Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shannon Tan juarai Masters Jerman

Pemain golf Singapura tamatkan perlawanan dengan catatan 76 pukulan pada 29 Jun
Jun 30, 2025 | 3:26 PM
Shannon Tan,  golf, Masters Jerman Amundi, Jelajah Eropah Wanita (LET)
Pemain golf Singapura, Shannon Tan, menjuarai Masters Jerman Amundi dalam Jelajah Eropah Wanita (LET) pada 29 Jun 2025. - Foto LET

Pemain golf Singapura, Shannon Tan, meraih kemenangan keduanya dalam Jelajah Eropah Wanita (LET) selepas menjadi juara dalam Masters Jerman Amundi.

Pemain berusia 21 tahun itu menamatkan perlawanan dengan catatan 76 pukulan, iaitu tiga pukulan melebihi par, pada 29 Jun.

Tan menamatkan perlawanan dengan skor keseluruhan sembilan bawah par 283 di Padang Golf Green Eagle di bandar Winsen, Luhe, Jerman.

Pemain Jerman, Helen Briem (73 pukulan), menyusul di tempat kedua, dengan satu pukulan di belakang.

Pemain New Zealand, Amelia Garvey (72 pukulan) pula ketinggalan dua pukulan, menempatkannya di tempat ketiga, dalam kejohanan bernilai 300,000 euro ($446,780) itu, lapor The Straits Times (ST).

Mengimbas kejayaannya, Tan berkata:

“Rasanya luar biasa. Ini bukan pusingan yang saya harapkan hari ini, tetapi saya sangat bangga dengan cara saya berjuang di padang ini.

“Setiap kemenangan memang bermakna. Tetapi untuk meraih gelaran kedua saya dalam LET, dan melakukannya semasa kunjungan pertama saya ke Jerman, dan di padang yang sukar seperti ini, menjadikannya lebih istimewa.”

Digelar ‘Raksasa Hijau’ kerana saiznya dan halangan airnya, padang sepanjang 6,293 ela (5.75 kilometer) itu benar-benar mencabar, terutama dalam keadaan angin kencang pada pusingan terakhir.

Selepas pusingan pembukaan dengan catatan 70 dan 69 pukulan, Tan mencatat 68 pukulan pada hari ketiga untuk mengambil alih kedudukan teratas, dengan pesaing terdekatnya, Hannah Screen dari England, ketinggalan tiga pukulan.

Tan mendahului dengan kelebihan selesa, memperluaskan jurang kepada lima pukulan selepas mencatat lapan par berturut-turut, manakala Screen mula tergelincir daripada persaingan dengan empat bogi dan satu bogi ‘quadruple’ (empat pukulan melebihi par).

Bagaimanapun, Tan terpaksa menghadapi tempoh sukar setelah melakukan dua bogi berturut-turut di lubang sembilan dan 10, menyebabkan kelebihannya mengecil kepada dua pukulan, dengan Briem merapatkan jurang selepas mencatat birdi di lubang ke-11.

Tan membalas dengan mencatat birdi di lubang ke-11 untuk mendapatkan ruang selesa.

Namun, beliau sekali lagi melakukan bogi di lubang ke-13, membolehkan Briem dan Garvey merapatkan jurang dan berada hanya dua pukulan di belakang.

Akhir saingan menyaksikan suasana mencemaskan apabila beliau mencatat satu lagi bogi di lubang ke-17, menyebabkan kelebihannya mengecil kepada hanya satu pukulan.

Memerlukan sekurang-kurangnya par di lubang ke-18 (par-lima) untuk memastikan kemenangan profesional keduanya, Tan melepaskan pukulan ti yang mendarat berhampiran kawasan air.

Setelah memilih untuk memukul bola dari tepi air, dan bukannya mengambil penalti dengan ‘drop’ (melepaskan bola ke tanah untuk meneruskan permainan), beliau berjaya menghantar semula bola ke kawasan utama padang golf.

Selepas itu, beliau menggunakan kayu enam untuk melambungkan bola melepasi kawasan air dan mendarat di atas kawasan ‘green’.

Dari situ, beliau membuat dua pukulan put yang membawa kemenangan.

Tan, yang menduduki tangga ke-117 dalam senarai dunia itu akur tentang keadaan yang mencabar pada hari terakhir.

Beliau menjadi pemain golf pertama dari Singapura yang memenangi LET pada Februari 2024, apabila beliau berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Wanita Magical Kenya pada penampilan pertamanya dalam kejohanan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg