Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ryhan Stewart tekad buktikan kemampuan selepas sertai kelab Lithuania

Pemain bek kanan Albirex Niigata telah tandatangani kontrak dua musim dengan kelab divisyen utama FK Riteriai
Mar 27, 2025 | 4:16 PM
Ryhan Stewart menandatangani kontrak dua musim dengan kelab divisyen utama Lithuania, FK Riteriai, pada 15 Mac.
Ryhan Stewart menandatangani kontrak dua musim dengan kelab divisyen utama Lithuania, FK Riteriai, pada 15 Mac. - Foto ST
FK Riteriai, kelab divisyen utama Lithuania, yang kini berada di tangga kesembilan daripada 10 pasukan  A Lyga, liga tertinggi negara itu.
FK Riteriai, kelab divisyen utama Lithuania, yang kini berada di tangga kesembilan daripada 10 pasukan  A Lyga, liga tertinggi negara itu. - Foto FACEBOOK FK RITERIAI 

Pemain Albirex Niigata, Ryhan Stewart, bakal membawa kelincahannya ke pentas antarabangsa selepas mencapai impiannya bermain di Eropah.

Pemain bek kanan atau pemain sayap itu telah menandatangani kontrak dua musim dengan kelab divisyen utama Lithuania, FK Riteriai, pada 15 Mac.

Sebelum ke ibu kota Lithuania, Vilnius, pada 26 Mac, tempat pasukan barunya berpangkalan, beliau memberitahu The Straits Times:

“Matlamat pertama adalah untuk mencapai kedudukan dalam kesebelasan utama. 

“Saya mahu bermain sebanyak mungkin dan memberikan persembahan terbaik untuk membantu pasukan menamatkan saingan di kedudukan terbaik. Semoga kami juga dapat layak ke perlawanan kelab Eropah.”

Stewart mengakui walaupun belum banyak yang diketahui tentang bola sepak Lithuania, beliau berharap ia dapat menjadi batu loncatan kepada kejayaan lebih besar.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata: “Saya tahu di mana Lithuania – bersempadan dengan Laut Baltik. Pengarah sukan juga berkongsi dengan saya lebih banyak maklumat mengenai Riteriai.

“Beliau merasakan bahawa gaya permainan saya sesuai dengan kelab tersebut.

“Bola sepak Eropah ialah tahap tertinggi bola sepak pada masa ini dan ia mungkin tempat paling baik untuk bermain bola sepak.

“Jadi, mengapa tidak mencuba menyertai liga di sana?

“Saya mahu menunjukkan saya boleh bermain dengan baik di sana dan semoga ini membuka jalan untuk lebih ramai pemain Singapura bermain di Eropah.”

Perpindahan Stewart dipermudahkan oleh bekas pemain antarabangsa Singapura, R. Sasikumar.

Agensi pemasaran sukan dan pengembangan pemainnya, Red Card Global, sedang dalam proses menyiapkan perjanjian untuk mengambil alih Riteriai.

Stewart akan mengikut jejak langkah pemain Singapura lain yang baru-baru ini beraksi di Eropah, seperti Khairin Nadim dan Nur Muhammad Asis (yang kini bersama kelab Portugal), serta adik-beradik Ilhan (Belgium) dan Ikhsan Fandi (Norway) serta Ahmad Hakimputra (Hungary).

Dikenali dengan gelaran The Knights, pencapaian terbaik Riteriai dalam perlawanan utama adalah pada 2015 dan 2016 apabila mereka menduduki tempat kedua.

Pasukan itu tersingkir pada 2023 tetapi berjaya bangkit dengan menjuarai divisyen kedua dan menaikkan kedudukan pada musim berikutnya.

Mereka juga pernah beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Europa sebanyak enam kali namun masih belum berjaya mara ke kejohanan utama.

Tiga perlawanan memasuki musim semasa A Lyga, Riteriai kini berada di tangga kesembilan daripada 10 pasukan selepas mencatat dua keputusan seri dan satu kekalahan.

Perlawanan seterusnya adalah di tempat lawan, menentang pasukan di tangga ketiga, FC Hegelmann, pada 29 Mac.

Matlamat di kelab FK Riteriai

Saya mahu bermain sebanyak mungkin dan memberikan persembahan terbaik untuk membantu pasukan menamatkan saingan di kedudukan terbaik. Semoga kami juga dapat layak ke perlawanan kelab Eropah.
 Batu loncatan kepada kejayaan lebih besar

Bola sepak Eropah ialah tahap tertinggi bola sepak pada masa ini dan ia mungkin tempat paling baik untuk bermain bola sepak. Jadi, mengapa tidak mencuba menyertai liga di sana? Saya mahu menunjukkan saya boleh bermain dengan baik di sana dan semoga ini membuka jalan untuk lebih ramai pemain Singapura bermain di Eropah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg