Pemain tenis meja Singapura, Zhou Jingyi, yang hanya berusia 19 tahun telah berjaya melayakkan dirinya ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 melalui ranking Asianya.
Beliau merupakan pemain tenis meja termuda dalam sejarah yang dilahirkan di Singapura untuk melayakkan dirinya ke Olimpik.
Beliau juga merupakan hanya wanita tempatan kedua untuk melayakkan dirinya selepas Tan Paey Fern pada 2004, yang bersaing dalam kategori beregu wanita di Olimpik Athens pada masa itu.
Pemain Remaja Terbaik Persatuan Tenis Meja Singapura (STTA) 2023 itu akan bersaing dalam acara perseorangan wanita di pertandingan tersebut – sekali gus muncul sebagai wanita Singapura pertama untuk bersaing dalam kategori tersebut.
“Sepanjang tahun lalu (2023), kami ke serata dunia untuk mempersiapkan diri untuk ke Olimpik. Ia meletihkan secara fizikal dan mental, terutamanya dengan kecederaan.
“Namun, saya berjaya meningkatkan keupayaan saya dengan ketara melalui pelbagai peluang sertai pertandingan.
“Untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik sangat bermakna bagi saya kerana ia merupakan matlamat saya sejak hari pertama,” kata Jingyi.
Beliau turut berkongsi bahawa matlamatnya di Sukan Olimpik yang menjelang ini adalah untuk memberi tumpuan sepenuhnya untuk setiap perlawanan dan menimba pengalaman dan pendedahan kepada peluang yang unik ini.
“Saya akan ke sukan (Olimpik) dengan mentaliti yang sama dalam pertandingan lain dan cuba mencatatkan yang terbaik,” jelas beliau.
Jingyi merupakan pemain tenis meja Singapura yang ketiga yang akan membuat penampilan sulung Olimpik mereka pada 2024, bersama Pemain Terbaik STTA 2023 Izaac Quek dan Zeng Jian yang telah berjaya melayakkan diri juga.
Sejauh ini, seramai 20 atlet Singapura berjaya melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024, antaranya ratu pecut negara, Shanti Pereira, dan atlet foil lelayang, Maximilian Maeder.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg