Topik diikuti
Pergi ke BHkuDaripada pemain pinggiran, Semenyo menapak ke pentas Piala Dunia
Daripada pemain pinggiran, Semenyo menapak ke pentas Piala Dunia
Semenyo lalui pelbagai kekecewaan dan cabaran sejak remaja sebelum berjaya menempa nama
Daripada pemain pinggiran, Semenyo menapak ke pentas Piala Dunia
Apabila Antoine Semenyo menandatangani kontrak dengan Bournemouth, beliau menghantar sebotol champagne kepada bekas pengurus Leeds United, David Hockaday.
Pada label botol itu tertulis kekata “bersungguh-sungguh dan yakin”.
Perjalanan Semenyo tidaklah mudah. Menjalani latihan di peringkat akademi bermula 5 pagi menyebabkan beliau berfikir untuk melupakan sukan ini selama-lamanya.
Tetapi, beliau tetap meneruskannya.
Kini berusia 26 tahun, penat lelahnya membuahkan hasil – mewakili Ghana di pentas Piala Dunia.
Kebangkitannya yang luar biasa berdasarkan pada daya tahannya dan kepercayaan segelintir orang yang melihat sesuatu dalam dirinya.
Dilahirkan di London, Semenyo membesar di Greenwich dengan bola sentiasa melekat di kakinya.
Ibu bapanya, Larry dan Dela, yang berasal dari Ghana, merupakan perangsang utama di sebalik tekadnya untuk menjadi pemain profesional.
Sejak kecil, bapanya, yang bermain dengan salah seorang pemain tersohor Ghana, Tony Yeboah (yang pernah beraksi dengan Leeds United) dalam liga utama Ghana, menggalakkannya menendang “kertas, tin dan apa sahaja” dengan kedua-dua kaki.
Mengesan bakatnya, ibu bapanya menghantar Semenyo menjalani latihan dengan Arsenal, Tottenham Hotspur dan Millwall sebelum percubaan lapan minggu di Crystal Palace pada usia 15 tahun.
Kesemuanya tidak membawa Semenyo, yang ketika itu berusia 16 tahun, ke mana-mana. Beliau kecewa dan hampir berputus asa.
Namun, Semenyo mencuba lagi di Bisham Abbey dengan niat untuk menilai tahap kecergasannya. Percubaan kali ini mengubah segala-galanya.
“Apabila saya kali pertama bertemu dengannya, beliau hilang arah. Ada kekosongan di dalam matanya. Beliau sedang mencari seseorang untuk membantu mencari dirinya sendiri,” kongsi Hockaday.
Secara kebetulan, bekas ketua Forest, Green Rovers, yang berada di Bisham Abbey ketika itu, diminta untuk membantu dalam latihan yang disertai oleh Semenyo.
Hockaday terkejut apabila nama remaja itu tidak disebut selepas beberapa siri latihan dan perlawanan. Sangkanya itu adalah kali terakhir beliau melihat Semenyo.
Pada minggu-minggu berikutnya, Hockaday menemui ibu bapa Semenyo dan melahirkan hasrat membantu anak mereka yang mempunyai bakat untuk digarap.
Beliau membawa Semenyo sertai pasukannya di Kolej South Gloucestershire dan Stroud (SGS), yang bertanding dalam Liga Daerah Barat Daya.
Keyakinan Semenyo tampak semakin kental, dengan dua kata kunci Hockaday – bersungguh-sungguh dan yakin – menjadi mantra.
“Beliau bermain menentang pemain bukan liga teratas di barat daya dan mereka tidak dapat mengawalnya,” kata Hockaday.
Menurutnya, Semenyo sanggup melalui apa sahaja untuk mencapai impiannya.
“Semasa pramusim, kami bermain dengan lima atau enam pasukan profesional dan mengalahkan mereka semua dan tiada siapa yang dapat mengawal Semenyo. Setiap pasukan mahu menandatanganinya atau menunjukkan minat terhadapnya,” kata beliau.
Menjelang Januari 2018, Semenyo telah menandatangani kontrak profesional pertamanya dengan Bristol City.
Masih baru berusia 18 tahun, beliau kemudian dipinjamkan ke pasukan bukan liga Bath City.
Sebulan kemudian, dengan Bath City ketinggalan di belakang pesaing enam teratas Derby, beliau diturunkan sebagai pemain gantian pada minit ke-33 untuk mencari gol penyamaan. Mereka tewas 0-2 dan Semenyo dibuang padang.
Permulaan yang salah kelihatan berterusan – dengan tempoh pinjaman yang agak mengecewakan dengan Sunderland pada musim berikutnya, pengurus datang dan pergi di Ashton Gate dan Semenyo gagal mengukuhkan dirinya dalam pasukan.
Namun, sesuatu yang luar biasa berlaku. Pada 2021 hingga 2022, beliau telah menjaringkan lapan gol dan 12 ‘assist’ ( bantu jaringan gol). Pada 2022 hingga 2023 pula sebanyak lapan gol dan dua ‘assist’.
Kelab Liga Perdana England (EPL) termasuk Southampton dan Crystal Palace – kelab yang telah menolaknya enam tahun sebelumnya – berminat semula terhadapnya.
Semenyo semakin dikenali apabila beliau menandatangani kontrak empat setengah tahun dengan Bournemouth pada Januari 2023 dengan bayaran £10 juta ($17.08 juta).
Kehebatannya terserlah – menjaringkan 32 gol dan 13 bantuan gol dalam 110 penampilan di semua pertandingan.
Sebanyak 10 golnya pada separuh pertama musim 2025 hingga 2026 sudah cukup untuk menarik perhatian salah seorang pengurus terhebat – Pep Guardiola.
Semenyo berpindah ke Manchester City dengan kontrak bernilai £65 juta pada Januari lalu, menandakan kemuncak perjalanannya dalam dunia bola sepak.
Hockaday tidak menjangkanya sama sekali pemindahannya itu.
Pada musim panas ini, Semenyo telah menjaringkan 11 gol dan mencatatkan tiga ‘assist’ untuk Manchester City sebelum menuju ke Piala Dunia mewakili Ghana.
Melihatkan kemajuan pesat Semenyo itu, Hockaday berkata: “Saya hanya berasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanannya.” – Agensi berita.
