LONDON: Antoine Semenyo percaya beliau berada di tempat yang paling sesuai untuk terus menyerlah selepas menjaringkan gol dalam dua perlawanan pertamanya bersama Manchester City.
Pemain antarabangsa Ghana itu memberikan kesan segera sejak pemindahan bernilai 65 juta paun ($112 juta) dari Bournemouth pada 9 Januari, dengan menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 2-0 City ke atas Newcastle pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga di tempat lawan pada 13 Januari.
Semenyo, yang turut menjaringkan gol dalam kemenangan besar 10-1 ke atas Exeter dalam Piala FA pada 10 Januari, juga hampir menambah gol kedua namun ia dibatalkan secara kontroversi selepas semakan VAR (video pembantu pengadil) yang lama di St James’ Park.
“Keseluruhan persekitaran di sini sangat sempurna. Semua orang yakin dan mahu mencapai yang terbaik.
“Saya menyertai suasana itu dan mereka membantu meningkatkan keyakinan saya serta membuat saya rasa dialu-alukan,” kata Semenyo yang telah menjaringkan 12 gol dalam semua pertandingan musim ini.
Beliau berkata ia agak mencabar tetapi benar-benar menikmatinya setakat ini.
“Saya cepat menyesuaikan diri dan rasa gembira. Saya hanya membawa keyakinan yang saya miliki ketika bersama Bournemouth ke sini dan bermain dengan senyuman. Saya menikmati setiap saat,” ujar beliau.
Semenyo menjadi pemain City pertama yang menjaringkan gol dalam dua penampilan pertamanya dalam semua pertandingan sejak Emmanuel Adebayor pada 2009.
Rayan Cherki kemudian menjaringkan gol kedua City yang boleh dianggap sebagai pukulan penamat pada minit kesembilan masa kecederaan.
Masa kecederaan panjang diberikan akibat gangguan untuk semakan VAR ke atas gol Semenyo yang dibatalkan. Walaupun memiliki kelebihan besar, City tetap geram dengan keputusan tersebut.
Pengurus City, Pep Guardiola, turut mengungkit dua penalti yang tidak diberikan kepada pasukannya dalam kekalahan 1-2 kepada Newcastle dalam Liga Perdana England (EPL) sebelum ini.
“Saya percaya pemain saya rasa marah. Empat pegawai dan VAR tidak dapat membuat keputusan, mereka terpaksa rujuk kepada pengadil,” kata Guardiola.
“Mungkin kelewatan VAR itu membantu kami untuk menjadi lebih kuat. Kami tahu bagaimana sistem ini berfungsi dan ia menguatkan semangat kami. Semangat itu jelas kelihatan. Saya dapat merasakannya dalam setiap sesi latihan.”
Apabila diminta menjelaskan lanjut mengenai isu pengadilan, beliau menambah:
“Tanya mereka. Siapa ketua pengadil? Tanya beliau (Howard Webb). Ini peringkat separuh akhir. Kami bermain untuk merebut tempat ke final. Ia akan menjadikan kami lebih kuat.”
Peluang terbaik Newcastle tiba sejurus selepas rehat apabila penjaga gawang City, James Trafford, bertindak cemerlang menepis percubaan Yoane Wissa ke tiang gol, sebelum rembatan rendah Bruno Guimaraes turut terkena tiang tidak lama kemudian.
Pasukan kendalian Eddie Howe itu memenangi piala domestik pertama mereka sejak 1955 musim lalu apabila menewaskan Liverpool di Wembley pada Mac, namun kini berdepan tugas sukar untuk mara ke final buat kali kedua berturut-turut.
Howe turut melahirkan kekecewaan terhadap perubahan peraturan yang membolehkan Semenyo beraksi dalam kejohanan itu walaupun beliau pernah tampil bersama Bournemouth pada pusingan kedua pada Ogos.
Kebimbangannya terbukti apabila pemain sayap itu menyukarkan pasukannya.
Keadaan mungkin berbeza buat Newcastle sekiranya Wissa tidak mensia-siakan peluang awal dengan rembatan yang jauh tersasar.
“Apabila dilihat semula, anda boleh katakan itu mungkin satu titik perubahan besar,” kata Howe mengenai peluang tersebut.
Mengenai gol lewat yang dibolosi, beliau menambah:
“Ia satu tamparan hebat… tetapi belum mematikan peluang kami. Kami masih berjuang.
“Mungkin terdapat sedikit kealpaan apabila berbaki satu minit, apabila kami masih cuba mengejar gol.
“Ketika itu, kami sepatutnya bertahan, tetapi struktur pertahanan kami tersilap, dan kami dihukum.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg