Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

United buru kemenangan dalam temuan dengan City

Apr 4, 2025 | 2:32 PM
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, mengakui beliau tidak punyai cukup masa untuk perbaiki keadaan kelabnya. United mempunyai peluang untuk mengalahkan Manchester City buat kali kedua dalam Liga Perdana England (EPL) pada 6 April, sesuatu yang mereka belum capai sejak lima tahun lalu.
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, mengakui beliau tidak punyai cukup masa untuk perbaiki keadaan kelabnya. United mempunyai peluang untuk mengalahkan Manchester City buat kali kedua dalam Liga Perdana England (EPL) pada 6 April, sesuatu yang mereka belum capai sejak lima tahun lalu. - Foto REUTERS

LONDON: Manchester United mampu menewaskan Manchester City buat kali kedua dalam liga musim ini pada 6 April, sesuatu yang mereka belum capai sejak lima tahun lalu.

Pengurus United Ruben Amorim sangat memerlukan kemenangan itu kerana kelabnya sedang melalui salah satu musim terburuk dalam sejarah Liga Perdana England (EPL).

United hanya menang dua daripada tujuh perlawanan terakhir mereka. Namun, keputusan dalam perlawanan dua pasukan berjiran atau derby seperti ini sukar dijangka. Kali terakhir kedua-dua kelab bertemu, United berjaya mencatat kemenangan mengejut.

City pula semakin mantap selepas menghadapi masa sukar dan kini berpeluang layak ke Liga Juara-Juara serta mungkin menjuarai Piala FA.

Kekalahan 1-0 kepada Nottingham Forest pada 2 April meletakkan United di tangga ke-13 dalam liga dengan 13 kekalahan.

Jika kalah lagi kepada City, mereka akan menyamai rekod buruk musim lalu – 14 kekalahan dalam satu musim EPL.

Dengan penyerang Joshua Zirkzee dan Rasmus Hojlund gagal menjaringkan gol, Amorim terpaksa mencuba sesuatu luar biasa dengan menggunakan pemain pertahanan Harry Maguire di posisi serangan, dengan harapan ia dapat mencipta peluang gol.

Tekanan semakin meningkat ke atas pengurus warga Portugal itu, yang mengakui beliau tidak mempunyai cukup masa memperbaiki keadaan kelabnya.

“Kami tahu musim ini tidak tentu – kadang-kadang kami menang, kadang-kadang kami kalah. Kami akan terus fokus pada perlawanan seterusnya,” kata Amorim.

Satu berita baik buat United ialah penyerang berbisa City, Erling Haaland, yang menjaringkan dua gol di Old Trafford musim lalu, mengalami kecederaan buku lali dan tidak akan beraksi sehingga akhir musim.

Namun, City tetap berbahaya, dengan pemain baru mereka, Omar Marmoush, sedang berada dalam prestasi cemerlang setelah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan terakhirnya.

“Beliau (Marmoush) mempunyai fikiran yang baik, jumlah gol yang baik walau beliau berada dengan kami tidak begitu lama…” kata Guardiola selepas pemain antarabangsa Mesir itu menjaringkan gol pada 3 April ketika City menang 2-0 ke atas Leicester City.

Sementara itu, Arsenal akan bertemu Everton pada 5 April tanpa pemain pertahanan Gabriel, yang tidak dapat beraksi sehingga hujung musim.

Arsenal kini ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool. Anak buah Arne Slot hanya perlukan 13 mata daripada lapan perlawanan terakhir untuk menjuarai EPL.

Aston Villa yang berada di tangga ketujuh EPL pula akan bertemu Nottingham Forest pada 6 April, sambil bersiap sedia untuk suku akhir Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain pada 10 April.

Di bahagian bawah liga, Tottenham akan menentang Southampton, pasukan di tangga paling bawah EPL, pada 6 April.

Southampton hanya mengumpul 10 mata daripada 30 perlawanan. Jika Southampton seri, mereka akan menyamai rekod paling buruk EPL, iaitu 11 mata yang diperoleh Derby County pada musim 2007-08. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg