Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Timor Leste mampu buat kejutan jika Singa lalai

Timor Leste jaring dua gol pantas ketika menentang Malaysia sebelum tewas 2-3
Dec 13, 2024 | 11:56 AM
Barisan pertahanan Singapura perlu bersiap sedia menangani serangan balas pantas Timor Leste. Kapten pasukan Singapura, Safuwan Baharudin (jersi nombor 21) memainkan peranan penting untuk lindungi pertahanan Singapura daripada dibolosi.
Barisan pertahanan Singapura perlu bersiap sedia menangani serangan balas pantas Timor Leste. Kapten pasukan Singapura, Safuwan Baharudin (jersi nombor 21) memainkan peranan penting untuk lindungi pertahanan Singapura daripada dibolosi. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pasukan Singa berjaya menewaskan Kemboja 2-1 pada 11 Disember dalam perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric, namun prestasinya yang kurang tajam bermakna mereka tidak boleh mengambil ringan ketika menentang Timor Leste. 

Pasukan Singapura perlu menunjukkan peningkatan ketara dari segi prestasi dan kecekapan menyerang kerana kelemahan dalam aspek tersebut boleh mengundang bahaya.

Singapura akan bertemu Timor Leste pada 14 Disember di Vietnam.

Berdasarkan rekod pertemuan kededua pasukan, mereka telah bertemu dua kali, di mana Singapura menang kededua perlawanan tersebut.

Namun, dua perlawanan tidak cukup membuktikan bahawa Timor Leste tidak berupaya untuk mengancam Singapura.

Pasukan Timor Leste, di bawah bimbingan ketua jurulatih Simon Elissetche, kalah teruk 10-0 kepada Thailand pada 8 Disember.

Kekalahan ini tidak mengejutkan memandang kedudukan Timor Leste ke-196 dunia dalam ranking Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), kedudukan terendah berbanding dengan pasukan lain dalam Kumpulan A. 

Namun Elissetche berkongsi bahawa kekalahan tersebut telah menyuntik semangat kepada pemain untuk bangkit dan mengejutkan pasukan Malaysia pada 11 Disember.

Dan mereka hampir-hampir berjaya merealisasikan matlamat itu.

Mereka menjaringkan dua gol pantas untuk membuat Harimau Malaya terpaku melihat Timor Leste mendahului perlawanan 2-1 pada separuh masa pertama.

Namun, Malaysia berjaya bangkit semula dan menang perlawanan tersebut 3-2.

Mungkin Timor Leste akan membawa semangat yang sama apabila berdepan dengan Singapura pada 14 Disember nanti.

Perlawanan ini boleh dilihat sebagai amaran yang jelas kepada pasukan Singapura agar berwaspada terhadap kebolehan Timor Leste menghasilkan serangan balas pantas.

Timor Leste tidak boleh diambil ringan, terbukti dengan gerakan berbahaya mereka dalam memburu gol penyamaan semasa menentang Malaysia.

Satu nama menghantui pertahanan Malaysia sepanjang perlawanan tersebut, pemain sayap Timor Leste, Joao Pedro – yang membuktikan akan kelincahan dan kepintarannya. 

Beliau ‘meninggalkan’ dua pemain pertahanan Malaysia sebelum menghantar bola kencang kepada Olagar Xavier untuk menjaringkan gol penyamaan 1-1.

Hanya dua minit kemudian, Pedro menjaringkan golnya, untuk meletakkan Timor Leste di hadapan sebelum separuh masa pertama tamat.

Ini menunjukkan bahawa Timor Leste bukan sebuah pasukan yang lemah, malah mereka boleh memberi kejutan pada bila-bila masa.

Pemain sayap Singapura, Faris Ramli, yang dinamakan pemain terbaik dalam kemenangan 2-1 Singapura ke atas Kemboja, tidak memandang Timor Leste sebagai lawan yang mudah.

“Yang pasti tiga mata tidak mencukupi. Kami perlu berlatih dan fokus semula.

“Kami tahu apa yang harus dilakukan dan betapa pentingnya menang ke atas Timor Leste,” jelas beliau selepas perlawanan Singapura menentang Kemboja di Stadium Negara pada 11 Disember.

Ketua jurulatih Singapura,Tsumo Ogura, juga menekankan pasukannya perlu berusaha mendapatkan lebih banyak jaringan walaupun jika mereka mendahului perlawanan dengan selesa.

“Kami perlu pelajari daripada Thailand.

“Walaupun mereka mendahului perlawanan dengan banyak gol, mereka tetap ingin menambah lebih banyak jaringan. Ini merupakan mentaliti pemenang,” kata beliau.

Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir kejohanan ini.

Dengan prestasi Malaysia yang kurang baik daripada apa yang dijangkakan, Singapura mempunyai peluang lebih baik untuk mara ke pusingan seterusnya.

Selain Thailand, perlawanan antara pasukan dalam Kumpulan A cukup kompetitif.

Keputusan akhir mungkin bergantung pada perbezaan gol, jadi Singapura bukan sahaja perlu mempertajam serangan mereka, tetapi juga memperkukuh jentera pertahanan.

Selepas perlawanan ini, Singapura seterusnya akan pulang ke Stadium Negara untuk menentang Thailand pada 17 Disember.

Mereka kemudian akan menentang Malaysia di Kuala Lumpur pada 20 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg