HANOI: Singapura harus menanti lewat dalam permainan sebelum berjaya menewaskan Timor-Leste 3-0 dalam perlawanan kedua kumpulan A bagi Piala AFF Mitsubishi Electric pada 14 Disember.
Walaupun memenangi perlawanan pertama semasa menentang Kemboja, permainan pasukan Singapura pada separuh masa pertama jelas tampak hambar berbanding Timor-Leste. Perlawanan berlangsung di stadium Hàng Day, di Vietnam.
Terutamanya pertahanan Singa yang sering melakukan kesilapan dan menyajikan Timor-Leste dengan peluang untuk menjaringkan gol.
Namun, pemain gantian seperti – Shawal Anuar, Safuwan Baharudin, Farhan Zulkifli – yang dimasukkan pada separuh masa kedua seolah-olah mengubah nasib Singa.
Shawal Anuar, pemain yang dimasukkan pada minit ke-62 menjadi pemain berpengaruh bagi ketiga-tiga gol Singa.
Sekitar 10 minit selepas dimasukkan daripada bangku simpanan, beliau ditolak oleh Olagar Xavier semasa dalam kotak penalti ketika bergelut menyambar bola hantaran Ryhan Stewart.
Pengadil perlawanan menghadiahkan penalti kepada Singapura, yang disempurnakan Kyoga Nakamura untuk gol pertamanya buat negara.
Shawal kemudian berada dalam kedudukan dan waktu yang tepat untuk menerima umpanan rakan sepasukannya dan menyempurnakan gol kedua dan ketiga Singapura pada minit ke-83 dan 90.
Kemenangan itu meletakkan Singapura di tangga pertama Kumpulan A dengan enam mata, dua mata di hadapan Malaysia yang berdepan Thailand sejurus selepas perlawanan Singapura.
Pada perlawanan kedua itu, jurulatih Tsutomu Ogura melakukan tujuh pertukaran pada kesebelasan petamanya ketika menentang Kemboja.
Singa dilihat cuba bermain hantaran pendek sepanjang perlawanan berbanding Timor-Leste yang mengenakan taktik ‘counter attack’.
Walaupun berada di ranking ke-196 dunia dalam ranking Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Timor-Leste tampak lebih berkeyakinan berbanding Singa yang menduduki ranking ke-161.
Penyerang Joao Pedro jelas menjadi duri dalam daging bagi pertahanan Singa apabila beliau sering menerkam kesilapan yang dilakukan pertahanan Singa.
Pada minit ketujuh, beliau merampas bola daripada Lionel Tan dan melambungkan bola ke arah gawang Singapura.
Percubaannya melepasi Izwan Mahbud, yang ketika itu berada di luar posisi gawangnya, namun ia terkena tiang gol.
Singapura juga mempunyai peluang namun rembatan Hami Syahin dari luar kotak penalti, namun tersasar.
Kedua-dua pasukan mengakhiri separuh masa pertama tanpa percubaan tepat pada sasaran.
Pada awal separuh masa kedua, Ogura memasukkan Safuwan Baharudin dan Farhan Zulkifli untuk meningkatkan intensiti perlawanan.
Persembahan Singa bertambah baik dengan sering melakukan asakan terhadap pertahanan Timor-Leste.
Ia hampir membuahkan hasil pada minit ke-51, apabila tandukan daripada Naqiuddin Eunos terkena tiang dan bola dilantun ke kaki Abdul Rasaq.
Penyerang Lion City Sailors itu pantas menolak masuk ke pintu gol namun golnya dibatalkan selepas beliau didapati dalam kedudukan ofsaid.
Singapura juga mempunyai peluang penalti selepas Farhan diasak oleh Nelson Viegas di dalam kotak penalti namun ia dinafikan selepas semakan video penolong pengadil (VAR).
Namun, VAR kemudian berpihak kepada Singa apabila skuad kendalian Tsutomu Ogura mendapat sepakan penalti selepas Shawal ditolak Olagar di dalam kotak penalti pada minit ke-73.
Kyoga menyempurnakan penalti tersebut dengan menghantar penjaga gawang Timor-Leste, Junildo Manuel de Castro Pereira, ke arah yang salah.
Singapura terus mengasak dan pada minit ke-83, hantaran leret daripada Safuwan di sebelah kiri melepasi Junildo yang memberi Shawal tugas mudah menjaringkan gol masuk ke pintu gawang lawan yang kosong.
Shawal kemudian menyempurnakan gol keduanya kali ini menyempurnakan umpanan daripada seorang lagi pemain gantian, Jordan Emaviwe.
Singapura menamatkan perlawanan itu dengan 16 percubaan, lima menepati sasaran.
Mereka kini akan menghadapi tugas sukar apabila menentang Thailand pada 17 Disember di Stadium Nasional.
Singa harus memperbaiki persembahan mereka jika ingin mempunyai peluang untuk melangkah ke separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric buat pertama kali sejak 2020.
Sesuatu yang pasti, Thailand tidak akan mensia-siakan peluang yang dihidang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg