SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemain golf Shannon Tan raih Atlet Terbaik ST 2025

Pemain golf Shannon Tan raih Atlet Terbaik ST 2025

Warga S’pura pertama diberi ‘Order of Merit’ dalam Jelajah Eropah Wanita
Apr 4, 2026 | 2:13 PM

Pemain golf Shannon Tan raih Atlet Terbaik ST 2025

atlet terbaik the straits times, shannon tan, golf
Pemain golf Singapura, Shannon Tan, yang berada di kedudukan ke-93 sedunia turut menjuarai kejohanan German Masters dan Indian Open, selain berjaya menempatkan diri dalam kedudukan 10 teratas sebanyak enam kali daripada 23 acara yang disertai. - Foto ST

Pemain golf Singapura, Shannon Tan, 21 tahun, dinobatkan sebagai Atlet Terbaik The Straits Times (ST) pada 4 April.

Beliau menunjukkan prestasi konsisten sepanjang 2025, mengakhiri musim dengan merangkul gelaran ‘Order of Merit’ dalam Jelajah Eropah Wanita (LET).

Pencapaian itu menjadikan beliau warga Singapura pertama yang meraih penghormatan tersebut.

Tan juga menjuarai kejohanan German Masters dan Indian Open dalam siri LET, selain berjaya menempatkan diri dalam kedudukan 10 teratas sebanyak enam kali daripada 23 acara yang disertai.

Trofi kemenangan anugerah ST itu disampaikan kepada ibu bapanya, Desmond Tan dan Winnie Cheong, oleh Pengurus Pemasaran Kanan F&N Foods, Angela Koh, dalam satu majlis yang diadakan di auditorium SPH Media.

Tan tidak dapat hadir kerana berada di Las Vegas bagi Kejohanan Aramco.

Ini merupakan kali pertama seorang pemain golf memenangi anugerah tahunan itu yang mula diperkenalkan pada 2009 dengan disokong 100Plus.

Tan, yang berada di kedudukan ke-93 sedunia, mengakui beliau seakan tidak percaya apabila kali pertama mendapat tahu tentang kemenangan tersebut, memandangkan saingan hebat daripada calon-calon lain.

Atlet lain yang turut dicalonkan termasuk pelari pecut Shanti Pereira, perenang Yip Pin Xiu, pemain boling New Hui Fen, perenang Letitia Sim dan pemain pool Aloysius Yapp.

“Ramai atlet Singapura telah mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang 2025 dan mencapai banyak kejayaan.

“Saya tidak menyangka ia akan memihak kepada saya, jadi saya amat terperanjat apabila mendapat tahu saya memenangi anugerah ini,” kata Tan.

Editor sukan ST, Low Lin Fhoong, mengetuai panel tujuh hakim bagi anugerah tersebut yang turut dianggotai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Badri Ghent; penembak kebangsaan, Martina Amos; dan ketua jurulatih berbasikal kebangsaan Singapura, Adrian Ng.

Low menarik perhatian bahawa selama ini, Singapura telah meraikan pemain golf seperti juara lima kali Jelajah Asia, Mardan Mamat, yang telah membantu membuka jalan bagi sukan tersebut di peringkat tempatan.

Tan kini menyertai kelompok tersebut dengan mengukir nama melalui keputusan cemerlang dalam LET.

“Apa yang telah dicapainya dalam masa yang singkat sejak bergelar pemain profesional telah mengejutkan kami, dan semoga beliau terus melakar kejutan pada musim-musim akan datang,” ujar Low.

“Shannon ada menyatakan hasratnya untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda untuk menceburi sukan ini dan saya berharap dengan pencapaian serta anugerah ini, beliau akan dapat berbuat demikian.”

Sementara itu, Koh daripada F&N Foods berkata pihaknya mengiktiraf semua calon atas dedikasi mereka dalam membawa kegemilangan kepada Singapura dan sukan masing-masing.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Tan, pemenang anugerah Atlet Terbaik ST dan meraikan pencapaian hebat beliau serta musim 2025 yang luar biasa,” tambahnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg