,” kata permain pertahanan itu, yang ketinggian ialah 1.83 meter.

Menjelang penghujung 2021, Mishalenee lebih memberi tumpuan kepada sekolah dan kerja sambilan sehingga menyebabkan beliau terlepas banyak sesi latihan.

Ketika beliau bersedia untuk memutuskan berhenti bermain bola jaring, perbincangan dengan jurulatih, Kok Mun Wai, yang telah melatihnya sejak beliau berusia 13 tahun, membuatnya mempertimbangkan keputusannya semula.

“Beliau (Kok) berkata beliau melihat potensi saya dan saya harus terus mencuba… beliau memberitahu saya untuk tidak berputus asa. Ketika itulah saya berikrar untuk mencuba buat kali terakhir,” kata Mishalenee.

Mishalenee terus berlatih bersungguh-sungguh, mendorong dirinya untuk menjadi lebih kuat dan mengikuti sesi di gimnasium secara kerap.

Pada 2023, kerja kerasnya membuahkan hasil apabila menerima panggilan untuk menyertai skuad nasional dan beliau juga dinamakan pemain yang banyak mempertingkat diri dalam skuad bawah 21 tahun dalam NSL.

Beliau turut dipanggil untuk menyertai skuad bawah 21 tahun nasional pada Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia (AYNC) yang sedang berlangsung di Korea Selatan.

Kok, 54 tahun, yang juga penolong jurulatih pasukan bawah 21 nasional, berkata: “Misha mungkin hanya berusia 21 tahun tetapi beliau adalah pemain yang sangat berpengalaman…

“Beliau mungkin kelihatan sangat yakin dan bangga tetapi... beliau sanggup belajar dan mendengar dan beliau juga seorang yang sangat setia.”

Singapura, yang memulakan kempen AYNC dengan kemenangan 90-8 ke atas Brunei dalam Kumpulan B pada Sabtu, akan menentang Chinese Taipei pada Isnin sebelum berdepan Sri Lanka dan Korea Selatan masing-masing dalam dua hari akan datang.

Dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir.

Ia adalah tahun yang sibuk bagi Mishalenee.

Selepas AYNC, terdapat Piala Dunia Bola Jaring di Afrika Selatan pada Julai; Piala Negara-Negara MiRXES pada Oktober di Singapura; dan Sukan Seni Pertahanan Diri Tertutup Asia pada November di Thailand.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >