Skuad Wanita Ninja A-League, Brisbane Roar, akan mengadakan lawatan luar negara pertama ke Singapura, di mana mereka bakal menentang pasukan All-Stars Liga Perdana Wanita (WPL) dalam satu perlawanan pameran.
Acara ini dijadualkan semasa waktu rehat antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) pada April.
Bagi penyerang Brisbane Roar dan pemain antarabangsa Singapura, Danelle Tan, ini merupakan peluang berharga bermain di hadapan penyokong tanah airnya sekali lagi.
Lawatan yang diumumkan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) akan berlangsung dari 1 hingga 5 April.
Ia akan merangkumi acara penglibatan masyarakat, klinik bola sepak untuk kanak-kanak dan juga perlawanan pameran yang dinantikan.
Perlawanan tersebut akan diadakan pada 4 April di Stadium Bishan, bermula pada 8 malam
“Saya sangat teruja kembali ke Singapura. Sangat istimewa kembali ke tanah air dan ini adalah peluang yang hebat mempromosikan bola sepak wanita,” kongsi pemain berusia 20 tahun itu.
Kepulangan Tan ke Singapura memberi makna lebih mendalam kepada acara itu.
Beliau berharap dapat memberi inspirasi kepada pemain muda lain yang bercita-cita tinggi serta meningkatkan kesedaran tentang bola sepak wanita di Singapura.
“Pemain muda yang bercita-cita tinggi akan berpeluang menonton pasukan bola sepak wanita profesional dari dekat, memberi mereka penanda aras bagi tahap bola sepak di luar negara,” kata penjaring gol kebangsaan termuda Singapura itu.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Brisbane Roar, Zac Anderson, turut mengucapkan terima kasih kepada FAS kerana menjadi tuan rumah pasukan wanita mereka.
“Perjalanan luar negara ini memberi peluang luar biasa untuk skuad kami menghadapi cabaran perjalanan antarabangsa, sambil memupuk pertumbuhan pasukan dan perkembangan peribadi,” tambah beliau.
“Ini adalah pencapaian penting bagi kelab kami, terutama dalam persediaan kami untuk peringkat akhir musim Ninja A-League.”
Setiausaha Agung FAS, Chew Chun-liang, menekankan peranan Tan dalam memberi inspirasi kepada golongan belia wanita untuk mengejar impian bola sepak mereka.
Menurutnya, FAS juga komited membangunkan bola sepak wanita di Singapura dan berharap dapat bekerjasama dengan Brisbane Roar melalui klinik bola sepak serta sesi latihan terbuka semasa lawatan itu.
Peminat boleh mengikuti perkembangan acara itu dan mendapatkan maklumat lanjut melalui saluran rasmi WPL dan Brisbane Roar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg