Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain bola sepak India pertama di England sasar peringkat tinggi

Vimal Yoganathan kini bermain untuk pasukan Barnsley
Nov 11, 2024 | 5:30 AM
Vimal Yoganathan ialah pemain bola sepak India pertama yang bermain secara profesional di England – salah seorang daripada segelintir pemain daripada latar belakang Asia Selatan yang beraksi dalam empat liga teratas.
Vimal Yoganathan ialah pemain bola sepak India pertama yang bermain secara profesional di England – salah seorang daripada segelintir pemain daripada latar belakang Asia Selatan yang beraksi dalam empat liga teratas. - Foto BARNSLEY FOOTBALL CLUB

LONDON: Apabila Vimal Yoganathan mula melangkah ke padang untuk pasukan Barnsley, bos di kelab itu tahu mereka telah menemui seseorang dengan bakat istimewa.

Pemain berusia 18 tahun itu dipuji kerana kelincahan, mentaliti dan kebolehannya bermain dengan kededua belah kaki – tetapi itu bukan satu-satunya keistimewaannya.

Vimal ialah pemain bola sepak asal India pertama yang bermain secara profesional di England – salah seorang daripada segelintir pemain daripada latar belakang Asia Selatan yang beraksi dalam empat liga teratas.

Beliau kini bersama Barnsley yang bermain dalam Liga Satu Liga Bola Sepak England (EFL).

“Menjadi teladan akan menjadi sebahagian besar daripada dunia pemain bola sepak. Semoga saya dapat melakukannya dan memberi inspirasi kepada pemain muda akan datang – terutama orang India.”

Keluarga Vimal berasal dari Sri Lanka dan pemain tengah itu dibesarkan di Trelawnyd, sebuah kampung kecil di utara Wales.

Beliau tidak mempunyai ramai kawan daripada latar belakang yang sama semasa kecil dan kadangkala “ia agak sukar” baginya.

Vimal memberitahu media bahawa walaupun keluarganya dialu-alukan oleh masyarakat, “tiada yang boleh 100 peratus berhubung dengannya – dari segi menyesuaikan diri dengan kawasan yang kebanyakannya dihuni masyarakat berkulit putih”.

Tidak lama kemudian, beliau diintai oleh kelab zaman kanak-kanaknya, Liverpool, menandatangani kontrak untuk menyertai akademi mereka pada masa beliau berusia lapan tahun.

Daripada situ, beliau terus menyertai pasukan bawah 16 tahun Barnsley dan selepas itu naik ke peringkat lebih tinggi.

Pada Ogos, Vimal menjaringkan gol senior pertamanya untuk kelab Liga Satu itu, dan pada awal 2024 membuat penampilan sulungnya untuk pasukan kebangsaan Wales bawah 19 tahun.

Ketika itu, beliau dimasukkan sebagai pemain gantian semasa perlawanan menentang Belgium.

Menurut pengarah akademi kelab itu, Bobby Hassell, bukan hanya ketinggian Vimal – 191 sentimeter – yang membuatkan beliau menonjol di Barnsley.

“Beliau hadir pada usia 15 tahun, seorang lelaki yang amat tinggi, kurus – tidak kelihatan seperti pemain bola sepak secara jujur.

“Namun kerana sikapnya yang agresif (semasa di padang bola) yang sangat menyerlah bagi semua jurulatih.

“Anda biasanya tidak mendapati kanak-kanak berusia 15 tahun bermain dan membuat terkaman seperti yang beliau lakukan,” katanya.

Pada 2023, terdapat hanya 22 pemain profesional yang berketurunan Asia Selatan berusia 17 tahun dan ke atas dalam empat liga teratas England.

Dengan kira-kira 5,000 pemain bola sepak profesional di United Kingdom (UK), angka tersebut membentuk peratusan yang kecil.

Walaupun masih kecil, angka daripada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), menunjukkan peningkatan 29 peratus daripada musim sebelumnya yang hanya mempunyai 17 pemain dalam empat liga teratas di England.

“Setiap kali saya melangkah ke padang akademi, saya akan menjadi satu-satunya pemain dengan kulit berwarna sawo matang dan jelas satu-satunya pemain Tamil,” kata Vimal.

“Ia hampir menjadi perkara biasa kepada saya – tetapi itu perlu berubah.”

Pada 2021, PFA melancarkan Skim Pementoran Rangkuman Asia (Aims), yang telah menyokong Vimal dalam kerjayanya setakat ini.

“Ia menunjukkan kepada saya berapa ramai pemain berkulit sawo matang yang ada dalam sukan ini,” katanya.

“Dan ia juga kian berkembang – baik untuk kita semua.”

Hassell menambah yang beliau menyedari tekanan tambahan terhadap Vimal dari sudut mewakili masyarakat Asia Britain.

“Saya fahami kesukaran dari sudut kebenaran keluarga terhadap anak-anak mereka bermain bola sepak,” katanya.

Vimal berkata terdapat stereotaip bahawa ibu bapa Asia Britain lebih suka anak mereka memberi tumpuan kepada kerja sekolah mereka.

“Saya fikir perkara yang menakutkan ramai ibu bapa ialah risikonya,” katanya.

“Anda meluangkan banyak masa dan dedikasi untuk menjadi pemain bola sepak tetapi jelas tiada jaminan.”

Beliau berkata dirinya sangat bertuah kerana ibu bapanya menyokong penglibatannya dalam dunia bola sepak.

“Menjadi pemain bola sepak bukan sahaja impian saya. Ia juga milik mereka,” akuinya.

Bobby berpendapat Vimal “tentunya menunjukkan jalan” untuk keluarga lain berkaitan peluang yang ada di luar sana.

“Saya fikir mereka boleh melihat sekarang dan melihat kanak-kanak tidak hanya memerlukan pendidikan. Terdapat laluan dalam bola sepak.”

Vimal menjauhkan diri daripada dianggap sebagai pelopor apabila orang bercakap tentang perkara yang telah dicapainya, serta perkara yang akan datang.

Bola sepak adalah keutamaannya, katanya.

enjadi teladan “seharusnya datang secara semula jadi”.

Tetapi satu perkataan yang digunakan oleh pengarah sukan Barnsley, Mladen Sormaz untuk menggambarkan Vimal ialah “rendah hati”.

“Tidak ramai yang boleh menjadi teladan. Tetapi saya fikir ini adalah generasi kita akan mula melihat ikon.”

Malah beliau melihat masa depan yang cerah bagi Vimal, dan berkata remaja itu “mempunyai segala-galanya untuk menjadi profesional peringkat tinggi”.

“Apa yang beliau perlukan sekarang ialah laluan dan sedikit tuah.”

Mladen teringat zaman kanak-kanaknya sendiri di mana secara beransur-ansur bilangan kanak-kanak Asia Britain yang kurang bermain bola sepak semakin dewasa.

Beliau percaya pemain seperti Vimal boleh membantu mengekalkan golongan tersebut.

“Ia hanya memerlukan contoh baik. Mudah-mudahan Vimal akan menjadi salah seorang daripada mereka.

“Sebagai wakil, beliau menunjukkan bahawa dirinya sangat berminat untuk menjadi contoh itu bagi masyarakat.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg