Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain bola sepak wanita S’pura sertai Wigan Athletic

Aug 24, 2024 | 5:30 AM
Pemain bola sepak wanita Singapura, Sara Merican, menandatangani kontrak selama semusim bersama pasukan wanita Wigan Athletic, yang baru dilancarkan pada Mac 2024.
Pemain bola sepak wanita Singapura, Sara Merican, menandatangani kontrak selama semusim bersama pasukan wanita Wigan Athletic, yang baru dilancarkan pada Mac 2024. - Foto WIGAN ATHLETIC

Menyertai kelab yang baru ditubuhkan telah menjadi satu norma dalam kerjaya bola sepak pemain wanita Singapura, Sara Merican. 

Pada 2022, beliau menjadi sebahagian skuad pertama dalam pasukan baru Lion City Sailors, yang bertanding dalam Liga Perdana Wanita. 

Dua tahun kemudian dan lebih 10,000 kilometer jauhnya, ia seakan deja vu untuk pemain pertahanan berusia 28 tahun itu.

Sara akan kembali menyarung jersi berwarna biru dan putih – seperti Sailors – setelah beliau menandatangani persetujuan selama semusim bersama pasukan wanita Wigan Athletic, yang baru dilancarkan pada Mac 2024.

Kelab itu akan bersaing dalam Liga Kejuaraan di bawah Liga Daerah Wanita Lancashire iaitu kejohanan amatur peringkat ketujuh dan terendah dalam bola sepak wanita England.

Musim terbaru liga itu akan berlangsung dari September hingga Februari.

Keputusan Sara memilih Wigan didorong keinginannya menyertai pasukan wanita yang disepadukan dalam kelab yang telah bertapak dan mempunyai infrastruktur, sokongan dan kumpulan jurulatih yang bagus. 

The Latics, yang terletak di Greater Manchester, lebih dikenali sebagai kelab untuk pasukan lelaki profesional.

Mereka kini bersaing dalam Liga Satu Liga Bola Sepak England (EFL) iaitu pertandingan peringkat ketiga dalam bola sepak lelaki England.

Pada zaman kegemilangannya, kelab itu pernah beraksi dalam Liga Perdana England dari 2005-2013 dan menjuarai Piala FA pada 2013.

Sara telah menghadiri sesi percubaan bersama beberapa kelab, namun hatinya terpahat pada Wigan.

Beliau ditawarkan persetujuan bersama kelab itu kira-kira tiga hari setelah menyertai sesi percubaan mereka, kongsi Sara kepada Berita Harian (BH).

“Saya agak berminat dengan projek Wigan Athletic. Bukan mudah untuk menandatangani kontrak bersama kelab yang di peringkat ‘bayi’. 

“Saya boleh sahaja meneroka kelab lain, tetapi saya melihat betapa tulen dan ikhlas kelab ini untuk melabur dalam bola sepak wanita,” tambah beliau yang ke England pada September 2022 untuk mengambil ijazah Sarjana selama setahun dalam Pengajian Filem dan Skrin di Universiti Cambridge.

Pada 2023, Sara berehat selama setahun dan pulang ke tanah air untuk memberi tumpuan pada kriket ketika mewakili Singapura di Sukan SEA Kemboja. Beliau meneruskan pengajiannya pada 2024.

Wigan dan Wigan Warriors – pasukan ragbi 15 pemain sepasukan – bakal membangunkan pusat latihan elit baru untuk bola sepak dan ragbi wanita di Stadium Edge Hall Road di Orrell, yang terletak kira-kira sembilan minit jarak memandu dari Stadium Brick Community iaitu padang pasukan lelaki Wigan.

Di bawah persetujuannya, Sara tidak menerima gaji bulanan, sebaliknya mendapat geran pemain yang akan membiayai kos perjalanan untuk latihan dan pertandingan. 

Meskipun begitu, Sara yang pernah menyarung jersi kelab Liga Nasional Wanita, Cambridge City, selama beberapa bulan, lebih mendambakan peluang menimba ilmu dan pengalaman berharga bermain di luar negara.

Ini termasuk bermain di bawah bimbingan pengurus, Emmerson Boyce, juga bekas kapten Wigan dan pemenang Piala FA bersama kelab itu.

“Adalah satu penghormatan bermain untuk pasukan kendaliannya. Beliau juga seorang pemain pertahanan. Jadi, ia adalah peluang untuk saya belajar daripada pemain yang telah bersaing di peringkat tertinggi di negara itu.

“Peluang ini akan saya hargai,” kata Sara. Beliau melahirkan harapan kelab itu dapat menjuarai liga dalam musim sulung mereka. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg