MANCHESTER: Ruud van Nistelrooy sedar tugas sementaranya sebagai pengurus di Manchester United singkat.
Namun, pengurus dari Belanda itu menjangka beliau akan tetap mengendalikan pertembungan Liga Perdana England (EPL) United menentang Chelsea pada 3 November.
Bekas penyerang United itu dinaikkan daripada jawatan penolong jurulatih untuk menjadi pengurus sementara selepas Erik ten Hag dipecat pada 28 Oktober.
Pengurus kelab Portugal Sporting Lisbon, Ruben Amorim, dijangka dilantik sebagai pengurus di Old Trafford tidak lama lagi.
Van Nistelrooy memulakan tugas sementaranya dengan kemenangan 5-2 ke atas Leicester City di padang sendiri dalam suku akhir Piala Liga, yang juga dikenali sebagai Piala Carabao, pada 30 Oktober.
Dalam satu sidang media pada 31 Oktober, beliau berkongsi bahawa beliau dijangka kekal memainkan peranan itu bagi perlawanan menentang Chelsea di padang sendiri.
“Saya menjangkakan itu juga, jadi ya, ia akan menjadi tugas yang singkat sebagai (pengurus) sementara. Itu yang dikongsikan dengan jelas dan saya gembira dengan itu,” kata van Nistelrooy kepada pemberita.
“Sudah tentu, ia adalah sukar apabila Erik terpaksa pergi.
“Saya sangat kecewa, dengan pelbagai perasaan bercampur aduk mengenainya, tetapi anda perlu menukar pemikiran untuk menang kerana 75,000 orang sedang menanti dan bersorak, dan berjuta-juta lagi menonton di rumah,” tambah beliau.
Walaupun van Nistelrooy, yang berusia 48 tahun, menerima bahawa tugas barunya singkat, beliau ingin kembali ke jawatan sebelumnya, iaitu penolong jurulatih, sebaik sahaja pengurus baru dilantik.
“Saya membuat keputusan untuk kembali ke sini atas sebab yang sangat penting.
“Saya hadir sebagai pembantu untuk membantu kelab ini maju dan saya masih bermotivasi untuk berbuat demikian dalam apa jua kapasiti,” katanya.
Van Nistelrooy menambah bahawa beliau bertekad untuk kekal di United dan berkongsi perspektifnya sebelum pengurus baru menyertai kelab itu.
Walaupun kecewa mengenai pemergian rakan senegara ten Hag, van Nistelrooy sedar dalam tugas sebagai pengurus, keputusan perlawanan menjadi keutamaan.
United menduduki tangga kelapan yang mengecewakan pada musim 2023/2024, dan walaupun kemenangan ke atas Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA mungkin membantu memanjangkan tempoh ten Hag, empat kekalahan dalam sembilan perlawanan pembukaan EPL menyebabkan pasukannya berada di tangga ke-14, yang akhirnya membawa kepada kejatuhannya.
“Adalah jelas dalam bola sepak bahawa keputusan adalah penting dan Erik juga berkata, dalam pramusim kami mempunyai kakitangan baru dan semua bersikap positif dan bekerja keras untuk membawa kelab ke hadapan,” kata van Nistelrooy.
Rundingan dilaporkan sedang dijalankan antara United dan Sporting, dengan Amorim berkata beliau tidak akan memberikan sebarang keputusan hingga selepas perlawanan seterusnya pasukannya pada 1 November. – Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg