Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain muda berlatih jauh di Portugal demi pertajam kemahiran bola sepak

Matin Ilhan anggap perbezaan dalam gaya permainan, teknikal sebagai peluang untuk belajar; harap disertai dalam skuad Singa Sukan SEA
Jul 27, 2025 | 5:30 AM
Singapura, Matin Ilhan, bola sepak, Portugal
Pemain bola sepak kelahiran Singapura, Matin Ilhan Mohamed Faizal (kanan), beraksi dalam perlawanan Rio Tinto B menentang Inter Milheiros B. Walaupun beliau akui ramai pemain di Portugal lebih kuat daripadanya, beliau melihat cabaran itu sebagai peluang untuk mengasah kemahirannya. - Foto INSTAGRAM MATIN.ILHAN

Kedinginan musim sejuk di Portugal begitu ‘menggigit’ kulit Matin Ilhan Mohamed Faizal ketika beliau mengikat butnya untuk satu lagi sesi latihan yang melelahkan.

“Cuaca amat sejuk. Saya perlu memakai empat lapisan pakaian untuk berlatih, dan agak sukar untuk saya bergerak,” kata pemain bola berusia 21 tahun itu, yang baru sahaja menandatangani kontrak untuk bermain dengan pasukan bawah 23 tahun Liga Dua Portugal, Leixoes Sport Club.

Dikelilingi rakan sepasukan yang bertutur dalam bahasa yang beliau tidak faham, tekanannya amat besar.

Namun beliau tidak pernah goyah daripada matlamat yang telah ditetapkan dirinya sejak bertahun-tahun lalu – untuk menyarung jersi Singapura di pentas antarabangsa.

Dan sasaran jangka pendeknya adalah untuk menerima panggilan daripada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) agar dapat mewakili Singapura di Sukan SEA pada Disember di Thailand akan datang.

“Saya harap para pemain yang sedang mengasah kemahiran bola sepak mereka di luar negara, seperti Khairin Nadim (bermain di kelab FC Vizela), Nur Muhmmad Asis (bermain di kelab Estrela da Amadora) dan saya sendiri, akan dipertimbangkan dalam pemilihan untuk Sukan SEA akan datang,” kata Matin.

Meninggalkan keselesaan di rumah dan negara sendiri bukanlah pilihan mudah, tetapi bagi Matin, peluang untuk mempertajam kemahirannya di Eropah adalah satu-satunya cara untuk merealisasikan impian itu.

Perjalanan Matin dalam dunia bola sepak bermula di gelanggang futsal kecil di Singapura ketika usianya baru lima tahun.

Pada mulanya beliau bermain sebagai pemain pertahanan tengah, tetapi bakatnya menarik perhatian jurulatih sekolah menengahnya, Sekolah Anglo Chinese Bebas (ACSI), yang mula menukar posisinya menjadi pemain sayap.

Jurulatihnya pada masa itu, Rhysh Roshan Rai – kini seorang penyampai, pengulas dan pakar bola sepak dan sukan – melihat potensi kelajuan dan tekniknya yang menonjol.

Namun, perjalanan itu penuh liku.

Ibu bapanya pada awalnya bimbang dengan dunia sukan yang penuh saingan dan menggalakkan Matin untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Saya sama seperti ibu warga Singapura lain, yang ingin anaknya fokus kepada pelajaran,” kata ibu Matin, Cik Linda Sulaiman, seorang usahawan berusia 51 tahun.

Namun, Cik Linda dan suaminya, Encik Mohamed Faizal Basheer, 53 tahun, juga seorang usahawan, mencari jalan tengah agar dapat menyokong cita-cita anaknya.

“Kami mencapai persetujuan untuk beliau mendapatkan diploma. Apabila beliau memenuhi bahagiannya, kami mula sokong Matin sepenuhnya,” ujar Cik Linda.

Apabila Matin berjaya mendapatkan diploma dalam bidang sains sukan di PSB Academy, ayahnya menghubungi Individual Football Training (IFT) Asia, yang membantu untuk mengatur ujian di Portugal, yang membuka pintu peluang untuk Matin ke negara yang terkenal dengan penghasilan pemain berbakat.

Perjalanan Matin melalui beberapa akademi – dari Akademi Fandi Ahmad dan Akademi Bola Sepak Chelsea Singapura, hingga Akademi Bola Sepak Euro ketika pandemik – membina asas teknikal yang kukuh.

Beliau juga bermain bagi pasukan Bawah 21 tahun Tanjong Pagar dan Lion City Sailors. Matin mengakui menyesuaikan diri dengan kehidupan dan bola sepak di Portugal memang mencabar.

Halangan bahasa adalah antara paling sukar, dengan latihan diadakan sepenuhnya dalam bahasa Portugis.

“Saya terpaksa ambil kelas tambahan untuk belajar dan berkomunikasi dengan lebih baik,” ujar Matin.

Cuaca sejuk dan pilihan makanan halal yang terhad turut menambah rencam budaya yang perlu disesuaikan.

Namun, rindu pada keluarga dan tanah air ujian paling berat.

“Ada beberapa detik di sini (Portugal) yang mana saya sangat rindu mereka di Singapura, hingga rasa teringin untuk pulang. Saya rindu keluarga, kawan dan kucing saya,” kongsi Matin.

Walaupun begitu, semangat Matin tidak pernah luntur, sentiasa didorong dengan kepercayaan diri dan impiannya mewakili Singapura.

“Tahap bola sepak di sini sangat tinggi. Pemain di sini hidup dan ‘bernafas bola sepak’,” katanya.

Perbezaan dari segi gaya permainan dan teknikal jelas ketara, tapi Matin menganggap ia cabaran dan peluang untuk belajar.

“Mungkin saya kurang kekuatan fizikal dan pengalaman berbanding pemain tempatan, tapi saya bawa semangat dan kerja keras,” tambahnya.

Melihat ke masa depan, Matin fokus untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasukan, mencari peluang lebih baik dan pastikan berusaha sedaya mampu agar tidak menyesal kemudian.

Falsafah bola sepaknya mudah jelas – ketekunan dan yakin pada diri sendiri.

“Bola sepak penuh dengan pelbagai pandangan. Ada jurulatih yang mungkin tidak nampak potensi kita, tapi ada yang akan (nampak). Penting untuk kekal fokus dan jangan mudah putus asa,” katanya.

Matin mengagumi kelicikan Neymar dan kreativiti Martin Odegaard, yang menjadi inspirasi kepadanya untuk menggabungkan teknik halus dengan kelajuan pantas, sentiasa berani menentang pertahanan lawan.

Ia juga jelas dilihat bahawa usaha dan pengorbanan Matin seorang sahaja tidak cukup untuk membangkitkan semangatnya.

Ibu bapanya sering menasihati anak mereka untuk terus berusaha dan serahkan kepada Allah.

“Kita tidak tau apa rezeki kita esok. Apa jua peluang dan cabaran, cuba sedaya upaya untuk mengatasinya. InsyaAllah, jikalau kita berusaha apa jua peluang akan terbuka untuk kita,” ujar Encik Faizal.

Rindu pada keluarga dan tanah air

“Ada beberapa detik di sini (Portugal) yang mana saya sangat rindu mereka di Singapura, hingga rasa teringin untuk pulang. Saya rindu keluarga, kawan dan kucing saya.”
Gaya permainan berbeza

“Tahap bola sepak di sini sangat tinggi. Pemain di sini hidup dan ‘bernafas bola sepak’. Mungkin saya kurang kekuatan fizikal dan pengalaman berbanding pemain tempatan, tapi saya bawa semangat dan kerja keras.”
Falsafah bola sepak

“Bola sepak penuh dengan pelbagai pandangan. Ada jurulatih yang mungkin tidak nampak potensi kita, tapi ada yang akan (nampak). Penting untuk kekal fokus dan jangan mudah putus asa.”
Matin Ilhan, pemain bola sepak.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg